ARKIB : 30/08/2007
BAPA Kemerdekaan Tunku Abdul
Rahman Putra Al-Haj.
KETIKA negara meraikan ulang
tahun kemerdekaan yang ke-50, renung pesanan daripada Perdana Menteri pertama
Malaysia, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra yang diluahkannya 25 tahun lalu
melalui wawancara dengan wartawan Bernama, Zakaria A. Wahab (kini Datuk)
sempena sambutan Jubli Perak kemerdekaan negara. Kami siarkan kembali wawancara
bertajuk Kenangan Seorang Negarawan yang dirakam pada Ogos 1982.
Pengarang
GENAPLAH 25 tahun negara
mencapai kemerdekaan dan sudah suku abad ia bebas daripada belenggu penjajahan.
Sambutan Jubli Perak kemerdekaan negara tentu disambut megah, bermakna dan
secara besar-besaran.
Tetapi bagi seorang anak
pribumi yang lahir dalam negara merdeka sambutan itu tidak ubah seperti
perayaan lain jua. Tidak ada bezanya. Rasa kemerdekaan mungkin tidak pernah
bertapak dalam hatinya.
Sebaliknya, pada yang pernah
melalui detik-detik perjuangan untuk mengembalikan maruah negara, bangsa dan
agama akan tercuit perasaannya, betapa besar dan berharganya nilai kemerdekaan
negara.
Padanya segala peristiwa pahit
getir dalam perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air akan terus tersemat dalam
sanubarinya dan menjadi kenangan selagi hayat dikandung badan.
Bekas Perdana Menteri Malaysia
yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang berusia 80 tahun (ketika
itu) adalah orang yang paling bahagia. Dalam dirinyalah tercatat segala sejarah
kelahiran sebuah negara merdeka, maju, bebas dan bahagia.
Bapa Kemerdekaan inilah yang
dapat menceritakan segalanya mengenai negara, dari sebelum, pada dan selepas
Hari Kemerdekaan yang kini sudah menjadi sejarah tanah air. Untuk ini, beliau
telah sudi diwawancara di kediamannya di Pulau Pinang.
Dalam wawancara tersebut Tunku
secara terbuka mengeluarkan pendapat dan pandangannya terhadap soal-soal yang
menyentuh kemerdekaan dan betapa besar ertinya kepada beliau dan rakyat negara
ini.
Beliau menyorot segala
perubahan yang dialami negara seperti mengenai perpaduan kaum, keselamatan,
dasar memandang ke timur, hubungannya dengan British, agama, raja-raja Melayu,
bangsa dan berbagai-bagai peristiwa suka duka yang kini menjadi kenangannya.
Apakah perasaan Tunku setelah
25 tahun negara mencapai kemerdekaan dan sambutannya hari ini?
TUNKU: Hari Kemerdekaan adalah
hari yang bermakna kepada kita kerana negara kita amat berlainan dengan
negara-negara lain yang ada di dunia.
Sejarah Tanah Melayu telah
menunjukkan bangsa kita sentiasa dijajah sejak dari zaman Portugis, Belanda,
Inggeris dan Jepun serta Siam yang menjajah negeri-negeri di utara Semenanjung.
Pihak Inggeris (British)
memandang negara kita sebagai sebuah negara yang dilimpahi susu dan madu yang
bermakna kita selama- lamanya sudah tentu akan dijajah.
Dalam keadaan negara yang
mempunyai rakyat berbilang kaum, pihak Inggeris telah pernah berkata selagi
rakyat Tanah Melayu tidak boleh bersatu dan bekerjasama sesama sendiri selagi
itulah kamu dijajah.
Kemerdekaan yang kamu tuntut
tidak akan tercapai. Hinggakan pintu UMNO hendak dibukakan kepada kaum lain
yang sudah tentu berlanggar dengan perlembagaannya.
Dengan keadaan demikian, siapa
yang jadi pemimpin sudah tentu berperasaan yang negaranya, yang dipimpinnya
tidak akan boleh mencapai kemerdekaan. Tetapi dengan berkat usaha dan kegigihan
perjuangan rakyat yang bersatu menuntut kemerdekaan semasa itu dikabulkan juga
oleh Tuhan.
Semuanya kini menjadi sejarah,
sebab itu saya nampak sambutan yang dibuat bagi mengingati hari tersebut
menunjukkan betapa kerajaan dan rakyat telah memulakan Hari Kemerdekaan, hari
kebesaran negara kita itu.
Satu perkara yang saya hendak
timbulkan di sini ialah masih belum terdapat catatan sejarah yang lengkap
menunjukkan peringkat-peringkat perjuangan kita hingga mencapai kemerdekaan.
Atas kekurangan itulah saya
telah meluangkan masa untuk menulis apa yang saya ingat semasa berjuang untuk
mendapatkan kemerdekaan supaya rakyat sendiri dapat membaca dan memahaminya
dengan sebenar walaupun tidak sepenuhnya.
Apakah pencapaian yang paling
penting atau yang meninggalkan kesan selama 25 tahun selepas negara mencapai
kemerdekaan?
TUNKU: Pencapaian yang paling
penting pertamanya ialah sekarang sudah wujudnya persefahaman yang baik di
antara rakyat berbilang kaum di negara ini.
Keduanya ialah
rancangan-rancangan pembangunan yang telah kerajaan jalankan untuk memberi
kesenangan kepada rakyat jelata, yang ketiganya ialah dengan tercapainya
kemajuan pembangunan itu keadaan keamanan dan keselamatan negara turut tercapai
dengan gilang-gemilang hingga dikagumi oleh negara-negara lain, ini yang
utamanya.
Bagaimana pandangan Tunku
terhadap soal perpaduan kaum, apakah ia sudah mencapai tahap yang memuaskan
atau boleh dibaiki lagi?
TUNKU: Apa yang telah kita
capai sekarang sudah begitu baik, tetapi hendak mencapai perpaduan sepenuhnya
agak sukar. Tetapi kalau kita buat secara beransur-ansur memang boleh, asalkan
niat hendak berbaik- baik di kalangan kita itu ada. Kalau tidak ada, kacau.
Perasaan kebimbangan antara
kaum itu memanglah ada, sebab itulah saya kata kita mesti jujur dan bertimbang
rasa semasa pemerintahan saya.
Saya dapati ramai orang Cina
begitu juga orang India berbelah bagi taat setia mereka iaitu antara negeri
asal mereka dan Tanah Melayu, tetapi saya menarik hati mereka supaya taat dan
memberi keyakinan bahawa mereka akan selamanya di negara ini walaupun kuasa
politiknya dikuasai oleh orang Melayu.
Menimbulkan
Jadi memanglah ada selalu
kebimbangan itu bahawa kaum-kaum dalam negara ini boleh berpecah, tetapi
asalkan kita tidak membuat perkara-perkara yang boleh menimbulkan pergaduhan,
negara kita sudah tentu akan selamat. Saya masih teringat semasa peristiwa 13
Mei, 1969 di Kuala Lumpur dulu bukan main dahsyatnya Allah s.w.t. sahaja yang
tahu.
Kalau timbulnya pergaduhan dari
Perlis, Kedah hingga Johor sampai ke negeri-negeri sebelah Pantai Timur itu,
apa hendak jadi pada negara ini saya tidak tahulah, macam saya ni bolehlah
melarikan diri tetapi rakyat miskin dalam kampung hendak selamatkan diri di
mana? Yang duduk di pekan hendak lari ke mana?
Siapa yang boleh menjaga setiap
orang atau mereka semua? Jadi apa yang saya perhatikan selama 25 tahun merdeka
ini, saya dapati perasaan terutama orang-orang muda atau generasi baru dan
lebih-lebih lagi mereka yang keluar dari sekolah-sekolah yang dibantu oleh
kerajaan, mereka ini sudah banyak memandang ke Malaysia sebagai tanah ibu pertiwi
mereka.
Malah, mereka sudah belajar
bahasa Melayu dan pandai bertutur dalam bahasa Melayu.
Sampai dalam taman didikan
kanak-kanak sendiri saya dapati kanak-kanak kaum lain begitu juga keadaannya,
pernah anak saudara Adikong (Aide De Camp) yang belajar di tadika membaca
al-Fatihah di depan saya, dari mula sampai habis. Jadi saya tanyalah tidakkah
ibu bapa mereka marah kerana tadika itu bukan sekolah agama dan mengajar mereka
membaca al-Quran pula.
Mereka memberitahu saya
sebenarnya mereka tidak pernah mengajar membaca al-Quran kepada kanak-kanak
bukan Islam.
Hanya kanak-kanak Melayu sahaja
yang diajar membaca al-Quran, manakala kanak-kanak keturunan lain diajar
mengenai adat dan tatatertib sahaja mungkin mereka pandai membaca al-Quran
kerana banyak bergaul dengan kanak-kanak Melayu serta selalu mendengar mereka
membaca kitab dan turut membaca bersama.
Jadi sampai begitu sekali
keadaannya sekarang. Itulah saya berpegang kepada satu iaitu kita hidup dengan
persefahaman yang baik, di antara satu sama lain dan harus bersyukur kepada
hadrat Ilahi.
Tetapi kita mesti jaga keamanan
itu agar tidak berlaku huru-hara atau perpecahan. Kalau sudah berpecah
memanglah akan berpecah terus.
Kita dapat lihat sendiri
seperti di Lebanon, penduduknya yang terdiri daripada satu bangsa tetapi kerana
berlainan agama telah bergaduh sesama sendiri dari satu masa ke satu masa dan
tidak pernah dapat hidup senang kecuali menanggung penderitaan akibat perbuatan
sendiri.
Inilah perkara yang kita mesti
awasi, saya pasti memang ada orang Melayu yang cuba hendak gunakan agama untuk
memecahbelahkan antara satu sama lain.
Mereka tahu kalau digunakan
cara lain sudah tentu agak sukar bagi mereka hendak mempengaruhi orang Melayu.
Sebaliknya dengan menggunakan Islam orang Melayu akan lebih cepat tertarik
hati. Kerana itu timbullah peristiwa sembahyang sampai dua imam dalam satu
masjid. Inilah yang kita mesti jaga.
Agama Islam sebenarnya
bertujuan memberi kebahagiaan kepada hambanya bukan untuk berpecah belah dan
bergaduh antara satu sama lain. Sebab itu saya berusaha simpangkan Perkim
daripada kejadian seperti itu. Allah tidak melarang kita berbaik-baik dengan
kaum lain. Inilah yang membimbangkan.
Bagaimana pula dengan ancaman
komunis?
TUNKU: Ancamannya tidak begitu
besar lagi seperti di zaman darurat dulu. Mereka sekarang tidak punya haluan
lagi, mereka sudah tahu negara China tidak begitu memberi sokongan kepada
perjuangan mereka, mereka pula sentiasa diburu oleh pasukan keselamatan baik di
hutan Malaysia mahupun di Thailand.
Saya rasa seelok-eloknya lebih
baik mereka menyerahkan diri sahaja kepada kerajaan daripada meneruskan
perjuangan yang sia-sia itu. Sekiranya mereka menyerah diri dengan rela hati
bolehlah kita berikan kebebasan kepada mereka setelah nyata mereka telah insaf
dan sedar.
Apa pula pandangan Tunku
tentang perubahan-perubahan yang dibawa oleh pemimpin-pemimpin dulu kepada
negara dalam tempoh 25 tahun lalu?
TUNKU: Memang ada banyak
perubahan, tetapi pembaharuan yang dibawa oleh para pemimpin itu tidak lari
daripada dasar-dasar yang sedia ada. Dasar-dasarnya sama sahaja dari mula
hingga hari ini. Perubahan-perubahan yang dibawa itu dibuat dalam rangka
Perlembagaan negara, jadi dalam tempoh 25 tahun itu banyak perubahan telah
berlaku tetapi ia didasarkan kepada asas-asas kemerdekaan seperti rancangan
kemajuan tanah, pembangunan ekonomi dan pelajaran.
Para penduduk diberi tanah
beberapa ekar untuk dimajukan. Pada masa itu sedikit sangat orang Melayu yang
ada kerja dan miskin pula. Orang Melayu yang bekerja pada masa itu ialah
kalangan pegawai kerajaan yang makan gaji. Kerajaan juga ada memberi peluang
untuk orang Melayu berniaga.
Sekarang siapa saja, sama ada
dia anak orang kaya atau pegawai besar atau pekerja rendah sama saja,
masing-masing mempunyai peluang yang sama untuk belajar.
Saya tengok mereka yang belajar
di universiti dan yang sudah bekerja sekarang bukan lagi anak-anak orang besar
atau anak-anak raja macam saya, itulah kemajuan yang kita dapat lihat sendiri.
Malaysia telah dianggap dan
selalu disebut sebagai sebuah negara yang lebih maju dari negara-negara yang
sudah merdeka. Jadi adakah betul anggapan itu?
TUNKU: Ya, memang betul sungguh
anggapan itu, mana ada negara yang boleh dibandingkan dengan Malaysia? Bukan di
rantau ini atau Asia Barat sahaja malah dalam dunia. Singapura tidak boleh
dibandingkan dengan kita kerana ia merupakan sebuah negeri bandar raya.
Mencapai
Tidak pernah saya melihat
negara yang maju seperti Malaysia semasa saya membuat lawatan-lawatan ke luar
negeri. Cuba saudara tanya mana-mana orang Cina sekalipun yang pernah ke luar
negara sama ada untuk makan angin atau sebagainya, tanya mereka negara manakah
yang telah mencapai kemerdekaan yang lebih maju daripada negara kita.
Kalau kita tengok negeri-negeri
di benua Afrika, lemah segala badan kita dibuatnya. Kesusahan dan penderitaan
rakyat di negara-negara itu hanya Allah s.w.t. saja yang tahu. Kita lihat
sahaja orang Islam yang terpaksa lari dari negara mereka.
Betapa deritanya mereka. Saya
tahu perkara ini semua kerana saya sendiri yang bela pelarian Kampuchea. Siapa
pun tidak ambil tahu, cuba kita dengar cerita penderitaan mereka. Mendengar
sahaja sudah tidak tertahan.
Sekarang saya sedang cuba
hendak mengambil kira-kira 20,000 orang Islam dari Vietnam. Sebab itulah
sekarang saya masih lagi mengambil berat terhadap kerajaan, agama dan
perkembangan politik dalam negara. Seboleh-bolehnya saya hendak memelihara
keamanan dan kesenangan yang dinikmati oleh rakyat dan negara ini.
Bagaimana soal Singapura?
TUNKU: Soal Singapura, saya
yang bagi kemerdekaan kepada negara itu bukannya orang lain, saya menghadapi
berbagai tentangan, kritikan mahupun daripada kawan atau lawan kerana itu.
Tetapi saya tahu kalau kita tidak lepas Singapura sudah tentu akan berlaku
perkara yang tidak diingini. Jadi apabila ia diberi kemerdekaan keluar dari
Malaysia, Singapura menjalankan halnya dan negara kita dengan urusannya, ramai
orang kata saya penakut.
Bagaimana pula dengan
perkembangan kepimpinan terutama dalam UMNO?
TUNKU: Masa Datuk Onn Jaafar
meninggalkan UMNO dulu tidak ada siapa pun yang mahu pegang jawatan ketua UMNO
itu. Jawatan itu ditawarkan pula kepada ahli-ahli UMNO lain tetapi seorang pun
tidak mahu menerimanya kecuali Tun Sardon Jubir (bekas Yang Dipertua Negeri
Pulau Pinang) dulu.
Tetapi mereka minta saya jadi
ketuanya. Saya kata tidak mengapalah saya boleh jadi ketua UMNO. Pendek kata
tidak ada siapa yang mahu jadi ketua pada masa itu. Semuanya menyuruh saya.
Tetapi selepas saya berhenti memegang jawatan itu ramai pula yang hendak
berebut tempat itu hingga sekarang. Ini menunjukkan perkembangan dan kejayaan
kepimpinan semasa saya jadi ketua.
Bagaimana pula dengan kedudukan
raja- raja Melayu?
TUNKU: Kedudukan raja-raja
Melayu kita dalam negara memang tidak ada tolok bandingnya dengan raja-raja di
lain-lain negara mereka.
Apakah pandangan Tunku terhadap
masa depan negara?
TUNKU: Itu serah kepada Allah
s.w.t., tidak ada siapa pun yang pandai dan boleh meramalkan masa depan mereka.
Cuma apa yang dapat kita lihat sekarang negara berada dalam selamat.
Rakyat dapat hidup bersama
dengan baik. Alhamdulillah... anak cucu cicit kita dapatlah hidup aman sikit,
tetapi apa yang akan terjadi pada negara hanya Allah s.w.t. saja yang tahu.
Bagaimanapun kalau kita ini
jujur, baik hati dan sentiasa berikhtiar mencari kebahagiaan Tuhan akan
selamatkan kita, sebab itu saya tidak bimbang. Saya percaya sangat kepada kuasa
Allah s.w.t.
Apakah sikap yang perlu ada
pada rakyat untuk mencapai kemajuan negara dengan keadaan yang ada sekarang?
TUNKU: Selain daripada yang
telah dibuat oleh kerajaan, kita sendiri mesti tumpukan usaha untuk memajukan negara,
bangsa, keluarga dan diri sendiri. Rebutlah segala peluang yang disediakan
kerajaan.
Adakah rakyat Malaysia akan
mencapai tahap bangsa yang boleh dimegah dan dihormati oleh orang lain seperti
yang diidamkan oleh Datuk Seri Dr. Mahathir?
TUNKU: Ya, sekarang pun kalau
kita pergi mana-mana negara seperti negara Arab bila disebut saja dari
Malaysia, mereka terus memuliakan kita, mereka akan layan kita dengan baik dan
penuh hormat.
Apa nasihat Tunku kepada rakyat
Malaysia sempena sambutan Jubli Perak kemerdekaan negara?
TUNKU: Saya berharap rakyat
berbilang kaum dapat hidup dan berbaik-baik antara satu sama lain. Letakkan
taat setia kita kepada negara. Baik buruk pun, Malaysia tetap negara kita.
Tidak ada tempat lagi yang kita
hendak pergi kerana ini sajalah tanah air kita. Jadi kita harus bersatu padu.
Berdoalah kepada Allah s.w.t.
supaya dilimpah kurnia-Nya harapan kita untuk hidup dan berada dalam keadaan
selamat selama-lamanya.
SUMBER-Artikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0830&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm#ixzz4vX5SjYyL
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment