Ad

Saturday, 14 October 2017

Orientalis timbulkan was-was terhadap Islam



ARKIB : 04/09/2007

DR. ATIKULLAH ABDULLAH.

Para orientalis telah sekian lama menyerang agama Islam melalui tulisan mereka. Serangan ini adalah dalam pelbagai bentuk termasuklah hadis.

Allah mengingatkan kita tentang tingkah laku golongan kafir ini melalui firman-Nya: Orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang terpesong itu)...(al-Baqarah: 120)

Serangan golongan ini kepada hadis adalah dari konsep sunah, keaslian hadis, hubungan hadis dengan perundangan dan sebagainya.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto SAZALI CHE DIN menemu bual pensyarah Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, DR. ATIKULLAH ABDULLAH berhubung isu ini.

Mega: Apakah maksud orientalis?

DR. ATIKULLAH: Orientalis mempunyai banyak makna. Menurut Edward W. Said dalam bukunya Orientalism, orientalis merujuk kepada sesiapa sahaja khususnya orang Barat yang mengajar, menulis atau mengkaji tentang hal ehwal Timur.

Dalam pengertian khusus, orientalisme lebih merujuk kepada gerakan pengkajian hal ehwal Islam dan masyarakat Muslim oleh orang Barat. Sama ada dengan tujuan ilmiah semata-mata atau untuk tujuan keagamaan dan politik.

Hubungan awal antara orientalisme dan kristianisasi dikatakan sangat erat sejak abad ke-13 Masihi. Mubaligh Kristian khususnya ke Timur sangat digalakkan mempelajari bahasa dan budaya hidup Muslim bagi memudahkan pencapaian misi mereka.

Malah, di peringkat awal, boleh dikatakan Kristian menjadi pendorong kepada gerakan ini.

Apakah tujuan gerakan orientalisme ini?

DR. ATIKULLAH: Secara ringkas, terdapat pelbagai tujuan gerakan ini. Ia meliputi keagamaan, akademik, perniagaan dan politik.

Menurut Mahmud Hamdi Zaqzuq, orientalis boleh dibahagi kepada golongan seperti berikut:

Pertama, yang mengkaji Islam atas nama akademik tetapi terselit niat jahat untuk memasukkan jarum mereka bagi mengelirukan masyarakat Islam tentang agama mereka. Golongan ini kebanyakannya terdiri daripada kakitangan gereja.

Golongan kedua ialah orientalis yang hanya mencari upah membuat kajian untuk kepentingan negara mereka sama ada dari segi ekonomi, penjajahan politik dan sebagainya.

Golongan ketiga ialah orientalis yang mengkaji Islam secara objektif. Mereka berpegang kepada prinsip akademik yang hanya berminat mencari fakta kebenaran.

Namun, sebahagian besar mereka adalah dalam kumpulan pertama dan kedua. Mereka dilihat sangat aktif memain peranan meracuni pemikiran umat Islam agar tidak kuat berpegang kepada ajaran Islam, jikapun tidak meninggalkannya terus.

Pelbagai keraguan dan syak wasangka ditimbulkan khususnya tentang asas dan sumber ajaran Islam iaitu al-Quran dan sunah.

Antara orientalis yang objektif dan termasuk dalam golongan ketiga tadi ialah Edward William Lane yang menghasilkan kamus Arabic-English Lexicon. Kamus ini diiktiraf sebagai sangat berautoriti dalam nahu Arab dan dirujuk oleh pakar nahu Arab sendiri.

Begitu juga A.J. Wensink yang menghasilkan Mu’jam al-Hadith al-Nabawiyy. Ia boleh dianggap lengkap dan sangat bermanfaat untuk pengkaji dan pencari asal-usul sesuatu hadis. Namun, seperti yang dinyatakan tadi, golongan ini amat minoriti.

Oleh kerana objektiviti mereka dalam menjalankan penyelidikan ilmiah, sebahagian mereka menemui kebenaran dan memeluk Islam.

Adakah pengkaji Muslim turut terpengaruh dengan gerakan orientalis ini?

DR. ATIKULLAH: Sememangnya usaha orientalis ini agak berkesan kerana memang ada umat Islam termasuk juga para pengkaji Muslim yang termakan dengan hujah mereka.

Menurut Mustafa al-Sibai’, antara faktor mengapa ini berlaku ialah kejahilan dan ketidakupayaan mereka merujuk sumber warisan Islam yang dihasilkan oleh para ilmuwan Muslim sendiri.

Yang kedua, pergantungan pengkaji Muslim dengan sumber yang dihasilkan oleh para orientalis. Sebabnya, banyak manuskrip tentang Islam diperoleh di luar negara berbanding di Malaysia atau negara-negara Islam yang lain.

Ketiga, terpengaruh dengan dakwaan objektiviti akademik yang dicanangkan oleh orientalis. Padahal hakikatnya mereka sendiri tidak objektif dalam mengkaji Islam dan sejarahnya. Akar umbi dan asas pemikiran mereka yang sebenar ialah menolak Islam.

Keempat, keghairahan sesetengah pengkaji Muslim mengejar populariti dan membebaskan pemikiran mereka daripada belenggu taklid seperti yang mereka dakwa.

Apakah contoh pengaruh orientalis ke atas pengkaji Muslim?

DR. ATIKULLAH: Antara contoh yang diutarakan oleh al-Sibai’ dan Dr. Muhammad Mustafa al-A’zami ialah tentang buku Adwa’ ‘ala al-Sunnah al-Muhammadiyyah, karangan Abu Rayyah.

Dalam buku ini, pengkajinya banyak bergantung kepada sumber orientalis untuk mengkaji tentang hadis Rasulullah s.a.w. Ini membawa beliau kepada mempertikaikan kredibiliti beberapa sahabat utama baginda. Antaranya, Saidina Umar dan Abu Hurairah.

Begitu juga al-Sibai’ menceritakan bagaimana gurunya di Universiti al-Azhar yang mengajar Sejarah Perundangan Islam yang terlalu terikat dengan sumber orientalis. Hinggakan beliau menuduh Imam Al-Zuhri, seorang tabi’en yang terkenal sebagai pereka hadis palsu untuk faedah pemerintahan Bani Umaiyah.

Padahal, al-Zuhri adalah seorang tabi’en yang sangat terkenal dengan warak dan takwa serta diakui sebagai imam dalam bidang hadis pada zamannya.

Adakah pengaruh ini dalam bidang hadis kekal sehingga sekarang?

DR. ATIKULLAH: Pengaruh orientalis dalam bidang hadis telah tersebar luas. Sehingga lahirnya golongan yang anti hadis iaitu mereka yang menganggap umat Islam tidak perlu kepada hadis untuk memandu kehidupan mereka.

Pada mereka, umat Islam hanya boleh bergantung kepada al-Quran kerana lebih terjamin keasliannya. Jika pengaruh-pengaruh orientalis ini berjaya meresap, sebahagian besar bahkan semua hadis yang diterima pakai oleh umat Islam pada zaman ini akan ditinggalkan.

Inilah yang sebenarnya matlamat kumpulan terbabit. Walhal dalam Islam, sunah atau hadis adalah sumber kedua hukum selepas al-Quran.

Dari segi perundangan Islam pula, orientalis agak berjaya memainkan peranan mereka menyogokkan bahawa undang-undang bukanlah sebahagian ajaran Islam. Islam hanya menekankan aspek akidah, moral dan akhlak.

Atas nama keadilan dan hak asasi, pengaruh ini semakin jelas di kalangan masyarakat. Ia dapat dilihat menerusi suara-suara yang memperjuangkan kebebasan sepenuhnya atau Islam liberal di kalangan umat Islam untuk menentukan apa yang baik dan buruk untuk mereka.

Apakah pula sumbangan Dr. Muhammad Mustafa al-A’zami dalam menangkis serangan orientalis terhadap hadis?

DR. ATIKULLAH: Beliau adalah antara sarjana Islam yang berhadapan dan bersemuka dengan orientalis secara ilmiah.

Al-A’zami dilahirkan di India dan mendapat pendidikan tinggi awal di institusi pengajian Islam terkemuka Darul Ulum, Lucknow, India pada tahun 1952. Kemudian menyambung pengajian di peringkat sarjana di Universiti al-Azhar dalam pengajian hadis pada tahun 1955.

Usaha terawal beliau dalam menolak dakwaan palsu orientalis bermula melalui kajian tesis doktor falsafahnya (PhD) di Universiti Cambridge. Tesis ini sebahagian besar menolak beberapa dakwaan bapa orientalis, Ignaz Goldziher, seorang Yahudi yang menulis tentang Islam dalam bukunya Muhammedanische Studien.

Ketinggian mutu dan kesarjanaan al-A’zami dalam menolak tesis orientalis tentang keaslian hadis Rasulullah mendapat pujian sebilangan orientalis sendiri seperti profesor di Universiti Cambridge, A.J. Berry.

Sebagai pengiktirafan kepada sumbangan al-A’zami dalam membongkar penyelewengan orientalis dan kesarjanaan beliau dalam bidang hadis, beliau dikurniakan Anugerah Raja Faisal yang sangat prestij pada tahun 1980.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0904&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4vYTuBtT0
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment