ARKIB : 14/12/2007
Nabi Musa menuju ke MadyanDAN
tatkala ia mengadap ke jurusan negeri Ma dyan ia berdoa: “Mudah-mudahan Tuhan
memimpinku ke jalan yang benar. (Qashash: 22)
NABI Musa terpaksa keluar dari
Mesir kerana baginda telah diburu atas kesalahan membunuh seorang lelaki Mesir.
Mereka meletakkan kesalahan itu ke atas Nabi Musa. Sebenarnya ketika itu
baginda cuba meleraikan perkelahian, bukannya mahu membunuh lelaki Mesir
tersebut. Baginda tidak sengaja melakukan kesalahan tersebut.
Berhari-hari Nabi Musa berjalan
dan melalui jalan yang tidak pernah dilalui oleh orang lain. Baginda memasuki
gurun menuju ke suatu tempat. Ketika itu beliau hanya seorang diri dan hanya
mengharapkan perlindungan daripada Allah s.w.t.. Baginda berjalan tanpa sepatu
sehingga pecah-pecah kakinya. Baginda terasa sangat lapar. Walaupun begitu,
baginda tetap meneruskan perjalanannya.
Akhirnya, baginda tiba di
Madyan dan melihat ramai manusia berkumpul dan berkerumun. Nabi Musa hanya
memerhatikan tingkah laku mereka. Mereka adalah penggembala yang sedang
mengambil air untuk kambing-kambing mereka. Baginda melihat pula ke arah dua
orang gadis yang sedang menjaga kambing-kambingnya yang sangat kurus, berbeza
dengan kambing-kambing yang ada di situ. Kambing-kambing yang lain itu semuanya
gemuk-gemuk belaka.
Nabi Musa kasihan melihat
kedua-dua gadis itu. Baginda mendekati mereka.
“Apa yang kamu berdua buat di
sini?” tanya Nabi Musa.
“Kami menyisihkan diri untuk
menjaga kehormatan diri dan tidak mahu berebut-rebut mengambil air. Kami perlu
sabar menunggu sehinggalah semua orang telah selesai mengambil air. Barulah
kami mengambil air untuk kambing-kambing kami pula. Bapa kami sudah tua, tidak
mungkin untuk datang ke sini,” terang salah seorang daripada mereka.
Nabi Musa pun menolong
kedua-dua gadis itu mengambil air untuk kambing-kambing mereka. Pada hari itu,
kedua-dua gadis perempuan itu dapat pulang ke rumah awal kerana Nabi Musa telah
menolong mereka. Tiba di rumah, bapa mereka kehairanan melihat kedua-duanya.
“Kenapa cepat kamu berdua
pulang hari ini?” tanya bapa mereka.
“Ada seorang lelaki telah
menolong kami mengambil air untuk kambing-kambing kita,” kata salah seorang
anak perempuannya.
“Pergilah engkau padanya dan
beritahu ayah memanggilnya untuk memberi upah dan jasanya kerana mengambil air
untuk kamu berdua,” kata bapa mereka lagi.
Salah seorang daripada mereka
pergi menemui Musa.
“Saya diutus oleh bapa untuk
memanggilmu agar engkau sudi datang ke rumah kami. Bapa terhutang budi atas
kebaikanmu yang telah menolong kami,” kata gadis itu.
Nabi Musa pun pergi ke rumah
mereka.
Setiba di rumah tersebut, Nabi
Musa disambut oleh bapa kedua-dua gadis itu.
“Terima kasih kerana kamu telah
menolong anak-anak saya,” kata si bapa.
“Sama-sama. Saya menolong
mereka dengan ikhlas. Bukan mengharapkan upah atau balasan,” kata Musa.
Bapa kedua-dua gadis itu mahu
Musa menceritakan tentang dirinya. Maka Nabi Musa menceritakan kenapa beliau
keluar dari Mesir. Sehinggalah bapa kedua-dua gadis itu tahu rahsia perjalanan
Nabi Musa.
“Jangan risau, kamu akan
selamat di sini. Engkau akan bebas daripada mereka yang zalim itu,” kata si
bapa.
“Terima kasih,” jawab Musa.
Tinggallah Nabi Musa di situ
dengan perasaan tenang dan lega untuk beberapa ketika.
- Petikan daripada buku Untaian
366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel:
edusb@streamyx. com.
PENGAJARAN
* Kita hendaklah berbuat
sesuatu yang baik itu dengan ikhlas tanpa meminta balasan.
PERBENDAHARAAN KATA
* Perlindungan: tempat
berlindung
* Kehairanan: kepelikan
* Jasa: bakti
* Menemui: berjumpa dengan
INFORMASI
* Madyan terletak di daerah
Ma’an, satu daerah di bahagian Selatan Palestin, iaitu tempat tinggal Nabi
Syuib
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz4w3KDNH2x
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment