Kisah Al-Quran - Siri 55
NABI itu (hendaklah) lebih
utama bagi orang-orang Mukmin dari diri mereka sendiri dan isteri-isterinya
adalah ibu-ibu mereka. Dan orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat,
sesetengahnya lebih berhak (mewarisi) akan setengahnya yang lain menurut
(hukum) kitab Allah, daripada orang-orang yang beriman dan orang-orang
Muhajirin (yang bukan kerabatnya), kecuali kalau kamu hendak berbuat baik
kepada sahabat-sahabat karib kamu. Hukum yang demikian itu adalah tertulis di
dalam kitab Allah. (al-Ahzab: 6)
ORANG Islam perlulah mencintai
Rasulullah melebihi cintanya kepada dirinya sendiri. Rasulullah pernah
bersabda: “Tidak beriman seseorang kamu sebelum kamu mencintai aku lebih daripada
kamu mencintai dirimu, hartamu, anakmu dan manusia sekalian.”
Pada suatu hari, Umar
al-Khattab berkata kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, aku mencintai engkau
melebihi segala-galanya kecuali cintaku kepada diriku sendiri.”
“Tidak, ya Umar,” jawab
Rasulullah. “Engkau mencintai aku melebihi cintamu pada dirimu sendiri”.
“Ya Rasulullah, sesungguhnya
aku mencintaimu melebihi segala-galanya, walaupun diriku sendiri.” kata Umar
al-Khattab.
“Sekarang barulah betul,” kata
Rasulullah.
Tidak ada orang di dunia ini
yang mencintai Rasulullah seperti Abu Talib mencintainya. Abu Talib memelihara
Rasulullah dengan penuh kasih sayang ketika Baginda masih kecil. Apabila musuh
Islam mencari Rasulullah, Abu Talib akan melindungi Baginda.
Apabila orang kafir Quraisy
memulaukan Rasulullah, Abu Talib tetap teguh di sisi anak saudaranya itu.
Kecintaannya kepada Rasulullah
adalah salah satu perakuan bahawa Baginda adalah Rasul Allah yang diutuskan ke
dunia ini untuk menyampaikan risalah Allah kepada umat manusia.
Orang-orang yang beriman
mengakui kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah. Perintah Baginda harus dipatuhi
dan dilaksanakan.
Orang-orang Islam dahulu
menunjukkan bukti cinta mereka dengan sentiasa berada di sisi Rasulullah untuk
mempertahankan Baginda daripada apa jua ancaman. Mereka rela syahid demi
Rasulullah.
Umat Islam perlu
memperbanyakkan berselawat kepada Baginda. Ikutilah dan hayati sunah-sunah
Rasulullah bagi membuktikan cinta kita kepada Baginda.
- Petikan daripada buku Untaian
366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel:
edusb@streamyx. com.
PENGAJARAN
* Kita mesti mencintai
Rasulullah melebihi cinta kita kepada diri kita sendiri. Tidak ada benda di
dunia ini yang boleh melebihi cinta kita kepada Rasulullah.
PERBENDAHARAAN KATA
* memulau: menyisih seseorang
* berselawat: membaca doa ke
atas kesejahteraan nabi
* sunah: peraturan atau adat
yang berdasarkan perbuatan dan perkataan Nabi Muhammad s.a.w.
INFORMASI
Umar dikenali sebagai seorang
yang berani melakukan pembaharuan. Antaranya ialah;
* Mencetuskan idea untuk
mengumpulkan ayat-ayat al-Quran.
* Merupakan orang pertama yang
mendapat gelaran Amirul Mukminin (ketua orang-orang beriman).
* Orang pertama yang membuat
Kalendar Hijrah bagi umat Islam.
* Orang pertama menyusun
barisan pentadbiran dalam pengurusannya. Juga mengemaskini sistem gaji, rekod
dan ketenteraan.
* Orang pertama melantik
pasukan keselamatan seperti polis zaman sekarang.
SUMBERArtikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0914&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz4vZavVm87
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment