ARKIB : 07/12/2007
Kisah Al-Quran - Siri 66
Nabi Yusuf dianiaya saudaranya
DAN (bagi mengesahkan dakwaan
mereka itu) mereka pula melumurkan baju Yusuf dengan darah palsu. Bapa mereka
berkata: Tidak! Bahkan nafsu kamu memperelokkan kepada kamu suatu perkara (yang
tidak diterima akal). Kalau demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya,
dan Allah jualah yang dipohonkan pertolongan-Nya, mengenai apa yang kamu
katakan itu. (Yusuf: 18)
PADA suatu hari adik-beradik
Nabi Yusuf yang dengki kepadanya merancang untuk membuang baginda ke dalam
sebuah telaga yang dalam. Mereka dengki kerana ayah mereka lebih sayangkan Nabi
Yusuf dan adiknya, Bunyamin. Mereka membawa Nabi Yusuf ke suatu tempat yang
agak jauh dan meninggalkannya dalam sebuah telaga. Setelah rancangan mereka
berjaya, mereka kembali semula ke rumah dengan membawa bersama pakaian Nabi
Yusuf.
Mereka menunjukkan baju
tersebut kepada bapa mereka iaitu Nabi Yaakub sambil menangis-nangis. Mereka
berbohong dan menyatakan bahawa Nabi Yusuf dibaham oleh serigala. Apabila
mendengar cerita daripada anak-anaknya itu, Nabi Yaakub sangat sedih kerana
Nabi Yusuf adalah anak yang paling disayangi.
Sementara itu, Nabi Yusuf yang
berada di dalam telaga yang gelap itu berasa sangat takut dan sunyi. Baginda
hanya mampu memandang langit dan bintang-bintang yang berkerdipan. Nabi Yusuf
juga berasa sangat sedih kerana kini baginda sudah berjauhan dengan ayahnya,
Nabi Yaakub. Perutnya pun mula terasa lapar.
Dalam keadaan sedih dan lapar
itu, tiba-tiba Nabi Yusuf mendengar satu suara. Nabi Yusuf diam seketika. Tidak
lama kemudian, Nabi Yusuf terdengar telapak kaki manusia yang sedang berjalan.
Semakin lama bunyi tersebut semakin jelas. Rupa-rupanya itu adalah rombongan
kafilah yang berhenti untuk mengambil air minuman.
Mereka menurunkan gayung ke
dalam perigi tersebut. Nabi Yusuf mengambil kesempatan itu untuk naik. Baginda
berpaut pada tali gayung tersebut sehinggalah ia ditarik semula ke atas.
Rombongan kafilah itu terkejut apabila melihat seorang budak lelaki berpaut
pada gayung tersebut.
Siapa engkau wahai budak?
soal salah seorang daripada ahli rombongan tersebut.
Namaku Yusuf. Aku telah
ditinggalkan oleh saudara-saudaraku dalam perigi ini seorang diri. Aku tidak
boleh keluar dari perigi ini sehinggalah ternampak tali gayung yang tuan
hulurkan tadi, jawab Nabi Yusuf kembali.
Nabi Yusuf mula dikelilingi
oleh semua ahli rombongan tersebut. Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk
menjual sahaja Nabi Yusuf apabila mereka sampai di kota Mesir nanti.
Nabi Yusuf bernasib baik
apabila dibeli oleh seorang pembesar negara. Isteri pembesar itu sangat gembira
apabila suaminya itu membawa pulang Nabi Yusuf ke rumah mereka. Mereka menjaga
Nabi Yusuf seperti anak sendiri kerana mereka tidak mempunyai zuriat. Maka
hiduplah Nabi Yusuf di rumah pembesar itu dengan gembiranya.
- Petikan daripada buku Untaian
366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel:
edusb@streamyx. com.
PENGAJARAN
* Janganlah melakukan
penganiayaan terhadap orang lain lebih-lebih lagi kepada adik-beradik sendiri.
* Orang yang tidak berdosa akan
mendapat perlindungan daripada Allah s.w.t.
* Berbohong merupakan satu
perbuatan yang keji dan dimurkai oleh Allah s.w.t.
PERBENDAHARAAN KATA
* Dibaham: dimakan
* Gayung: alat untuk mengambil
dan mencebok air
* Zuriat: anak
INFORMASI
* Nabi Yaakub mempunyai 12
orang anak lelaki. Menurut para ulama hanya Nabi Yusuf sahaja yang dilantik
menjadi Nabi. Sebab itulah Nabi Yaakub menyayangi Nabi Yusuf dan saudaranya
Bunyamin.
SUMBERArtikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz4w36BThCX
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment