Ad

Wednesday, 11 October 2017

'Letak jawatan tak perlu tunggu'

Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
 
KUALA LUMPUR: Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh meminta jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada meletak jawatan susulan prestasi buruk skuad kendaliannya.

Dalam lima perlawanan kendalian jurulatih kelahiran Portugal itu sejak dilantik pada Mac lalu, skuad kebangsaan terus kemarau kemenangan dan terbaru kekalahan 0-2 kepada Hong Kong dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019, semalam.

Sebelum itu, Vingada yang mengambil alih tugas Datuk Ong Kim Swee turut menyaksikan anak buahnya kalah 1-2 kepada Lubnan dan seri 1-1 dengan Hong Kong pada aksi kelayakan Kumpulan B dan kalah 1-2 menentang Syria dan 0-1 kepada Myanmar dalam aksi persahabatan antarabangsa.

Menurut Serbegeth atau turut dikenali sebagai Shebby, kekalahan terbaru di Stadium Hong Kong itu membuktikan kemampuan sebenar Vingada biarpun memberi alasan kekalahan disebabkan beraksi dengan 10 pemain serta tidak memiliki penyerang akibat masalah kecederaan.

“Pada saya Vingada perlu undur diri, beliau tidak bawa apa-apa impak. Tak perlu beri banyak masa, ini skuad senior bukan remaja. Kalau kita lihat perlawanan semalam, kita guna ramai pemain untuk bertahan tapi masih gagal untuk bertahan.

“Agak mengecewakan apabila kita tak boleh berbuat apa-apa ketika Hong Kong menurunkan gandingan pemain pertahanan kalau dicampur usianya, mungkin yang tertua di dunia.

“Kita bagi alasan kita kehilangan Safiq Rahim akibat kad merah, tapi dalam tempoh 40 minit pertama apa yang dilakukan oleh skuad kebangsaan. Adakah kita mengawal permainan atau membuat percubaan,” kata Shebby.

Akibat kecederaan penyerang Ahmad Hazwan Bakri dan Shahrel Fikri Md Fauzi sebelum berlepas ke Hong Kong serta Darren Lok ketika latihan, Vingada bekas jurulatih kebangsaan Arab Saudi dan Jordan yang digelar profesor itu terpaksa menggunakan formasi 4-6-0.

“Vingada boleh panggil penyerang lain, masih ada masa kerana mereka pergi awal, lima hari sebelum perlawanan. Adakah Vingada tak sedar kita ada pemain yang memenangi pingat perak di Sukan SEA Kuala Lumpur. Di mana Syafiq Ahmad, N Thanabalan dan Jafri Firdaus Chew?

“Jika beliau menganggap pemain ini belum bersedia, gunakan masa ini bagi pendedahan untuk masa depan,” jelas Shebby yang kini bertugas sebagai pengulas bola sepak televisyen antarabangsa.

Vingada diberi tugas membawa Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia 2019 namun dengan satu mata di kedudukan tercorot kumpulan, ia nampak sukar apatah lagi bakal berdepan Lubnan di laman lawan dan dua perlawanan menentang Korea Utara selepas ini.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 2:42 PM

No comments:

Post a Comment