Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
SYAMER Kutty Abba mengakui
penampilan sulungnya bersama skuad Harimau Malaya ketika menentang Hong Kong
pada aksi Kelayakan Piala Asia 2019, Selasa lalu cukup bermakna dan berharga.
Menurut pemain muda berusia 20
tahun kelahiran Pulau Pinang itu, dia tidak menyangka diberi kepercayaan oleh
Nelo Vingada untuk mengemudi ‘enjin’ pasukan tatkala aksi berkenaan cukup
penting buat Malaysia.
“Saya macam tak percaya
jurulatih menyebut nama saya untuk memulakan aksi dalam kesebelasan utama
sedangkan ada lagi pemain senior yang boleh diletakkan bagi aksi hidup mati
itu.”
“Namun, saya ambil positif dan
cuba beri persembahan terbaik pada perlawanan itu. Alhamdulillah, saya dapat
juga bantu pasukan walaupun kami tewas.”
“Apapun, saya anggap penampilan
pertama ini sebagai pengalaman berharga dan mampu melonjakkan semangat saya
untuk terus berusaha meningkatkan prestasi untuk kekal bersama pasukan,”
katanya.
Pada perlawanan itu, Malaysia
tumbang 0-2 di tangan Hong Kong untuk kekal menghuni tangga tercorot Kumpulan B
dengan satu mata.
Syamer antara lima pemain muda
dari skuad bawah 22 tahun negara (B-22) yang diketengahkan Vingada terdiri
daripada penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Che Kassim, Safawi Rasid (Johor Darul
Ta’zim), Matthew Davies, Nor Azam Abdul Azih (Pahang) dan Adam Nor Azlin
(Selangor).
Bagaimanapun, Azam tidak dapat
bersama pasukan ke Hong Kong berikutan masalah kesihatan kakaknya.
Aksi cemerlang Syamer bukan
saja mendapat pujian Vingada, malah ia menarik minat Presiden Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu lebih ramai pemain
muda diberi peluang membarisi skuad senior.
“Bukan saya seorang, malah saya
percaya ramai lagi kawan (dari skuad B-22) boleh bermain di peringkat tertinggi
ini. Berdasarkan bimbingan dan tunjuk ajar jurulatih berpengalaman seperti
Vingada, saya yakin kami boleh belajar sesuatu daripada beliau yang bijak
menyusun strategi biarpun dihantui masalah kecederaan pemain,” kata Syamer.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 5:22 PM
No comments:
Post a Comment