Ad

Wednesday, 8 June 2016

Bisa Harimau

Rizar Mohd Noor rizar@hmetro.com.my

Johor Bahru: Harimau Malaysia jelas memiliki sentuhan berbisa apabila menutup mulut pengkritik yang sering mempertikaikan kredibiliti barisan pemain pilihan Datuk Ong Kim Swee.

Selepas agak suram pada dua aksi persahabatan ketika seri tanpa jaringan sewaktu menentang Macau dan Myanmar, enam gol yang dihasilkan sepanjang dua perlawanan timbal balik menentang Timor Leste pada saingan play-off kelayakan Piala Asia 2019, bagaikan merungkai 1,000 persoalan mengenai dakwaan ketumpulan pemain negara.

Namun bagi Kim Swee, biarpun berdepan kritikan, beliau tetap berpegang kepada keyakinan yang barisan pemainnya mampu menjelmakan kemenangan dan ini terbukti sepanjang dua aksi yang menyaksikan Harimau Malaysia layak ke saingan peringkat kumpulan dengan agregat 6-0.

“Apapun kita tidak boleh selesa dengan apa dikecapi sebaliknya prestasi harus diteruskan bagi persiapan Piala AFF dan kelayakan Piala Asia kerana perlawanan itu yang akan menjadi medan untuk menilai kemampuan sebenar pemain,” katanya.

Mengulas berhubung rombakan kecil terpaksa dilakukan apabila merehatkan Christie Jeyaseelan dengan mempertaruhkan Khair Jones beraksi di posisi sayap kiri, Kim Swee berkata perubahan itu terpaksa dibuat selepas Christie mengalami keracunan makanan.

Katanya, Khair mempamerkan aksi konsisten walaupun lariannya tidak sepantas S Chanthuru dan Mohd Azrif Nasrulhaq, namun dia mampu bertindak menerusi bola hantaran lintang yang mengundang bahaya buat benteng Timor Leste.

Beliau menambah selepas layak ke pusingan kelayakan kumpulan, kesemua pemain akan kembali berkumpul Sabtu ini untuk mengharungi beberapa siri perlawanan persahabatan di rantau Oceania menentang New Caledonia, Fiji dan Papua New Guinea.

“Kesemua 24 pemain akan dibawa untuk aksi persahabatan itu kecuali Safiq Rahim yang masih menjalani proses pemulihan akibat kecederaan selain Darren Lok kerana sedang dalam proses mendapat pasport Malaysia,” kata Kim Swee.


SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2016 @ 9:57 AM

No comments:

Post a Comment