ARKIB : 06/01/2008
Oleh: MOHD SHAUKI ABD MAJID
KEMUNCULAN bulan Muharam pada
tahun ini bermakna umat Islam telah memasuki tahun baru Hijrah 1429. Mengingati
peristiwa hijrah ini ia sebenarnya mengandungi pengertian dan pengajaran yang
amat luas. Ada satu persepsi yang kurang tepat, pada saat menyambut tahun baru
Muharam. Dalam tahun baru kita menyambutnya dengan kegembiraan sedangkan jika
kita lihat sejarah Nabi Muhammad s.a.w. tahun baru Islam itu merujuk kepada
perjalanan Nabi s.a.w. dari Mekah menuju Madinah atau yang dikenali dengan
hijrah.
Hijrah bukanlah satu tanda
kemenangan kaum Muslim dan di samping kita merayakan Maal Hijrah dan detik
bermulanya keagungan Islam ini, jangan kita lupa peristiwa pengorbanan luar
biasa oleh kaum Muhajirin dan Ansar. Kaum Muhajirin mengorbankan dan meninggalkan
segala yang mereka miliki untuk menjaga kesucian iman. Manakala kaum Ansar
berkorban dengan penuh keikhlasan dalam membantu saudara- saudaranya kaum
Muhajirin. Bagaimana teguh dan eratnya tali persaudaraan antara mereka
(Muhajirin dan Ansar). Perayaan seperti ini diharapkan boleh mengingatkan kita
kepada sejarah perjuangan dan pengorbanan yang besar dan bersejarah itu.
Hijrah merupakan perintah
ilahiah. Dan tahun Islam mengingatkan kaum muslim bahawa pada setiap tahun
bukan terhadap kemenangan, tetapi banyaknya pengorbanan yang telah dilakukan
dan menyiapkan untuk melakukan pengorbanan yang sama seperti yang dilakukan
oleh kaum Muhajirin dan Ansar itu. Iman, hijrah dan jihad adalah trilogi
perjalanan hidup Rasulullah dan para sahabat. Trilogi tersebut diabadikan dalam
al-Quran pada surah al-Baqarah ayat 218: Sesungguhnya orang-orang yang beriman,
orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan
rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Sejarah mencatatkan bahawa
peristiwa hijrah ini amat besar ertinya bagi perjuangan Rasulullah khususnya,
dan umumnya kepada seluruh umat Islam. Peristiwa ini juga bertujuan merubah
strategi perjuangan Nabi s.a.w. dalam menegakkan syiar Islam. Di bawah
panji-panji Islam kaum Muhajirin dan Ansar membangun persaudaraan sejati,
membangun masyarakat Madani di bawah pimpinan Rasulullah.
Dalam meneruskan perjuangan
Islam ini, tiada bekalan yang paling utama selain daripada akidah itu sendiri.
Hijrah sebenarnya menggambarkan perjuangan untuk menyelamatkan akidah. Kita
hijrah maknawi daripada perbuatan syirik kepada tauhid, dari kufur kepada iman,
dari melakukan maksiat kepada taat, dari riak kepada ikhlas, dari takbur kepada
tawaduk, dari malas kepada rajin dari khianat kepada amanah, dari dusta kepada
jujur, dari perpecahan dan permusuhan kepada perpaduan dan berkasih sayang.
Perjuangan menegakkan akidah
umat Islam di negara ini harus dihadapi dengan perjuangan dan keyakinan bahawa
Allah s.w.t. sentiasa bersama dengan kita. Ini bukan bererti Allah bertempat
sebagaimana fahaman satu kumpulan bidaah. Al-Quran sendiri menjelaskan bahawa
ketika saat hijrah Rasulullah ia adalah satu kemenangan walaupun ketika itu
pada pandangan kita kemenangan itu belum dicapai.
Kalau kamu tidak menolong (Nabi
Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah pun menolongnya, iaitu ketika kaum
kafir (di Mekah) mengeluarkannya (dari negerinya Mekah) sedang ia salah seorang
daripada dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata
kepada sahabatnya. Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama
kita. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan
menguatkan dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan
Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan
sehina-hinanya) dan kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi
(selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. - (Surah
al-Taubah ayat 40).
Keteguhan akidah atau agama
seseorang itu diukur ketika saat ditimpa musibah bukan saat atau suasana
kemenangan atau kejayaan. Semua akan memeluk satu akidah apabila melihat
kejayaan, namun belum tentu demikian apabila mengalami penderitaan.
Akidah atau tauhid adalah
sesuatu yang paling berharga kepada umat Islam. Nabi s.a.w. diutus untuk
membawa manusia kepada akidah yang sebenar. Pastinya benih tanaman akidah yang
suci dan bersih ini dapat melahirkan bunga-bunga perpaduan dan kasih sayang,
keikhlasan dan ketakwaan serta pengorbanan.
Dalam Islam, akidah yang berunsur
ketakwaan inilah yang akan melahirkan amalan yang benar-benar ikhlas, di mana
amalanamalan seseorang tidak akan diterima Allah kecuali amalan-amalan yang
dilakukan oleh orang yang tidak menyekutukan atau menyerupakan Tuhannya dengan
sesuatu yang lain. Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: Tidak ada
seumpama-Nya suatu pun. (As-Shuraa ayat 11).
Dari segi realiti pula, apa
yang berlaku di negara kita terdapat gerakan-gerakan politik dan ideologi
tertentu yang telah mengutamakan kepentingan politik dan peribadi daripada
agama Islam itu sendiri sehingga lahir fatwa-fatwa karut yang boleh memesongkan
amalan mereka atas alasan tuntutan sunah, agama dan sebagainya.
Akibatnya, kita dapat melihat
begitu banyak sekali penyelewengan fikiran dan fahaman baik besar dan kecil
tanpa disedari oleh pengikut awam. Semua ini berpunca daripada amalan mentaati
semua fatwa yang dikeluarkan oleh pemimpin tertentu dan setengahnya adalah
daripada kalangan pemimpin tertinggi agama yang mempunyai kepentingan diri dan
politik.
Adalah tidak wajar kepada
mana-mana golongan, misalnya mencampuri urusan Allah berhubung dengan
perkara-perkara yang hanya diketahui oleh Allah seperti iman dan kufur, syurga
dan neraka atau masa depan seseorang itu masuk syurga atau neraka, kerana ia
juga dikategorikan sebagai penyelewengan akidah dalam mencapai sesuatu tujuan.
Dalam Islam memfatwa dengan menafikan akidah sesama Islam secara rambang dan
mudah adalah terkeluar daripada sunah Rasulullah.
Islam amat ketat untuk
menentukan seseorang itu terkeluar daripada akidah atau murtad, kecuali setelah
dia terang-terangan menunjukkan pengkhianatannya terhadap akidah Islam. Itu pun
setelah dinilai dengan saksama oleh orang yang ahli dalam bidang tersebut.
Demikian juga pusat pemulihan
akidah yang dikawal selia oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu
memainkan peranan yang lebih aktif khususnya dalam memulihkan akidah orang yang
telah murtad atau mereka yang terpengaruh dengan ajaran sesat. Ini bertujuan
bagi memastikan mereka benar-benar bertaubat dan kembali ke jalan benar dan
diredai Allah. Begitu juga dengan gerakan antihadis yang dianggap telah
menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.
Apa yang membimbangkan kita,
gejala penyelewengan akidah akhir-akhir ini kian menular di kalangan masyarakat
Melayu Islam. Kenyataan dari Jakim dan jabatan-jabatan agama Islam negeri
sebelum ini bahawa masih terdapat saki-baki ajaran sesat yang masih aktif,
sewajar diberi perhatian dan diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa agama
negeri di mana ajaran-ajaran sesat itu beroperasi.
Demikian juga dengan gerakan
ajaran antihadis yang masih wujud perlu dipantau oleh pihak berkuasa kerana
gerakan ini telah diwartakan sebagai bertentangan dengan agama Islam oleh
Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan sejak 1987 dan Majlis Agama Islam Wilayah
Persekutuan pada tahun 1988.
Kita yakin dan percaya bahawa
umat Islam yang kuat pegangan akidahnya tidak mudah terpengaruh dengan
perkara-perkara yang disebutkan itu. Ajaran Islam telah meletakkan ilmu sebagai
suatu perkara yang penting dan utama dan mendapatkan ilmu melalui sumber
rujukan yang muktabar sahajalah umat Islam akan menjadi umat yang cemerlang dan
digeruni.
Sempena tahun baru Hijrah 1429
ini, kita harus berusaha melawan hawa nafsu yang cenderung mengajak manusia ke
arah melakukan perkara-perkara kejahatan dan penyeleweng daripada lunas-lunas
syariat. Kita tanamkan azam baru untuk mengamalkan secara bersungguh-sungguh
perintah Allah seperti yang ditunjukkan oleh baginda supaya amalan agama subur
dalam diri umat Islam.
Hijrah daripada sifat jahil
kepada sifat kecerdikan dan kepandaian. Ini semua merupakan maksud dan tuntutan
hijrah dalam Islam. Maka hijrah dari satu amalan yang tidak diredai Allah
kepada suatu amalan yang dikehendaki-Nya adalah termasuk dalam maksud hijrah
yang sebenar. Dalam hal ini, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: Orang yang
berhijrah itu ialah mereka yang berhijrah meninggalkan apa yang dilarang Allah.
(Riwayat Muslim).
- PENULIS ialah Pengurus
Penyelidikan YADIM.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz4w6tNK6RD
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment