ARKIB : 30/10/2007
PETER Barnes mengucapkan
tahniah kepada Muhammad Sabri Zainuddin, Azrizan Ahmad dan Adrian Davadass dari
Kelab Bola Sepak Ken Barnes Malaysia pada sidang akhbar pengumuman penghantaran
mereka ke Wigan Athletic di Institut Sukan Negara, Bukit Jalil, semalam.
KUALA LUMPUR Impian Malaysia
untuk menyaksikan kemunculan anak watannya di Liga Perdana England (EPL)
semakin hampir tertunai dengan terpilihnya tiga pemain remaja, Azrizan Ahmad,
Muhammad Sabri Zainuddin dan Adrian Davadass untuk berlatih di kelab Wigan
Athletic mulai 1 Disember ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kelab
Bola Sepak Ken Barnes (KBFC), P. Subramaniam berkata, mereka akan mendapat
peluang keemasan sekali seumur hidup itu dengan menjalani ujian pemilihan dan
sesi latihan di akademi belia kelab EPL selama tiga minggu dengan diawasi
Penasihat Teknikalnya, Peter Barnes.
Azrizan, 16, berasal dari
Langkawi dan bermain sebagai pemain tengah menyerang, Muhammad Sabri, 16, dari
Johor di posisi tengah atau pertahanan manakala Adrian, 14, di bahagian tengah,
katanya pada sidang akhbar mengumumkan penghantaran mereka di Institut Sukan
Negara, Bukit Jalil, semalam.
Menurut Subramaniam, mereka
dipilih daripada sejumlah 80 pemain yang mewakili enam pasukan dan penuntut
akademi Ken Barnes di Kangar, Cheras, Muar dan Shah Alam sepanjang satu
karnival bola sepak selama dua hari di Sungai Buloh, Selangor sejak Sabtu lalu.
Kata Barnes, mereka wajar
memanfaatkan peluang ini kerana persaingan untuk merebut tempat berlatih di
England terutama dengan sebuah kelab sebesar Wigan Athletic semakin sengit
apatah lagi dengan kebanjiran ramai pemain muda berbakat besar dari Afrika dan
negara Eropah lain.
Bukan semua orang mampu
mendapat peluang sebegini baik. Tidak perlu bimbangkan keadaan fizikal pemain
Asia yang biasanya kecil kerana dengan teknik, taktik, minat dan bantuan
jurulatih, mereka bakal mencapai kemajuan dalam mencorakkan masa depan bola
sepak Malaysia, katanya.
Jelasnya, seorang pemain
remaja, Nazrin Baharuddin yang pernah dihantar berlatih di Wigan Athletic di
bawah anjuran KBFC tahun lalu, sudah pun menempatkan diri dalam skuad Bawah 17
Tahun Malaysia malah persembahannya sentiasa menjadi sebutan ramai jurulatih di
sana.
Mereka juga mahukan penuntut
Sekolah Sukan Bukit Jalil itu kembali ke sana untuk menambah kemahiran dan
pengalaman tetapi kami terpaksa menangguhkannya kerana dia perlu menduduki
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bulan depan, katanya
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1030&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4vkSlIwcM
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment