Ad

Friday, 13 October 2017

Kisah Al-Quran - Siri 52



ARKIB : 24/08/2007

MAKA Musa pun keluarlah dari negeri itu dalam keadaan cemas sambil mendengar-dengar (berita mengenai dirinya) serta berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Selamatkanlah daku daripada kaum yang zalim.” (al-Qashash: 21)

PADA suatu hari, ketika para pengawal istana Firaun lalai darinya, Nabi Musa keluar dari istana dan memasuki kota. Nabi Musa berjalan-jalan di sekitar kota. Di tengah-tengah jalan Nabi Musa berjumpa dengan dua orang laki-laki sedang berkelahi. Seorang di antaranya adalah berbangsa Ibrani, iaitu bangsa Bani Israel yang sama dengannya manakala seorang lagi berdarah Mesir.

Melihat kepada perkelahian itu, Nabi Musa menjadi marah dan turut campur tangan dalam urusan itu. Lelaki bangsa Bani Israel itu meminta pertolongan daripada Nabi Musa. Dengan perasaan marah, Nabi Musa memukul lelaki berbangsa Mesir itu sehingga mati.

Alangkah menyesalnya Nabi Musa atas perbuatannya itu dan segera memohon keampunan daripada Allah. Kesalahannya itu diampuni oleh Allah.

Nabi Musa menjadi takut kalau-kalau orang tahu akan perbuatannya itu. Dia berjanji tidak akan bersahabat dengan orang-orang yang berbuat jahat lagi.

Pada suatu hari, lelaki yang sama itu memanggilnya dan meminta pertolongan. Nabi Musa segera mengecam lelaki itu. Dia terlibat dalam permusuhan dengan orang-orang Mesir sekali lagi.

“Sesungguhnya ternyata engkau adalah orang yang jahat dan sesat,” kata Nabi Musa sambil menariknya.

“Wahai Musa, apakah engkau mahu membunuh aku pula, sebagaimana engkau telah membunuh kelmarin. Adakah kamu mahu berkuasa di atas muka bumi ini?” tanya lelaki berbangsa Israel itu.

Mendengar kata-kata lelaki itu, marah Nabi Musa mulai reda. Nabi Musa teringat akan janjinya tidak akan menolong orang yang berbuat jahat. Beliau kembali meminta ampun kepada Allah s.w.t.

Lelaki Mesir yang berkelahi dengan Bani Israel itu tahu bahawa Nabi Musa adalah pembunuh kepada lelaki Mesir tersebut. Orang-orang Mesir tersebut juga telah tahu bahawa Musa yang membunuh lelaki Mesir kelmarin. Rakyat Mesir menjadi marah dan bersepakat untuk menangkap Nabi Musa.

Ketika Musa menyembunyikan diri, datanglah seorang Mesir yang beriman lalu berbisik kepada Nabi Musa.

“Wahai Musa, aku ingin khabarkan kepada engkau bahawa engkau akan ditangkap dan dibunuh. Sebab itu hendaklah engkau lari dari sini. Itu adalah nasihat saya untukmu,” kata lelaki tersebut.

Maka Nabi Musa meninggalkan kota tersebut dan keluar dalam keadaan takut dan berwaspada. Baginda sentiasa memohon perlindungan daripada Allah s.w.t.

PENGAJARAN

* Allah telah menciptakan apa sahaja yang dikehendaki-Nya dengan maksud dan tujuan tertentu kerana Allah s.w.t. itu Maha Mengetahui akan segala-galanya.

* Sebaik-baik manusia ialah mendamaikan saudaranya.

PERBENDAHARAAN KATA

* Menyesal: terasa bersalah

* Berkuasa: berhak atas sesuatu

* Berwaspada: berjaga-jaga

INFORMASI

* Kisah Nabi Musa membunuh seorang rakyat Mesir telah sampai ke pengetahuan Firaun. Firaun telah menyuruh askar-askarnya menangkap Nabi Musa. Nabi Musa lalu melarikan diri ke Madya. Selama lapan hari lapan malam, Nabi Musa berjalan kaki ke Madya tanpa memakai kasut dan membawa bekalan makanan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0824&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz4vPTbNspY
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment