Ad

Tuesday, 3 October 2017

Malaysia kena belasah

ARKIB : 11/07/2007
 
Longgar... Tonggak China, Peng Han (kiri) mudah menanduk bola ke gawang Malaysia pada perlawanan Kumpulan C di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi. – AP.

KUALA LUMPUR – Malaysia membuka kempen Piala Asia dengan kekalahan memalukan apabila dibelasah China 5-1 dalam perlawanan Kumpulan C di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Kekalahan itu menjadikan Malaysia satu-satunya pasukan tuan rumah yang mencatat pencapaian terburuk dan kalah berbanding tiga lagi tuan rumah Piala Asia kali ini iaitu Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Sebelum ini, Thailand seri 1-1 dengan Iraq, Vietnam menewaskan UAE 2-0 manakala Indonesia menewaskan Bahrain 2-1.

China memulakan pesta jaringan mereka dengan bergaya apabila mudah memperkotak-katikkan pertahanan Malaysia dengan hantaran bola tinggi.

Seperti diduga, skuad negara yang berkedudukan 149 - terendah dalam pusingan akhir ini bukan tandingan langsung buat naib juara 2004 itu yang menghuni tempat ke-76 dunia sekalipun beraksi di depan kira-kira 18,000 penyokong sendiri.

Sebaliknya China yang diperkuatkan empat pemain berpangkalan Eropah seperti Zheng Zhi (Charlton Athletic), Sun Jihai (Manchester City), Dong Fangzhou (Manchester United) dan Shao Jiayi (Energie Cottbus), tampak begitu sukar untuk dijinakkan.

Anak buah Norizan Bakar tewas kali pertama pada minit ke-15 oleh tandukan pemain China, Han Peng sebelum diikuti gol kedua Jiayi pada minit ke-40.

Tuan rumah sekadar beroleh beberapa percubaan yang sempat mengancam gawang pelawat antaranya menerusi Hardi Jaafar dan Hairuddin Omar

Sekalipun semangat juang dan sokongan masih tidak memadai untuk menandingi China, anak buah Norizan terus mudah diratah di babak kedua.

China memperoleh gol ketiga ketika barisan pertahanan negara alpa untuk membolehkan Wang Dong menanduk masuk pada minit ke-51.

Empat minit selepas itu, China menambah lagi jaringan sekali lagi menerusi Han Peng apabila sepakannya terkena pemain Malaysia sebelum meleret masuk mengelirukan penjaga gol negara, Azizon Abdul Kadir.

Selesa di depan, China mengeluarkan beberapa pemain utamanya selepas itu dan mula memperlahankan rentak permainan.

Ini membolehkan Malaysia mencuri satu gol menerusi jaringan cantik pemain gantian, Indra Putra Mahyuddin yang menyepak dari luar kotak penalti untuk menggegar jaring pada minit ke-74.

Gol itu bagaimanapun tidak cukup untuk Malaysia terus menambah jaringan sebaliknya China menutup tirai jaringan dengan gol kelima menerusi Wang Dong dalam masa kecederaan.

Gol kedua peribadi Wang Dong itu menyaksikan Malaysia menutup permainan dengan hampa sambil laluan sukar menanti untuk dua lagi baki perlawanan menentang Uzbekistan dan Iran selepas ini

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0711&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4uRFBTwTT
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment