Ad

Monday, 30 October 2017

Hazwan sedia galas tugas

myMetro
 
Kuala Lumpur: Ketiadaan penjaring terbanyak Liga Super musim lalu Jorge Pereyra Diaz seharusnya tidak perlu ditangisi penyokong Johor Darul Ta’zim (Johor DT) kerana pemain baharu Ahmad Hazwan Bakri bersedia mengisi kekosongan itu.

Malah, semangat penyerang berusia 25 tahun itu untuk mengharungi cabaran musim depan terus melonjak selepas merangkul anugerah Pemain Paling Bernilai dan Penyerang Terbaik Kebangsaan selepas cemerlang bersama Selangor pada musim 2016.

Masalah kecederaan di awal musim lalu sedikit menjejaskan rentaknya untuk membantu Red Giants dalam saingan Liga Super namun prestasinya meningkat selepas pulih apabila membantu pasukan melangkah ke final Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut sebelum tumpas kepada Kedah.

Bagi Hazwan, dia sedar dengan cabaran besar menantinya bersama Johor DT apatah lagi harapan tinggi yang diletakkan peminat Harimau Selatan dalam misi melebarkan kejuaraan Liga Super.

“Bagi saya, cabaran ini satu cabaran besar kerana kami juga akan bermain dalam Piala AFC, pusingan kelayakan ACL (Liga Juara-Juara Asia) jadi mungkin saya boleh membantu pasukan dan mengembangkan bakat saya dengan Johor DT.

“Sebelum ini Johor DT ada Diaz, kemungkinan dia tak ada bersama pasukan. Kita ada (Martin) Lucero dan mungkin ada seorang lagi pemain import, pada saya tak ada masalah, kita boleh cuba tanpa Diaz,” katanya ketika ditemui pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2016 kelmarin.

Diaz tidak akan bersama Johor DT tahun depan selepas pihak pengurusan bercadang menjual pemain itu ke kelab lain atas alasan mahu mengawal perbelanjaan pasukan.

Bagi Hazwan, bekas pemain Harimau Muda A yang turut membantu skuad kebangsaan melepasi pusingan play-off Piala Asia 2019 Mei lalu dengan meledak tiga gol bagi kemenangan agregat 6-0 ke atas Timor Leste, dia masih tidak lupa kepada Selangor.

“Musim ini saya agak tak berpuas hati sebab dalam Liga Super saya tak banyak bantu pasukan, tak dapat kekalkan Piala Malaysia. Kepada pasukan Selangor dan penyokong, saya berterima kasih sebab beri saya peluang tiga tahun menyarung jersi merah kuning,” katanya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2016 @ 5:13 AM

No comments:

Post a Comment