ARKIB : 26/08/2007
Bersama: DR. AMRAN KASIMIN
SOALAN: Saya masih tidak jelas
dengan apa yang dimaksudkan dengan kifarah. Adakah seseorang yang telah
dikenakan kifarah ketika hidup di dunia tidak akan diberi balasan lagi ketika
di akhirat kelak?
B DIN, Arau
JAWAPAN: Jawapan bagi soalan
yang hampir serupa dengan soalan ini telah saya jelaskan dalam ruangan yang
lalu.
Kifarah bererti balasan Allah
s.w.t. ke atas hamba-Nya yang mukmin ketika hidup di dunia akibat daripada
dosa-dosa yang dilakukan olehnya. Allah telah menjelaskan bahawa setiap perbuatan
manusia yang dilakukan di dunia ini, biar betapa kecil sekalipun akan
diperlihatkan kepada pelakunya dan akan dibalas di akhirat kelak.
Manusia sering mengalami sakit,
kemalangan yang menyebabkan kehilangan pancaindera, kehilangan harta benda,
kematian orang yang dikasihi, kebakaran dan sebagainya.
Manusia menganggap sebagai satu
kecelakaan yang menyakitkan. Setiap orang cuba, berusaha untuk mengelakkan,
namun, sekiranya Allah itu telah menentukan qadak dan qadarnya maka kecelakaan
itu telah berlaku.
Tidak ada manusia yang tahu
rahsia-rahsia di sebalik pelbagai kecelakaan atau kemalangan yang telah
ditetapkan Allah. Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia adalah baik
bagi kamu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu walhal ia jahat bagi kamu (al-Baqarah:
216).
Bencana dunia lumrahnya dapat
ditanggung oleh manusia. Pada kebiasaannya, manusia akan menjerit ketika sakit
atau merengek apabila penderitaan itu berpanjangan dan tidak berupaya menjerit.
Manusia akan jatuh pengsan apabila kesakitan itu bersangatan.
Dengan itu manusia tidak akan
berasa kesakitan. Hal demikian tidak akan berlaku ketika Allah mengazab atau
menyeksa hamba-Nya di akhirat kelak akibat daripada dosa-dosa yang dilakukan
oleh seseorang hamba di dunia. Azab neraka akan berterusan. Kulit yang hangus
terbakar akan diganti dengan kulit yang baru dan menerima seksa.
Abu al-Laithi menyatakan yang
ia telah melawat Rasulullah s.a.w. ketika baginda sakit kuat. Ia telah
menyentuh tubuh baginda dan berkata yang bermaksud: Panas badan tuan amat kuat.
Baginda menjawab: Benar. Panas bagaikan panas dua orang daripada kamu. Lalu
dijawab oleh Ab al-Laithi: Ini kerana tuan mendapat pahala dua kali ganda.
Mendengarkan kata-kata itu baginda bersabda yang bermaksud: Benar. Demi Allah
yang jiwa ku di tangan-Nya, tidak ada seorang Islam di muka bumi ini ditimpa
sakit atau lain-lain bala melainkan dihapuskan dosa-dosanya seumpama pohon yang
digugurkan daunnya.
Sayidatina Aishah berkata
bahawa baginda rasulullah ada bersabda yang bermaksud: Tidak menimpa ke atas
seorang mukmin suatu kecelakaan, biarpun satu duri atau yang lebih teruk
daripada itu, melainkan Allah menggugurkan dengan kecelakaan itu satu dosa.
Rasulullah juga ada bersabda
yang bermaksud: Rintihan orang yang sakit adalah merupakan tasbih, jeritannya
sebagai tahlil dan kegelisahannya daripada satu bahagian itu ke bahagian lain
adalah jihad di jalan Allah dan akan dicatatkan baginya sebaik-baik amalan yang
pernah dilakukan ketika sihat dahulu.
Hadis ini menjelaskan bahawa
penderitaan sakit yang dialami oleh seseorang itu diberi ganjaran oleh Allah
selain menebus dosa yang dilakukan sebelum itu. Terlalu besar ganjaran Allah
kepada orang yang menderita kesakitan berdasarkan keterangan hadis tadi. Dalam
masa yang sama, sekiranya orang yang berkenaan tidak berupaya melakukan ibadah
lagi, akibat kesengsaraan yang ditanggung, tempoh masa tersebut akan diberi
ganjaran oleh Allah dengan sebaik-baik ganjaran amal yang pernah dilakukan
sebelum itu. Hadis ini secara tidak langsung menggalakkan seseorang itu melakukan
amalan sebaik boleh ketika hidupnya. Demikianlah kemurahan Allah terhadap
hamba-Nya yang beriman.
Pada kebiasaannya manusia itu
akan lebih insaf andainya sesuatu bukti itu dapat dilihat dengan mata kepala
sendiri. Hadis yang baru dijelaskan tadi boleh menyekat seseorang itu daripada
melakukan kejahatan dan kemungkaran ketika hidup, kerana kejahatan manusia itu
tidak semestinya dibalas ketika di akhirat kelak. Itulah yang diistilahkan
sebagai kifarah. Sesungguhnya balasan di dunia itu (kifarah) diberi oleh Allah
ke atas hamba-Nya yang dikasihi.
Pada satu ketika, seorang
lelaki telah datang menemui rasulullah mengadu yang harta bendanya telah habis,
manakala tubuh badannya sakit. Mendengarkan aduan itu rasulullah berkata: Tidak
baik seorang hamba yang tidak kehilangan harta bendanya dan tidak sakit
badannya. Sesungguhnya Allah itu apabila Ia mengasihi seorang hamba, ia akan
mengujinya dan apabila ia diuji, maka Allah s.w.t. akan memberinya kesabaran.
Tugas manusia itu adalah
berusaha berlandaskan kepada ketetapan yang disyariatkan. Berusaha mencari
nafkah untuk keperluan hidup dan berubat apabila sakit. Setelah itu seseorang
itu perlu bertawakal, menyerahkan diri kepada Allah dan reda dengan ketentuan
Allah tidak kira sama ada ketentuan itu baik seperti yang diharapkan atau buruk
seperti yang cuba dihindarkan. Itulah yang dinamakan sebagai qanaah iaitu reda
dengan ketentuan dan ketetapan Ilahi. Andainya seseorang itu berupaya memahami
hakikat ini, ia akan beroleh ketenangan dalam hidupnya.
Dalam menerima ujian dan bala
Allah seseorang itu perlu sabar. Sesungguhnya balasan orang yang sabar itu amat
besar (az-Zumar: 10). Menyentuh tentang kesabaran, rasulullah ada bersabda yang
bermaksud: Allah s.w.t telah berfirman: Apabila aku menghadapkan kepada seorang
daripada kalangan hamba-Ku satu kecelakaan pada tubuh badannya, hartanya atau
anaknya, kemudian ia menerimanya dengan kesabaran yang baik, nescaya Aku malu
daripadanya pada hari kiamat, bahawa Aku akan tegakkan baginya neraca timbang
amal atau Aku bukakan baginya buku suratan amal.
Sakit pada pertimbangan mata
kasar adalah bala. Hanya Allah mengetahui kenapa seseorang itu sakit. Mungkin
ia ditentukan sebagai kifarah atau sebab-sebab lain, seperti kerana mengangkat
makam seseorang ke satu peringkat yang lebih tinggi.
Ternyata di sini bahawa sakit
itu merupakan satu jalan yang memang telah ditetapkan untuk tujuan tertentu.
Dalam pengertian lain, tanpa sakit, kifarah yang dikenakan tidak terlepas.
Kerana itu sakit itu perlu dikenakan untuk tujuan tersebut, tidak kira sama ada
sakit itu hanya untuk tujuan tersebut, tidak kira sama ada sakit itu hanya
untuk sementara, iaitu dalam jangka masa pendek atau panjang atau hingga
membawa mati.
Keterangan ini mengajar manusia
agar mereka tidak gusar andainya mendapati ada orang yang tidak sembuh-sembuh
sakitnya, biarpun setelah puas berubat. Tugas manusia ialah berikhtiar,
manakala penyembuhnya adalah urusan Ilahi.
- PEMBACA yang ada kemusykilan
alamatkanlah soalan kepada:
Dr. Amran Kasimin Lot 3673,
Jalan Aman, Kg. Sungai Merab Luar, 43000 Kajang, Selangor.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0826&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz4vU2ZTc1M
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment