ARKIB : 06/07/2007
KISAH AL-QURAN - SIRI 47
Persiapan Perang Badar
SESUNGGUHNYA telah ada tanda
bagi kamu pada dua golongan yang telah bertemu (bertempur). Segolongan
berperang di jalan Allah dan segolongan yang lain kafir yang dengan mata kepala
melihat (seakan-akan) orang-orang Muslimin dua kali jumlah mereka.
Allah menguatkan dengan
bantuan-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat pelajaran bagi
orang-orang yang mempunyai mata hati. (Ali Imran: 13)
SEBAB terjadinya perang Badar
ialah ketika Rasulullah mendengar berita tentang keberangkatan pedagang Quraisy
yang dipimpin oleh Abu Sufyan bin Harb.
Mereka dalam perjalanan kembali
dari negara Syam dengan muatan barang-barang dagangan yang sangat banyak.
Permusuhan antara kaum Quraisy dan kaum Muslimin telah lama berlaku dan
berterusan kerana kaum Quraisy selalu berusaha untuk menghalang penyebaran
agama Islam.
Kaum Quraisy sering mengadakan
gangguan dan serangan di sempadan kota Madinah, tempat tinggal Rasulullah dan
kaum Muslimin.
Baginda telah mengarahkan
kaumnya supaya keluar mengejar kafilah dagangan kaum Quraisy itu.
Abu Sufyan mendengar berita
pengejaran itu. Beliau mengutuskan seorang daripada kaumnya untuk memberitahu
tentera-tentera Quraisy di Mekah supaya bersiap sedia menghadapi kaum Muslimin.
Utusan Quraisy itu telah mengundang kemarahan seluruh penduduk Mekah kecuali
beberapa orang yang tidak mampu untuk berperang.
Ketika Rasulullah mendengar
berita pengiriman tentera kaum Quraisy untuk menyerang kaum Muslimin, baginda
segera mengumpulkan kaum Ansar dan Muhajirin yang telah bersatu untuk berjuang
bersama-sama baginda. Baginda beserta kaum Muslimin yang hanya berjumlah 313
orang berangkat ke Lembah Badar.
Tujuh puluh daripada mereka
menaiki unta dan bakinya hanya berjalan kaki. Mereka saling berganti menaiki
unta. Begitu juga dengan Rasulullah yang bertukar ganti menaiki unta dengan Abu
Bakar, Umar dan sahabat-sahabatnya yang lain.
Nabi bersama tenteranya sampai
dahulu ke tempat mata air di tengah malam. Kemudian mereka membuat kolam-kolam
air, Rasulullah mengizinkan kaum Quraisy mengambil air minuman apabila mereka
turut berkhemah tidak jauh dari situ.
Sebelum Perang Badar bermula,
para sahabat mendirikan sebuah panggung untuk Rasulullah. Panggung tersebut
didirikan di atas sebuah tempat yang tinggi supaya Baginda dapat menyaksikan
kedatangan kaum Quraisy dan mengarahkan tenteranya supaya bersedia.
Setelah mengatur barisan kaum
Muslimin, Baginda kemudiannya masuk ke dalam panggung dengan ditemani oleh Abu
Bakar.
Dalam panggung itu, Baginda
bersujud kepada Allah sambil berdoa memohon bantuan. Baginda berasa kaum
Muslimin hanya bersandar kepada kekuatan diri semata-mata. Ini kerana mereka
hanya hanya terdiri daripada jumlah yang sangat kecil jika dibandingkan dengan
jumlah pihak lawan.
Melihat jumlah yang tidak
sebanding itu, Baginda berasa bahawa tidak ada jalan lain selain meminta
pertolongan Allah agar diberikan kemenangan. Baginda bertawaduk di hadapan
Allah sambil memohon bantuan bagi tentera Islam yang jumlahnya dan
kelengkapannya serba kekurangan.
Baginda berdoa semoga tentera
Baginda mendapat kejayaan agar agama Islam dapat terus dikembangkan. Jika
tidak, pastilah cahaya agama Islam akan pudar sedikit demi sedikit dan akhirnya
terus hilang.
PENGAJARAN
*Doa adalah satu-satunya
senjata yang paling ampuh apabila bertemu musuh.
*Kekuatan iman sebenarnya mampu
mengalahkan kekuatan fizikal.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0706&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz4uMHH2Wwg
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment