Ad

Friday, 6 October 2017

Hanya tinggal Darren Lok senjata robek Hong Kong

Jumaat, 6 Oktober 2017 | 6:01pm
PENYERANG Harimau Malaya, Darren Lok sedia galas tugas selepas ketiadaan dua penyerang, Hazwan Bakri dan Shahrel Fikri Md Fauzi akibat kecederaan. - Foto Osman Adnan
Hanya tinggal Darren Lok senjata robek Hong Kong
Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
 
KUALA LUMPUR: Malang menimpa skuad Harimau Malaya menjelang pertemuan dengan Hong Kong bagi aksi kelayakan Piala Asia 2019 (10 Oktober), apabila jurulatih Nelo Vingada kehilangan dua penyerang - Ahmad Hazwan Bakri dan Shahrel Fikri Md Fauzi yang mengalami kecederaan pangkal paha.

Hazwan tidak melaporkan diri bersama lima lagi pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), manakala Shahrel, (PKNP FC) mendapat kecederaan itu ketika sesi latihan terakhir sebelum berlepas ke Hong Kong, semalam.

Situasi itu menyebabkan Vingada hanya memiliki seorang penyerang, Darren Lok (Johor DT) dalam senarai 21 pemain untuk beraksi di Stadium Hong Kong pada perlawanan ketiga Kumpulan B kelayakan Piala Asia 2019.

Bagi Darren, 26, dia cukup sedia menggalas tugas itu meskipun mendapat kritikan selepas Harimau Malaya seri 1-1 dalam pertemuan pertama dengan Hong Kong di Stadium Hang Jebat, Melaka 5 September lalu.

"Ini perlawanan penting, kami tidak mendapat keputusan yang diinginkan ketika menentang Hong Kong di laman sendiri.

"Memang pada perlawanan di Melaka, kami mempunyai peluang untuk menang. Sekarang kami sudah tahu permainan mereka jadi kami mahu mencari kemenangan di sana," kata pemain berdarah kacukan England ini.

"Kami tidak kalah dengan Hong Kong di tempat sendiri, saya fikir kami tiada tekanan untuk meneruskan misi untuk layak," katanya kepada Arena Metro.

Setakat ini, Darren sudah beraksi dalam lapan perlawanan dan menjaringkan satu gol ketika Malaysia tewas 1-2 kepada Syria dalam aksi persahabatan antarabangsa pada 22 Ogos lalu.

Bagaimanapun dia mengakui perlu berusaha keras untuk menembusi benteng Hong Kong yang bakal dibarisi ramai pemain naturalisasi.

"Mereka memang mempunyai kekuatan fizikal. Walaupun mereka menurunkan pemain naturalisasi, itu tak bermakna kita tidak boleh menewaskan mereka," kata bekas pemain kelab England Eastbourne Borough FC itu.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Jumaat, 6 Oktober 2017 | 6:01pm

No comments:

Post a Comment