ARKIB : 19/07/2007
Oleh Dr. Mohamad Tajuddin
Mohamad Rasdi (mindakritis@yahoo.com)
MASJID Kampung Laut adalah
salah sebuah masjid yang tertua di negara ini dan terletak di Nilam
Puri,Kelantan. Ia berfungsi sebagai pusat penyebaran dan pembelajaran agama
Islam terutamanya di Kota Bahru, Kelantan.
Menurut Persatuan Sejarah
Malaysia, bangunan ini dipindahkan dari tapak asalnya di Kampung Laut setahun
selepas berlakunya banjir besar yang melanda Kelantan pada tahun 1966. Namun
begitu, masjid ini dikatakan telah dibina lebih kurang 300 hingga 500 tahun
yang lampau dan menurut sesetengah pendapat, ia merupakan masjid yang tertua
jika dibandingkan dengan Masjid Demak yang terdapat di Kepulauan Jawa.
Sejarah dan asal-usul pembinaan
Terdapat tiga teori yang telah
dikaitkan dengan asal-usul pembinaan Masjid Kampung Laut ini. Menurut teori
yang pertama sebagaimana yang telah disampaikan oleh ahli sejarah tempatan
iaitu Nik Man Bin Nik Mat, masjid ini telah didirikan oleh Raja Iman. Nik Man
menyatakan bahawa lebih kurang 400 tahun dahulu terdapat seorang putera Muslim
Sri Vijayan yang bernama Syed Mahmud di bawah gelaran Raja Muda Laksamana.
Putera ini belayar dari
Kepulauan Jawa apabila terdapat pergaduhan untuk merebut takhta kerajaan. Kapal
yang beliau naiki terperangkap dalam ribut taufan dan menghanyutkan baginda ke
perairan pantai di Selatan Siam.
Kebanyakan pengikut baginda
mula menetap di kawasan tersebut, manakala sebahagian lagi menjelajah ke
seluruh pelosok kawasan tersebut sehingga bertemu sebuah perkampungan yang
bergelar Kampung Laut.
Syed Mahmud yang menukar
namanya kepada Raja Iman kemudiannya mendirikan sebuah wakaf sebagai tempat
berteduh dan akhirnya ia berubah fungsi menjadi sebuah masjid.
Teori yang kedua pula
dikemukakan oleh seorang ahli falsafah iaitu Drs. Abdul Rahman Al-Ahmadi.
Menurut hasil kajian beliau, masjid ini telah didirikan lebih kurang 500 tahun
yang lampau oleh penuntut agama Islam dari Champa. Penuntut ini bertugas
sebagai penyebar agama Islam dari Jawa yang membawa bersama mereka pelan
prototaip masjid dan bertujuan untuk menubuhkan tiga buah pusat Islam di seluruh
pelusuk Nusantara ini.
Abdul Rahman berkata, dua
daripada masjid yang telah terbukti didirikan ialah di Timur Jawa dan salah
satunya ialah Masjid Demak dan Masjid Kampung Laut ini merupakan masjid yang
pertama dibina oleh mereka. Kenyataan ini juga dibuktikan sahih kerana usia
Masjid Kampung Laut didapati lebih awal dibina dari Masjid Demak di Pulau Jawa.
Teori yang ketiga pula
dikemukakan oleh Ustaz Abdullah bin Muhammad yang menetap di Kampung Langgar,
Kota Bahru. Menurut hipotesis beliau, masjid tersebut didirikan oleh dua orang
wali dari sembilan orang wali yang terkenal ketika itu iaitu yang bergelar
Sunang Giri dan Sunang Bonang. Ia dipercayai bahawa dua ahli sufi dari Jawa ini
yang mendapat didikan di bawah Sheikh Mohamad Saman telah diarahkan untuk
mendirikan masjid tersebut.
Walau bagaimanapun, Masjid
Kampung Laut ini masih dipulihara sehingga kini dan keadaan asalnya masih
dikekalkan sejak pemerintahan Sultan Mahmud pada awal kurun ke-20 lagi.
Perancangan dan konsep reka
bentuk
Bahagian utama masjid ini
terdiri daripada pelan berbentuk segi empat yang dilitupi dengan bumbung
piramid yang disusun secara tiga tingkat. Bahagian bumbung yang paling atas
ditinggikan sedikit arasnya dan diletakkan tingkap bagi memudahkan pencahayaan.
Bumbung ini dihiasi dengan
motif ukiran buah betung. Keseluruhan lantai masjid ini ditinggikan lebih
kurang satu meter dari aras tanah.
Ia tidak dilengkapi dengan
serambi sebaliknya dikelilingi oleh dinding panel yang diperbuat daripada kayu
pada bahagian dalamannya. Dinding panel tersebut ditebuk dan dijadikan bukaan
bagi pintu dan tingkap.
Pengubahsuaian kemudiannya
dijalankan dan sebuah ruang yang digelar balai lintang ditambah pada bahagian
tepi masjid tersebut bertentangan dengan dinding mihrab dan ruang serambi besar
juga turut disambungkan.
Dua buah ruang yang baru dibina
ini didirikan rendah sedikit dari aras bahagian utama masjid tersebut. Ruang
serambi kemudiannya ditambah pada bahagian timur masjid tersebut dan dikenali
sebagai wakaf orang kaya.
Frasa orang kaya ini
dikhaskan untuk golongan pegawai kerajaan dan orang yang berpengaruh ketika
itu. Menara yang dibina dari kayu ini disambungkan ke bahagian masjid dan boleh
dilalui dari serambi pada bahagian timur yang pada asalnya terletak di
tengah-tengah balai lintang tersebut. Ketinggian menara tersebut lebih kurang
sama dengan aras puncak bumbung masjid utama.
Elemen reka bentuk dan bahan
binaan
Keseluruhan rekabentuk masjid
ini dibina daripada kayu cengal dan dilitupi dengan jubin singgora pada
bahagian atap bumbungnya. Masjid ini tidak mempunyai sebarang ornamentasi atau
ukiran yang khusus kecuali di bahagian mimbar yang terletak di dalam masjid.
Walaubagaimanapun elemen butiran yang diadaptasikan pada rekabentuk masjid ini
melambangkan kemahiran dan keupayaan hasil kraf tangan yang tinggi oleh
perekanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0719&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz4uXEglnFG
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment