ARKIB : 20/01/2006
FANDI Ahmad (kanan) dan Setiausaha Agung
FAM, Ibrahim Saad (kiri) menayangkan kertas yang tertera nama pasukan pada
majlis undian bola sepak Piala FA di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam. - FAUZI
BAHARUDIN.
PETALING JAYA - Undian persaingan bola
sepak kalah mati Piala FA semalam menyaksikan laluan mudah terbentang buat
juara bertahan, Selangor dan naib juara, Perak sambil pertemuan dua tetangga,
Kedah dan Perlis menjanjikan tarikan.
Bagi pusingan pertama, Selangor diundi
menentang Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sementara Perak disaingi oleh
Kuala Lumpur dan pertemuan abang dengan adik di Utara Semenanjung itu ibarat
ulangan perlawanan akhir Piala Malaysia 2004.
Kebanyakan pasukan negeri yang beraksi
dalam Liga Super dan Perdana ketika ini, turut mendapat lawan daripada kalangan
skuad kelab kecuali Pulau Pinang yang diundi menentang Kelantan sebagaimana
Perak-Kuala Lumpur dan Perlis-Kedah.
Pasukan pertama pada Piala FA dari luar
negara, skuad Bawah 23 Tahun Singapura pula diundi menentang Shahzan Muda Pahang,
sebuah kelab yang muncul naib juara Piala FAM musim lalu dan kini beraksi dalam
Kumpulan B Liga Perdana.
Undian di Wisma FAM di sini turut
menyaksikan pendahulu Liga Super juga juara FA 2003, Negeri Sembilan beroleh
lawan yang kurang mencabar, Syarikat Air Johor (SAJ).
Juara FA 1992, Sarawak yang turut menerajui
Kumpulan A Liga Perdana, dicabar Proton Selangor sementara Melaka yang
mengetuai Kumpulan B Liga Perdana berdepan NTFA Pulau Pinang dalam pusingan
pertama.
Terengganu yang menjulang Piala FA 2000
yang diperkenalkan sedekad sebelumnya, bagaimanapun menghadapi laluan sukar
menentang Johor FC yang menduduki tempat kedua Kumpulan B Liga Perdana.
Pusingan pertama Piala FA yang melibatkan
32 pasukan ini bakal berlangsung pada 8 Februari ini dan ulangannya pada 15
Februari ini dan 16 pasukan yang melepasinya, perlu menanti nasib seterusnya
dalam undian pusingan kedua pada 27 Februari.
Perlawanan pusingan kedua dijadualkan pada
15 dan 29 Mac ini, undian suku akhir pada 30 Mac ini dengan tarikh perlawanan,
5 dan 19 April ini, undian separuh akhir (20 April ini) dan perlawanan (29
April dan 13 Mei ini) dan perlawanan akhir, 27 Mei ini.
Jurulatih Bawah 23 Tahun Singapura, Fandi
Ahmad mengakui menghadapi laluan sukar selain mengadu kekurangan pemain kerana
kerahan tenaga tentera sedangkan Shahzan Muda merupakan pasukan yang jauh
berpengalaman.
``Lapan pemain kami juga akan bersama skuad
kebangsaan ke Kuwait dan Qatar sebagai persediaan Kelayakan Piala Asia dan kami
memohon mengubah jadual pusingan pertama FA ke 12 dan 19 Februari ini,''
katanya.
sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz44ijrD0b9
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment