Ad

Friday, 13 October 2017

Laungan merdeka bergema -- Imbas kembali peristiwa kepulangan Tunku Abdul Rahman dari London pada 1956

ARKIB : 18/08/2007
Oleh: LUKMAN ISMAIL dan SAIFULIZAM MOHAMAD
 
NOSTALGIA...Abdullah Ahmad Badawi bersama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam (kanan) dan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim (terlindung) mengibarkan Jalur Gemilang diarak menuju ke Dataran Pahlawan untuk merasmikan Bulan Kemerdekaan 2007 di Melaka, malam tadi. – Gambar ABDUL RAZAK LATIF.

MELAKA 17 Ogos – Laungan “Merdeka!" sekali lagi bergema di Padang Pahlawan, Banda Hilir di sini malam ini, mengimbas kembali peristiwa kepulangan Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra dari London, 51 tahun lalu.

Gema merdeka yang disambut lebih 50,000 orang ramai yang membanjiri Padang Pahlawan sambil mengibarkan Jalur Gemilang menyemarakkan lagi semangat sambutan kemerdekaan itu.

Pada masa sama, gema merdeka telah menyebabkan 50 orang veteran kemerdekaan yang hadir pada majlis itu hiba dan ada antaranya mengesat air mata.

Di padang inilah, tepat pada 20 Februari 1956, ribuan rakyat daripada pelbagai kaum menyambut ketibaan Allahyarham Tunku yang baru tiba selepas mengadakan rundingan kemerdekaan di London.

Pada majlis malam ini, ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menaiki kereta Nash Rambler Custom Convertible 1951 disambut oleh ribuan orang ramai dari Jalan Bendahara ke Dataran Pahlawan.

Kereta merdeka dengan nombor pendaftaran sama iaitu M442 diperoleh dari Ohio, Amerika Syarikat - model sama yang digunakan oleh Allahyarham Tunku semasa perarakan di tempat yang sama, 51 tahun lalu.

Abdullah dalam ucapannya menyeru rakyat mempertahankan kemerdekaan negara kerana ia merupakan hadiah paling berharga yang diberikan oleh para pemimpin terdahulu.

Justeru atas semangat itu, tegas beliau, kedaulatan tersebut perlu dipertahankan daripada diceroboh oleh mana-mana pihak.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm#ixzz4vOe6WutS
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment