ARKIB : 18/07/2007
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
Norizan Bakar.
KUALA LUMPUR Setelah
terkeluar daripada saingan ke suku akhir lebih awal dan bolos 10 gol, barulah
jurulatih negara, Norizan Bakar terfikir untuk menerapkan corak bertahan
apabila Malaysia melayani Iran di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.
Menyedari Iran tetap memburu
kemenangan bagi menjuarai Kumpulan C pusingan akhir bola sepak Piala Asia ini
sekalipun hanya perlu seri untuk mara, Norizan turut menetapkan matlamat untuk
anak buahnya mengurangkan gol yang bakal membolosi gawang skuad negara.
Kami perlu berpijak di bumi
nyata. Kami tidak mampu menang dengan Iran tetapi pendekatan kami dalam
perlawanan itu nanti perlu tepat iaitu bertahan dan menyekat lawan, katanya
pada sidang akhbar di Hotel Prince di sini, semalam.
Katanya, dua perlawanan lalu
yang menyaksikan Malaysia dibelasah 5-1 dan 5-0 oleh China dan Uzbekistan sudah
cukup mengajarnya dan skuad negara bahawa sebarang percubaan untuk menyerang
hanya akan mendedahkan barisan belakang sehingga dihukum lawan.
Ujar Norizan, ada beberapa muka
baru dan rombakan dalam kesebelasan utama negara yang telah difikirkannya
tetapi kesemuanya cuma boleh didedahkan beberapa jam sebelum perlawanan pukul
8.35 malam ini.
Ditanya sama ada Suffian Ab.
Rahman bakal menggantikan penjaga gol utama, Azizon Kadir, jurulatih skuad
negara ini turut enggan mengesahkannya sekalipun terdapat segelintir pemain
lain yang sentiasa memanaskan bangku simpanan sejak siri persahabatan, bulan
lalu lagi.
Bagaimanapun katanya: Semangat
pasukan saya kini agak menurun tetapi kami perlu menjalankan tanggungjawab
untuk menamatkan persaingan ini. Kami sedar kami dikritik hebat kerana dua
kekalahan itu tetapi kami menganggapnya sebagai lumrah dalam bola sepak.
Norizan mengakui sebarang pakar
psikologi terbaik dunia pun tidak mampu memulihkan semangat pasukannya kini
tetapi mereka akan cuba menjadikannya sebagai sebahagian pengajaran.
Mengenai isu peletakan jawatan
Timbalan Tengku Abdullah sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) dan beberapa pegawai majlisnya, Norizan terus enggan diheret
sama ke dalamnya dan lebih berminat menumpukan perhatian kepada aksi dengan
Iran.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0718&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4uX5XxmAX
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment