ARKIB : 15/07/2007
Oleh: AMRAN MULUP
HAMPA...Kekecewaan jelas
terbayang pada wajah pegawai-pegawai pasukan dan para pemain skuad Malaysia di
bangku simpanan selepas menyaksikan kesebelasan utama negara dibelasah 5-0 oleh
Uzbekistan dalam perlawanan kedua saingan Kumpulan C Piala Asia di Stadium
Nasional, Bukit Jalil, semalam. Reuters.
KUALA LUMPUR Tatkala Vietnam
hampir meloloskan diri, Thailand dan Indonesia masih berpeluang, hanya Malaysia
selaku tuan rumah bersama yang pertama tersingkir dengan penuh aib dan
memalukan daripada memburu tempat ke suku akhir bola sepak Piala Asia di
Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.
Selepas Malaysia dibelasah
China 1-5, giliran Uzbekistan pula menunjukkan betapa rapuh dan longlainya
martabat bola sepak skuad kebangsaan yang tunduk 5-0 dalam perlawanan Kumpulan
C Piala Asia.
Biarpun jurulatih Norizan Bakar
merombak kesebelasan utama ketika diaibkan oleh China 5-1, Selasa lepas untuk
bertemu Uzbekistan kononnya bakal membawa perubahan baru, tetapi hakikatnya
tidak ada apa yang mampu dibanggakan.
Kerapuhan bahagian tengah
menguasai bola selain hantaran-hantaran tidak tepat dan mudah dirampas pemain
lawan disusuli ketumpulan jentera serangan melakukan tindakan penyudah di depan
pintu gol, membuktikan kelemahan yang terpancar membelenggu skuad kebangsaan
dalam perlawanan ini.
Segelintir penonton yang hadir
kerana masih mempunyai belas ihsan terhadap skuad kebangsaan menggeleng-geleng
kepala melihat aksi pemain yang jelas longlai biarpun Uzbekistan bukanlah skuad
yang dianggap handal selepas mereka tunduk 2-1 kepada Iran dalam perlawanan
pertama.
Apa lagi alasan yang harus
diberikan oleh Norizan mengupas kekalahan kedua kepada Uzbekistan apabila
menunjukkan jalan keluar lebih awal buat skuad kebangsaan dan perlawanan
terakhir menentang Iran Rabu ini sekadar melengkapkan jadual yang sudah diatur.
Buat Uzbekistan kemenangan
mudah 5-0 ke atas Malaysia menghidupkan kembali peluang mereka untuk terus
bersaing memburu tempat ke suku akhir di sebalik kekalahan 1-2 kepada Iran
dalam perlawanan pertama dan akan membuat perhitungan terakhir menentang China Rabu
ini.
Empat gol Uzbekistan menerusi
jaringan Maksim Shatskikh (m-9, m-89), Timur Kapadze (m-29), Ulugbek Bakaev
(m-45) dan Aziz Ibragimov (m-84) sudah cukup menutup peluang Malaysia daripada
layak ke suku akhir.
Kekalahan kedua buat Malaysia
menyaksikan skuad kebangsaan terus menduduki tangga tercorot Kumpulan C tanpa
mengutip sebarang mata.
Penguasaan Uzbekistan terserlah
sejak daripada minit-minit awal dengan asakan bertali arus mencemaskan seketika
benteng pertahanan yang dikemudi oleh ketua pasukan, Muhammad Kaironnisam
Hussain.
Uzbekistan lebih awal memecah
kebuntuan jaringan gol pada minit kesembilan hasil tandukan mudah ketua
pasukan, Maksim Shatskikh.
Biarpun penjaga gol kebangsaan,
Azizon Abdul Kadir dapat menampan bola tetapi sebaliknya bergolek masuk ke
gawang sendiri.
Gol itu terus menenggelamkan
aksi anak didik jurulatih Norizan Bakar dengan setiap hantaran di bahagian
tengah mudah dirampas oleh pemain lawan.
Peluang terbaik buat skuad
kebangsaan untuk mengikat kedudukan hadir pada minit ke-19 namun rembatan
kencang Shahrulnizam Mustafa dari luar kotak penalti beberapa inci keluar
daripada tiang gol sebelah kanan Uzbekistan.
Pada minit ke-29 Uzbekistan
mengukuhkan kedudukan Timur Kapadze pula memahatkan nama sebagai penjaring
kedua.
Kesilapan Muhamad Kaironnisam
gagal menyekat pergerakan Kapadze, dia mudah mengelecek dua lagi pemain
pertahanan skuad kebangsaan sebelum melepaskan rembatan lemah ke penjuru kanan
gagal diselamatkan oleh Azizon.
Pada masa kecederaan sebelum
rehat, Uzbekistan mencipta gol ketiga menerusi sepakan penalti Ulugbek Bakaev.
Malaysia hampir-hampir mengikat
kedudukan dalam tempoh lima minit sebelum rehat apabila sepakan percuma Hardi
Jaafar mudah ditepis keluar oleh penjaga gol Uzbekistan, Ignatiy Nesterov
manakala tandukan Hairuddin Omar pula meliar keluar.
Kesilapan Azizon Kadir
menjatuhkan Bakaev di kotak penalti membawa padah apabila pengadil perlawanan
Abdulrahman Abdou dari Qatar tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti
yang mudah ditolak masuk pemain itu.
Uzbekistan menutup tirai dengan
dua jaringan pada babak kedua menerusi pemain gantian Aziz Ibragimov pada minit
ke-84 dan Maksim pula seminit sebelum tamat.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0715&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4uRwxWVQW
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment