Ad

Monday, 30 October 2017

Celin ceriakan Red Warriors

Devinder Singh
devinder@nst.com.my
 
ALESSANDRO Celin yang sudah hampir meninggalkan Kelantan pada jendela perpindahan pertengahan tahun ini diangkat sebagai wira Kelantan.

Malam tadi penyerang Brazil itu yang diberi kepercayaan tampil dari bangku simpanan muncul penyelamat apabila meledak dua gol pada baki 10 minit terakhir bagi membolehkan Red Warriors menang 3-1 ke atas Melaka dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat.

Kemenangan itu secara tidak langsung menyelamatkan Kelantan daripada menghuni kelompok dua terbawah sekali gus tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

Celin yang dihantui kecederaan musim ini jelas gembira kerana dapat memainkan peranannya sekali gus mengumpul empat gol dalam Liga Super.

“Saya tidak boleh menggambarkan perasaan saya kerana musim ini bukanlah mudah untuk saya,” kata Celin yang menjadi satu-satunya pemain yang masih bersama Kelantan kerana pasukan tidak dibenarkan mengikat pemain baharu susulan sekatan kewangan dikeluarkan Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).

“Saya berusaha gigih minggu lalu dan setiap hari bagi membolehkan saya membantu Kelantan kekal dalam saingan Liga Super. Hari ini (semalam) Tuhan menganugerahkan saya dengan dua gol.”

Celin juga mengharapkan dua gol dilakukannya itu dapat diterima sebagai hadiah daripadanya buat penyokong Kelantan.

“Sesuatu yang amat penting kerana penyokong terlalu bersemangat untuk kelab ini,” katanya. “Saya harap mereka menikmati hari minggu mereka dan gembira kerana terus kekal di Liga Super.”

Selepas Nicholas Swirad menanduk masuk gol pembukaan bagi membantu Melaka mendahului ketika rehat, Kelantan terpaksa menunggu hingga minit ke-74 menerusi gol penyamaan Abou Bakr El Mel.

Tiga minit kemudian, Celin menggantikan Fadhilah Yusof dan meledak dua gol yang pastinya menjadi memori indah dalam kamus bola sepak Kelantan.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 7:28 PM

No comments:

Post a Comment