Mohd Amin Jalil
sukan@hmetro.com.my
Seremban: Penyerang muda
sensasi skuad bawah 22 tahun negara (B-22) N Thanabalan, tidak akan memilih
hanya pasukan tertentu untuk disertainya bagi mengharungi saingan Liga Malaysia
(Liga-M) musim depan.
Sebaliknya, pemain berusia 22
tahun itu sedia untuk menyarung jersi mana-mana pasukan sama ada dalam kelompok
Liga Super mahupun Liga Perdana, termasuk pasukan asalnya, Negeri Sembilan.
Katanya, fokus utamanya adalah
untuk menimba pengalaman bagi meningkatkan lagi prestasi serta persembahannya,
sekali gus memastikan reputasinya selaku penyerang muda yang disegani tidak
terjejas.
“Selaku pemain muda, saya tidak
boleh terlalu memilih untuk menyertai pasukan tertentu atau pasukan yang
mempunyai nama dan bereputasi tinggi kerana kita kena akur dengan keupayaan dan
pencapaian sendiri.
“Bagaimanapun, setakat ini
belum ada sebarang perbincangan dengan mana-mana pasukan mengenai persiapan
menghadapi musim depan kerana mereka mungkin menunggu sehingga saingan musim
ini menutup tirainya.
“Apa pun, saya masih mempunyai
kontrak dengan Negeri Sembilan dan kedudukan dengan pasukan berkenaan,
kemungkinan akan dapat ditentukan sebaik saingan Liga Perdana musim ini
berakhir,” katanya semalam.
Pemain kelahiran Rantau itu
dipinjamkan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) kepada FELCRA FC,
bagi mengharungi saingan Liga FAM 2017, bagaimanapun dia gagal membantu skuad
terbabit untuk bersaing dalam Liga Perdana musim depan, selepas tewas kepada
Sime Darby FC, di peringkat separuh akhir.
Thanabalan yang kini sedang
bercuti bagi merayakan sambutan Depavali berkata, dia mahu memberikan tumpuan
sepenuhnya kepada usaha meningkatkan lagi prestasinya untuk mencapai status
penyerang digeruni.
Sehubungan itu katanya,
pengalaman yang ditimba daripada pengendali skuad B-22, Datuk Ong Kim Swee dan
jurulatih FELCRA FC, Mohd Nor Derus, akan digunakan sebaik mungkin bagi
mematangkan lagi persembahannya.
“Saya yakin dan percaya,
saingan Liga Malaysia musim depan dijangka lebih mencabar dan sengit dan oleh
itu saya perlu membuat persiapan terbaik jika mahu memastikan prestasi
meningkat.
“Walaupun belum mengetahui
kedudukan sebenar pasukan mana yang akan diwakili musim depan, saya perlu
menggunakan masa yang ada ini untuk berlatih dengan gigih bagi meningkatkan
skil permainan serta menajamkan lagi sentuhan penyudah.
“Saya mahu memberi impak yang
terbaik kepada pasukan baru musim depan selain skuad B-22 itu sendiri,”
katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Jumaat, 13 Oktober 2017 @ 9:06 AM
No comments:
Post a Comment