rencana@kosmo.com.my
Selepas lebih lima dekad,
peristiwa serangan segerombolan gerila Parti Komunis Malaya di Balai Polis
Bukit Yong, Pasir Puteh, Kelantan masih segar dalam ingatan bekas Konstabel
Ismail Abdul Rahman.
MAZLAN LAZIM (kiri)
menyampaikan cek kepada bekas anggota polis, Ismail Abdul Rahman di Kota Bahru,
Kelantan.
WALAUPUN fizikalnya kelihatan
sihat dan cergas pada usia emas, namun kesakitan yang ditanggung akibat terkena
beberapa das tembakan musuh di lengan dan perut masih dirasai bekas Konstabel
Ismail Abdul Rahman, 85.
Baginya, insiden serangan
segerombolan gerila Parti Komunis Malaya (PKM) di Balai Polis Bukit Yong, Pasir
Puteh, Kelantan kira-kira 54 tahun yang lalu masih segar dalam ingatan. Masih
juga terbayang wajah rakan baiknya yang terkorban semasa membalas serangan
musuh.
Mewarisi darah keperwiraan
daripada Allahyarham bapanya, Abdul Rahman Abdullah, anak jati Pasir Puteh ini
menyertai Pasukan Polis Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1950 semata-mata
terpanggil untuk mempertahankan kedaulatan tanah air daripada anasir subversif.
Menceritakan detik tersebut,
Ismail memberitahu, pada malam kejadian beliau diarahkan ketua balai yang hanya
diingati dengan nama Koperal Mat agar mengambil giliran berkawal di sebuah kubu
yang terletak di luar balai polis tersebut.
“Saya bertugas bersama
Konstabel Mamat pada malam 26 Mac 1953. Sebagai pengawal pos, saya
bersenjatakan Sten-gun, sambil mengawasi keadaan sekelilingnya.
“Ketika itu, ancaman daripada
gerila-gerila PKM memang berleluasa dan seringkali ejen-ejen komunis menyusup
masuk ke kampung-kampung berdekatan untuk meraih pengaruh masyarakat setempat.
“Sesiapa yang bertugas sebagai
pengawal malam, secara bergilir-gilir setiap dua jam akan ditempatkan di dalam
kubu guni. Mereka perlu lebih berhati-hati dan tangan sentiasa menggenggam
laras senjata.
“Kira-kira pukul 11 malam,
tiba-tiba kelihatan sebuah bas melalui jalan di hadapan balai dan dalam keadaan
berbalam-balam kegelapan malam, bas tersebut berhenti tidak jauh dari balai
lalu turun sekumpulan lelaki yang tidak dikenali.
“Tanpa sempat bertanya, mereka
melepaskan beberapa tembakan rambang ke arah balai termasuk menggunakan senjata
automatik jenis Bren-gun menyebabkan saya dan rakan terus berlindung di sebalik
guni pasir di situ,” ujarnya.
Menurut Ismail, keadaan malam
yang gelap menyebabkan anggota polis tidak dapat mengecam kedudukan gerila PKM
yang berlindung di sebalik belukar berdekatan menyebabkan mereka memberi
tembakan balas berpandukan cahaya daripada percikan api senjata musuh sahaja.
“Namun, taktik mereka licik
kerana gerila PKM kerap beralih kedudukan menyebabkan kami keliru, tetapi dalam
tembakan balas itu sesekali kedengaran juga jeritan musuh dipercayai terkena
tembakan polis.
“Walaupun berbalas tembakan,
namun jumlah musuh yang ramai menyebabkan ketua balai berpangkat koperal
akhirnya akur terhadap arahan musuh yang meminta mereka menyerahkan senjata
setelah dikepung dari segenap sudut.
“Akibat tembakan musuh juga,
saya tersungkur ke tanah dalam keadaan berlumuran darah manakala rakan setugas,
Mamat pula meninggal dunia beberapa meter dari tempat saya berlindung.
“Walaupun hati saya sarat
dengan perasaan geram dan marah, namun kecederaan menyebabkan saya terpaksa
menahan kemarahan. Nasib kami baik kerana musuh meninggalkan balai selepas
merampas senjata,” ujarnya mengingati detik cemas itu.
Keberanian Ismail
mempertahankan balai polis itu melayakkannya terpilih sebagai antara 18
penerima Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negeri yang disampaikan oleh
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim di Ibu
Pejabat Polis Kontinjen Kelantan baru-baru ini.
Tabung tersebut memperuntukkan
sejumlah RM45,000 kepada kesemua penerima itu termasuk balu mereka yang
menerima antara RM260 sehingga RM6,660 seorang mengikut kes yang mereka alami
semasa bertugas.
Turut hadir pada majlis itu
ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Supritendan Rezlan Abu Bakar;
Ketua Jabatan Pengurusan Supritendan Mohd Ismon Suratman dan Ketua Jabatan
Siasatan Jenayah Narkotik, Supritendan Wan Azmi Wan Hashim.
Sementara itu, Mazlan berharap
sumbangan yang diberi dapat meringankan beban penerima termasuk untuk
menyediakan keperluan membeli pakaian atau alatan sekolah anak-anak mereka.
“Sumbangan perwira-perwira
negara ini terlalu besar untuk dibalas apatah lagi mereka yang tercedera semasa
mempertahankan tanah air.
“Bagi pihak polis, saya merasa
bangga kerana jasa tuan-tuan membolehkan generasi hari ini merasai nikmat
keamanan dan mengekalkan kemerdekaan yang dicapai,” ujarnya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0121&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm#ixzz4wL0aqfhj
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment