Ad

Monday, 16 October 2017

MyTeam 2 lebih mantap hadapi Indonesia



ARKIB : 18/10/2007

KUALA LUMPUR – Skuad bola sepak siri realiti TV, MyTeam 2 bakal menghadapi pasukan Indonesia dalam perlawanan pertunjukan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini dengan lebih mantap dan berkeyakinan tinggi selepas menjalani sesi kunjungan ke Manchester United, awal bulan ini.

Skuad pemain amatur bimbingan Bojan Hodak dan Serbegeth Singh yang cuma kalah 2-0 kepada Akademi Antarabangsa Ron Atkinson pada 4 Oktober lalu mampu memanfaatkan pengalaman di Old Trafford itu sekaligus menampilkan persaingan seimbang.

MyTeam 2 menikmati mutu persaingan bertaraf antarabangsa yang turut meninggikan kualiti permainannya kerana akademi berkenaan dibarisi ramai pemain muda dan berbakat besar dari benua Afrika dan Sepanyol yang menanti peluang untuk mencipta nama dalam liga utama Eropah.

Bagi perlawanan di Bukit Jalil, Indonesia dijangka membariskan dua bintang kebangsaannya yang beraksi dalam Piala Asia, Julai lalu seperti Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy yang pasti mencetuskan tarikan kepada ribuan penonton terutama rakyat negara itu yang bekerja di sini.

Jurucakap MyTeam 2, Firmansyah Muhamad berkata, 22 pemain bakal dipertaruhkan ke Bukit Jalil dengan lima pemain dikenal pasti sebagai tonggak pasukan iaitu Mohd. Nizam Jefferi, Rossi Jemain, Chin Kwan Chuan, RA Mohan dan Mohd. Noor Hassan.

“Rossi yang berasal dari Kuching, Sarawak mampu mengawal rentak permainan dan mempunyai wawasan dalam membuat umpanan dari posisi pemain tengah bertahan kegemarannya,” katanya dalam kenyataan akhbar kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

“Mohd. Nizam seorang penyerang yang pantas dan agresif dalam kotak penalti malah memiliki kemahiran menguasai perebutan bola di udara sekali gus mampu mengancam lawan dengan tandukan deras dan tepat selain dianggap mempunyai masa depan yang cerah dalam bola sepak profesional.

Kwan Chuan, 21, pula dikagumi atas kerja kerasnya dan tahan lasak di bahagian benteng; Mohan, 18, seorang sayap kanan yang tangkas dan mampu mengumpan dengan tepat di sebalik tubuhnya yang kecil sementara Mohd. Noor dilantik sebagai ketua pasukan atas ketenangan dan terjahan tepatnya di posisi bek tengah.

Musim pertama siri realiti bola sepak ini pada Mei tahun lalu menyaksikan skuad MyTeam kalah 2-1 kepada Pilihan Malaysia di Bukit Jalil tetapi sempat mengejutkan skuad bimbingan K. Rajagopal yang diperkuatkan oleh Indra Putra Mahayuddin dan K. Nanthakumar dengan gol pendahuluan sepakan jarak jauh T. Prem Kumar.

SKUAD MYTEAM 2

Zakri Amin, Shaffaik Sukri, Chin Kuan Chuan, Hisham Hashim, Fadhlullah Yunfisar, Mohd. Noor Hassan, Farid Saibun, Meor Mahmud Nordin, Rossi Jemain, Firdaus Norshidi, Rosfaizul Azuar Ali, Fazrinal Idzuan Shah Idris, Fitri Asni, L. Ravi, IR Thurai Raju, Chow Kai Choong, Shaffik Rahman, GR Kumaran, Muhd. Arif Ismail, RA Mohan, Mohd. Nizam Jifferi, Ahmad Shamsuri Bazlan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1018&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4vjexB8VQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment