ARKIB : 01/08/2007
Oleh NIZAM YATIM (WARTAWAN
UTUSAN)
PADA 6 Julai lalu, buat kali
pertama Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan (KeKKWa) mengisytiharkan 50
Warisan Kebangsaan yang akan dipelihara atau dikekalkan untuk generasi masa
depan.
Ini adalah satu langkah
pragmatik kerajaan untuk memastikan setiap bangunan, lokasi, objek atau
kesenian tradisi yang ada nilai sejarah terus dipelihara setelah negara kita
mendekati ulang tahun kemerdekaan ke-50.
Antara yang disenaraikan ialah
Tugu Negara, Masjid Negara, Makam Pahlawan, Bangunan Sultan Abdul Samad,
Bangunan Residensi, Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Batu Caves.
Langkah itu, menempatkan
Malaysia sebagai salah satu daripada 10 negara yang mempunyai kemudahan dan
penghormatan memelihara warisan negara seperti yang dilakukan oleh Amerika
Syarikat, United Kingdom, Perancis, Jerman, Australia dan New Zealand.
Bagaimanapun, timbul persoalan
apabila dalam senarai itu, tiada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang
terletak di Tanjung Malim, Perak.
“Saya lihat tidak ada UPSI,
lain-lain itu yang wujud lebih terkemudian pun masuk dalam senarai, tapi UPSI
yang sudah berusia 85 tahun tidak ada.”
Itulah luahan Pro-Canselornya,
Tan Sri Dr. Yahaya Ibrahim apabila diminta mengulas ke mana menghilang nama
institusi latihan perguruan tertua di negara ini dalam senarai berkenaan.
Kekecewaan yang diluahkan oleh
Yahaya memang bertempat kerana walaupun UPSI boleh dianggap antara universiti
termuda di negara ini apabila hanya bermula pada 1 Mei 1997, namun sejarah
susur galur penubuhannya cukup lama, sejak 29 November 1922.
“Penubuhannya dicadangkan oleh
Timbalan Pengarah Sekolah-Sekolah Melayu, Sir Richard Winstedt bagi mewujudkan
institut latihan perguruan paling tinggi khusus untuk orang Melayu ketika itu.
“Ilham ini timbul setelah
kepulangan beliau dari lawatan ke Tanah Jawa dan Filipina. Tanjung Malim
dipilih kerana ia mempunyai tanah subur bagi menampung keperluan kurikulum yang
ketika itu berteraskan kepada kemahiran bidang pertanian dan juga kerana ia
berdekatan dengan rangkaian kereta api, jalan raya dan sungai.
“Pada mula-mula penubuhan
dengan kumpulan pertama pelatih seramai 120 orang, ia dikenali dengan nama
Kolej Latihan Sultan Idris (SITC) dengan reka bentuk bangunan cukup indah
berunsur seni bina Belanda ala Gothik zaman pertengahan,” jelasnya.
Ia sempena nama Almarhum Sultan
Idris Mursidul Adzam Shah iaitu Sultan Perak ke-28 yang memerintah antara tahun
1889-1916 yang banyak memberikan sumbangan dalam mempertingkatkan bidang
pendidikan orang Melayu.
Usaha Inggeris ternyata
membuahkan hasil apabila SITC yang mempunyai tenaga pengajar berbangsa Eropah,
Melayu dan Filipina berjaya melahirkan ramai pejuang Melayu yang cukup berjasa
bagi membangunkan masyarakat dalam pelbagai bidang.
“Terdapat kira-kira 30 tokoh
terkemuka yang dilahirkannya dan gesaan supaya ia dimasukkan dalam senarai
warisan bukan semata-mata kerana tokoh-tokoh ini, sebaliknya disebabkan UPSI
unik dan tiada institusi lain yang boleh dibandingkan dengannya,” tambahnya
lagi.
Melahirkan
Antara tokoh-tokoh ini ialah
Bapa Bahasa Melayu Moden iaitu Zainal Abidin Ahmad atau lebih dikenali dengan
panggilan Za’ba.
Ia juga melahirkan ramai tokoh
besar penyair, cerpenis dan novelis Melayu. Antaranya, A. Wahab Ali, Ali Majod,
Othman Puteh, Dharmawijaya, Kemala, Suhaimi Haji Mohammad, Shahnon Ahmad dan
Suratman Markasan.
Selain itu, SITC turut
melahirkan tokoh dalam bidang pendidikan seperti Tan Sri Awang Had Salleh serta
pemimpin politik iaitu bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul
Ghaffar Baba dan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.
Dalam pada itu, Yahaya
menyifatkan perkembangan UPSI sebelum ini boleh diibaratkan sebagai menapak di
warisan empat generasi kerana ia berkembang secara bertahap daripada sebuah
kolej kepada sebuah universiti, iaitu era SITC (1922-1957), MPSI (1957-1987),
IPSI (1987-1997) dan UPSI (1997-sekarang).
Pada tahun 1957, nama SITC
ditukarkan kepada Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI). Dari tarikh itu bermulalah
era MPSI yang membawa wajah, watak dan keperibadian Melayu, apabila pentadbiran
SITC yang selama ini diketuai bangsa Eropah beralih tangan kepada cendekiawan
Melayu.
Banyak subjek baru
diperkenalkan manakala tempoh latihan dipanjangkan daripada tiga kepada lima
tahun. Era MPSI berakhir pada 21 Februari 1987 apabila tarafnya sebagai sebuah
maktab ditingkatkan menjadi sebuah institut dengan nama Institut Pendidikan
Sultan Idris (IPSI).
Era IPSI merupakan satu zaman
mencabar, kerana ia berperanan memenuhi harapan masyarakat Melayu serta
kerajaan untuk melihat ia benar-benar menjadi tonggak bagi mempertingkatkan
taraf pendidikan orang Melayu.
Justeru, IPSI mengorak langkah
panjang dengan memperkenalkan pelbagai rancangan. Antaranya ialah mengadakan
Kursus Sijil Perguruan Khas (KSPK) pada tahun 1987 dan Kursus Perguruan Lepasan
Ijazah (KPLI) bermula tahun 1988.
Pada tahun 1993, kursus
berkembar dengan Universiti Pertanian Malaysia (sekarang Universiti Putra
Malaysia) pula diadakan dalam bidang Bahasa Melayu dan Pendidikan Jasmani.
Peranan IPSI berterusan hingga
ke tahun 1997, apabila ia diberikan status universiti selaras dengan matlamat
kerajaan untuk memastikan semua guru di sekolah rendah dan menengah mempunyai
ijazah.
“Menjenguk ke dasar sejarahnya,
menyedarkan kita bahawa, perjalanan UPSI adalah satu perjalanan yang panjang
dan unik.
“Setiap era mencatat satu
perubahan besar dan perubahan inilah yang akhirnya menganjak paradigma
masyarakat Melayu terhadap keunggulan dan sehubungan ini adalah wajar ia
diiktiraf sebagai warisan kebangsaan,” tegas Yahaya.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm#ixzz4ujoUnExr
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment