Ad

Wednesday, 4 October 2017

Nabi Ibrahim dengan penyembah berhala



ARKIB : 27/07/2007

Kisah Al-Quran (SIRI 50)
DAN berkata Ibrahim, “Yang kamu sembah selain Allah itu hanyalah berhala-berhala yang mengikat tali kasih sayang di antara kamu dalam kehidupan dunia.

Tetapi di hari kiamat, antara kamu dan yang lain akan saling mengingkari dan bahkan kamu akan saling mencela. Tempat kembalimu adalah neraka dan kamu tidak akan memperoleh penolong.” (al-Ankabut: 25)

PENDUDUK Babylon merupakan pengamal anutan penyembahan berhala. Mereka menyembah berhala kerana mengikut ajaran nenek moyang yang terdahulu. Walaupun mereka menyedari berhala-berhala itu tidak dapat memberikan apa-apa faedah, tetapi kerana kesombongan dan keangkuhan diri, mereka telah menolak segala-galanya yang baru.

Nabi Ibrahim tidak pernah berputus asa mengajak mereka supaya berhenti menyembah berhala. Namun kata-kata cacian dan hinaan dibalas kepada baginda.

Jika mereka diajak berdialog mengenai kejadian alam iaitu pertukaran malam dan siang, kehidupan di akhirat dan kematian, mereka akan kehilangan hujah untuk menangkis dakwaan tersebut. Namun, kerana sifat degil dan angkuh, mereka menolak semua kebenaran yang berada di depan mata. Mereka butakan mata, pekakkan telinga untuk menerima perubahan yang dibawa oleh Nabi Ibrahim.

Penyembah berhala ini sebenarnya tidak mempunyai pegangan yang kukuh untuk mempertahankan tuhan-tuhan mereka. Mereka hanya menurut apa sahaja yang dilakukan oleh nenek moyang yang terdahulu.

Adakalanya terlintas juga di fikiran mereka untuk menerima kebenaran yang disampaikan oleh Nabi Ibrahim, namun mereka takut untuk mengakuinya secara jelas.

Lagipun mereka takut akan dihukum oleh pemerintah sebagaimana yang berlaku kepada Nabi Ibrahim dahulu.

Nabi Ibrahim memandang rendah terhadap berhala-berhala sembahan mereka dan menganggapnya tidak bernilai. Nabi Ibrahim juga menyatakan kebebasannya daripada melakukan penyembahan yang sama dengan mereka. Nabi Ibrahim amat membenci tuhan-tuhan sembahan penduduk Babylon.

Walaupun mereka mendewakan tuhan-tuhan ini, namun sebenarnya ia tidak memberikan sebarang manfaat pun. Malah mereka sendiri yang membuatnya daripada sekecil-kecil binaan sehinggalah kepada binaan yang paling besar. Patung-patung ini tidak mampu bergerak ke mana-mana, inikan pula untuk memberikan pelbagai nikmat kepada penyembahnya.

Oleh sebeb itulah Nabi Ibrahim menyatakan Tuhannya adalah satu iaitu Allah Yang Maha Mengetahui setiap sesuatu. Dialah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta seluruh isi kandungannya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0727&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz4uXq5NhVf
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment