Oleh M. RIZAL NOR
PARA pemain Felda United
meraikan kejayaan menewaskan Selangor 3-1 pada aksi Liga Super di Jengka
kelmarin.
FELDA United semakin selesa
beraksi di atas padang rumput tiruan apabila mencatat kemenangan keempat
berturut-turut di laman sendiri kelmarin.
Kali ini, gergasi Lembah Klang,
Selangor menjadi mangsa Felda United dengan jaringan 3-1 di Stadium Tun Abdul Razak,
Jengka.
Ketua Jurulatih Felda United,
Irfan Bakti Abu Salim berkata, anak-anak buahnya berjaya mempamerkan mutu
permainan yang mantap sehingga membolehkan mereka mengutip tiga mata penuh
untuk menerajui Liga Super dengan 18 mata.
“Saya sangat berpuas hati dan
hanya pujian yang mampu saya berikan kerana menewaskan pasukan hebat seperti
Selangor satu kepuasan bagi kami.
“Biarpun Selangor memulakan
serangan pada awal permainan, namun anak-anak buah saya berjaya menyerap segala
tekanan dan hasilnya kami memperoleh gol awal pada minit kesembilan menerusi
Mohd. Hadin Azman,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Beliau berkata, pemain di
setiap posisi beraksi dengan baik menerusi corak permainan kemas sehingga
berjaya merantai jentera serangan Gergasi Merah yang diketuai oleh Patrick
Ronaldinho.
“Saya juga kagum dengan aksi
mantap penjaga gol, Mohd. Fahrizal Harun yang beraksi cemerlang untuk
menyelamatkan beberapa percubaan bahaya pihak lawan,” ujarnya.
Menurut Irfan Bakti, kerjasama
mantap dalam kalangan pemain sepanjang 90 minit perlawanan antara kunci
kejayaan dan kelebihan beraksi di laman sendiri dimanfaatkan sepenuhnya.
“Kejayaan ini kita hadiahkan
kepada lebih 9,000 penyokong yang hadir malam ini (kelmarin) dan kita harap
lebih ramai warga Felda turun untuk memberi sokongan pada perlawanan akan
datang,” jelasnya.
Pada aksi malam kelmarin, Felda
United membuka tirai jaringan menerusi Hadin pada minit kesembilan, namun
Selangor menyamakan kedudukan pada minit ke-71 menerusi Ronaldinho.
Anak buah Irfan Bakti tidak
menunggu lama apabila Zahrahan Krangar meledakkan gol kedua empat minit
kemudian menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti.
Sorakan penyokong Felda United
bergema lagi apabila Francis Forkey Doe menjaringkan gol ketiga pada minit
ke-77, sekali gus memadamkan hasrat Selangor untuk meleburkan rekod tanpa kalah
The Fighters.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0410&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz45Qhes5aa
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment