ARKIB : 04/01/2008
Bersama: MOHD. FARID RAVI
ABDULLAH
SOALAN
Adakah perbuatan mengata
sesuatu yang benar tentang seseorang itu turut dikira mengumpat?
JAWAPAN:
Mengata dan mengumpat bermakna;
mencela-cela atau memburuk-burukkan orang lain di belakang. Dalam takrif yang
lain bermaksud: kamu menyebut mengenai saudara kamu perkara yang dibencinya
atau mengenainya perkara yang dia tidak suka.
Ini bermaksud apa sahaja yang
dikatakan dengan mengaitkan seseorang di belakangnya sama ada perkara baik
mahupun yang buruk adalah dikira mengumpat.
Namun ulama telah
mengkategorikan ada jenis umpatan yang diharuskan oleh syarak. Imam al-Nawawi
mengkhususkan satu bab dalam kitabnya Riyadhu al-Salihin tentang umpatan (atau
kata mengata yang tidak disukai di belakang tuannya) yang diharuskan syarak.
Beliau menyenaraikan enam sebab
umpatan itu menjadi harus:
Pertama: Untuk mengadukan
kezaliman. Harus bagi orang yang dizalimi untuk memberitahu pihak yang boleh
menolongnya daripada terus dizalimi penzalim.
Kedua: Meminta pertolongan
untuk mengubah kemungkaran dengan mengadu kepada pihak yang berupaya
mengubahnya dan menceritakan (mengumpat) perbuatan salah atau mungkar yang dilakukan.
Ketiga: Meminta fatwa tentang
sesuatu hukum agama yang ada kaitan dengan pihak yang diumpat dengan syarat
umpatan itu perlu dilakukan untuk memahamkan orang yang diminta fatwa. Jika
boleh difahami tanpa umpatan, maka umpatan tidak harus ketika itu.
Keempat: Memberi ingatan dan
nasihat kepada orang Islam lain tentang keburukan yang dilakukan oleh orang
yang diumpat.
Kelima: Mengumpat orang yang
terang-terangan melakukan kefasikan dan maksiat seperti peminum arak,
penceroboh, pengumpul harta orang secara zalim (termasuk perasuah), pelaksana
kerja-kerja batil dan seumpamanya.
Keenam: Memberi pengenalan
seseorang yang mana jika tidak diumpat sedikit maka orang tidak akan
mengenalinya, tetapi jika boleh dikenali dengan tidak mengumpatnya, maka
mengumpat ketika itu adalah haram.
Imam al-Nawawi juga membawa
beberapa hadis sebagai bukti Nabi s.a.w. juga mengumpat dan mengata di belakang
jika keadaan mewajarkannya, seperti berikut:
Imam al-Bukhari dan Muslim
meriwayatkan dengan sanadnya daripada Aishah r.a. bahawa seorang lelaki datang
meminta izin untuk keluar daripada baginda (sedangkan keadaan ketika itu tidak
membolehkan sesiapa pun berpindah keluar dari Madinah), lalu baginda berkata
kepada para Sahabat: Berilah keizinan padanya! Dia itu seburuk-buruk saudara
sekeluarga!
Imam al-Bukhari juga
meriwayatkan daripada Aishah r.a. bahawa Nabi s.a.w. pernah mengata di belakang
dua orang lelaki Islam yang tidak berdisiplin: Aku rasa si polan dan si polan
itu tidak tahu apa-apa tentang peraturan agama kita.
Di dalam kitab Ihya Ulum
al-Din, Imam al-Ghazali ada menyenaraikan beberapa keadaan yang membolehkan
seseorang itu mengumpat atau mengata, keadaannya adalah seperti berikut:
Pertama: apabila berlaku
penganiayaan, seperti seseorang yang dizalimi mengadu kezaliman seseorang
kepada hakim, agar hakim dapat mengembalikan haknya daripada orang yang
menzaliminya.
Kedua: meminta bantuan orang
lain untuk mengubah sesuatu kemungkaran dari seseorang atau mengembalikan
seseorang yang melakukan maksiat ke jalan kebaikan.
Ketiga: ketika meminta fatwa
atau keterangan sesuatu hukum dalam agama. Contohnya seseorang mengadu kepada
kadi dengan berkata: Ayah saya telah menganiaya saya.
Keempat: mengingatkan seseorang
muslim dengan sesuatu kejahatan. Contohnya: jika anda mengetahui seseorang itu
jahat, lalu anda mengingatkan orang lain supaya menjauhkan orang lain dari
orang itu.
Kelima: apabila seseorang itu
terkenal dengan sesuatu gelaran, atau panggilan yang memang menunjukkan sesuatu
kekurangan pada dirinya, seperti mengatakan si polan yang tempang atau yang
buta.
Keenam: apabila seseorang itu
memang sengaja terang-terang membuat kefasikan dan bermegah-megah dengan
perbuatan itu.
Namun tidak harus melihat
persoalan mengumpat dengan begitu mudah, keharusan itu masih dalam batasannya.
Apa yang diharuskan oleh ulama adalah demi mengembalikan keadaan yang buruk
kepada yang lebih baik, menjadikan seseorang itu lebih sempurna sifat islamnya.
Keharusan ini tidak bermaksud syarak mengizinkan seseorang itu untuk
memburuk-burukkan saudara seagamanya dengan sesuka hati.
Sekiranya sebahagian besar di
kalangan kita melihat membuka keaiban orang lain atau keaiban saudara
seagamanya harus, ketika itu kita akan lihat tiada yang akan bercerita mengenai
kebaikan orang malahan lebih ramai lagi akan berkata mengenai keburukan orang.
Lebih elok kalau kita boleh
menjadi pendamai dan pendorong kepada kebaikan dengan mengajak orang kepada
kebaikan.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz4w6Umbgrt
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment