ARKIB : 11/07/2007
Syeikh al-Maraghi berkata,
kalam Allah yang terdahulu membincangkan berkenaan dengan infak dan
membelanjakan harta pada jalan Allah mengikut bahagian orang-orang beriman yang
memerlukan bantuan dan pertolongan. Ia boleh mewujudkan ruh taawun antara
ikhwah dalam iman.
Ia sebagai takaful umum dalam
sebuah keluarga Islam yang seluruh anggotanya seperti sebuah badan, tidak
mengadu satu anggota kecuali anggota yang lain memainkan peranannya.
Kemudian selepas itu dinyatakan
bab peperangan dengan pengorbanan jiwa semata-mata meninggikan agama Allah.
Sebagaimana yang dinyatakan bahawa harta adalah saudara kepada ruh. Justeru,
hubungan antara keduanya amat kuat, amat munasabahlah disebut ayat perang
selepas menyebut semua hukum sedekah.
Allah berfirman:
Kamu diwajibkan berperang
(untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu
benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan
boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah),
Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
(al-Baqarah: 216)
Dinukilkan hukum jihad menurut
para Fuqaha, Hasan al-Banna berkata: Di sini ingin saya petik beberapa pendapat
ulama mazhab termasuk para ulama terkini berhubung hukum jihad dan persediaan
berjihad.
Menurut pengarang kitab Majma
al-Anhar Fi Sharh Multaqa al-Abhar yang menjelaskan hukum jihad dalam mazhab
Hanafi: Jihad menurut bahasa ialah memberikan apa yang termampu baik dalam
bentuk kata-kata atau tindakan. Menurut syariat pula ialah membunuh orang kafir
atau seumpama dengannya dengan cara memukul mereka, merampas harta mereka,
menghancurkan tempat ibadat dan memecahkan berhala mereka.
Tujuannya, mengukuhkan agama
dengan cara memerangi kafir harbi atau zimmi yang melanggar perjanjian dan juga
orang murtad yang merupakan orang kafir paling keji kerana dia mereka
membatalkan pengakuannya. Jika kita yang mulakan peperangan ini ialah fardu
kifayah. Maksudnya kita wajib memulakan peperangan selepas kita sampaikan
dakwah Islam. Jika mereka tidak memerangi kita, pemerintah wajib mengutus
pasukan tentera ke negara setiap tahun sekali atau dua kali.
Rakyat pula perlu menyokong
pemerintah. Apabila perkara ini dilaksanakan oleh sebahagian, yang lain tidak
diwajibkan. Jika kewajipan ini tidak terlaksana, penduduk yang berdekatan dan
seterusnya yang terdekat wajib melaksanakannya. Jika masih tidak cukup dan
memerlukan penyertaan semua, ketika itu jihad adalah fardu ain sama seperti
sembahyang.
Hukum ini wajib berdasarkan
firman Allah yang bermaksud: Maka perangilah orang-orang musyrikin itu. Ia juga
berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w:
Jihad itu terus hingga hari
kiamat. Jika ditinggalkan, semua orang Islam berdosa.
Di akhirnya pengarang menyebut:
Jika musuh berjaya menguasai sebahagian bumi Islam atau sebahagian wilayah
Islam, hukum ketika itu adalah fardu ain. Wanita dan hamba boleh keluar tanpa
izin suami dan tuannya. Begitu juga anak boleh keluar tanpa izin ibu bapanya.
Pemiutang boleh keluar tanpa izin penghutangnya.
Dalam buku al-Bahr dinyatakan,
jika seseorang wanita Islam ditawan di sebelah Timur, seluruh penduduk Barat
wajib membebaskannya selagi wanita itu tidak dibawa pulang ke kota atau kubu
mereka.
Menurut pengarang Bulghah
al-Masalik Li Aqrab al-Masalik Fi Mazhab Imam Malik (Mazhab Maliki): Jihad di
jalan Allah untuk memartabatkan kalimah Allah pada setiap tahun adalah fardu
kifayah. Jika telah dilaksanakan oleh sebahagian, yang lain tidak diwajibkan.
Namun jihad menjadi fardu ain
kepada orang tertentu seperti sembahyang dan puasa apabila dia dipilih oleh
pemerintah melaksanakan tugas tersebut atau apabila sebuah wilayah Islam
diserang musuh. Ketika itu penduduk itu wajib dan jika tidak mampu penduduk
berdekatan juga diwajibkan.
Dalam keadaan ini, wanita dan
hamba juga diwajibkan walaupun mereka dilarang oleh wali, suami, tuan dan
peminjam bagi yang berhutang. Jihad juga wajib jika bernazar. Ibu bapa hanya
boleh melarang jika jihad adalah fardu kifayah. Membebaskan seorang tawanan perang
yang ditawan musuh adalah fardu kifayah jika wangnya tidak mencukupi untuk
membebaskan dirinya. Walaupun ini bermakna terpaksa menggunakan semua harta
umat Islam untuk membebaskannya.
Menurut Matan al-Minhaj
karangan Imam Nawawi bermazhab Syafie, jihad di zaman Rasulullah s.a.w adalah
fardu kifayah dan ada yang berpendapat fardu ain. Selepas zaman Rasulullah
s.a.w pula bergantung pada kedudukan orang kafir.
Pertama: Jika orang kafir
berada di negara mereka, jihad adalah fardu kifayah. Jika jihad ini dapat
dilaksanakan oleh sebahagian umat Islam, yang lain tidak tidak wajib
melaksanakannya.
Kedua: Jika orang kafir
menceroboh ke dalam negara kita, penduduknya wajib mempertahankannya dengan
segala upaya mereka. Jika mereka boleh bersiap sedia untuk berperang, mereka
diwajibkan termasuklah orang miskin, anak lelaki, pemiutang dan hamba walaupun
tanpa izin.
Menurut kitab al-Mughni
karangan Ibnu Qudamah bermazhab Hanbali, jihad adalah fardu kifayah.
Namun ia menjadi wajib (fardu
ain) dalam tiga keadaan:
* Jika dua bala tentera
bertembung dan bersemuka, sesiapa yang ada ketika ini diharamkan beredar dan
masing-masing wajib menyertainya.
* Jika orang kafir menceroboh
sesebuah wilayah, seluruh penduduk wilayah itu wajib berperang dan bertahan.
* Apabila pemerintah mengerah
kumpulan tertentu, kumpulan itu wajib keluar berjihad.
Sekurang-kurangnya jihad ini
dilakukan setahun sekali.
Menurut Imam Ahmad bin Hanbal, setahu
saya tidak ada amalan fardu yang lebih baik daripada jihad, manakala perang di
laut lebih baik daripada perang di darat.
Menurut kitab al-Muhalla,
karangan Ibnu Hazm bermazhab Zahiri, jihad adalah fardu kepada umat Islam. Jika
telah ada orang yang menghadapi serangan musuh, melancarkan serangan ke kubu
musuh, memelihara sempadan umat Islam, orang lain tidak diwajibkan. Jika tidak
ada, maka jihad diwajibkan kepada setiap orang Islam.
Allah berfirman yang bermaksud,
Pergilah kamu beramai-ramai
(untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah
bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai
tanggungjawab) dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu. (at-Taubah:
41)
Jihad hanya boleh dilaksanakan
jika diizinkan oleh ibu bapa. Namun jika musuh menyerang sekumpulan umat Islam,
jihad menjadi wajib kepada semua yang mampu menolong mereka sama ada ibubapa
izinkan atau tidak. Kecuali jika tanpa kehadirannya boleh menyebabkan ibu
bapanya atau salah seorang daripada mereka akan terbiar.
Menurut al-Syaukani dalam kitab
Al-Sail Al-Jarrar: Dalil-dalil daripada al-Quran dan sunah yang menyatakan
jihad adalah wajib terlalu panjang untuk dituliskan di sini. Walau bagaimanapun
jihad ini hanya fardu kifayah iaitu jika telah dilaksanakan oleh sebahagian
umat Islam, maka yang lain tidak diwajibkan. Namun begitu, sebelum sebahagian
tadi melaksanakannya, jihad ini adalah fardu ain kepada semua yang mampu.
Bagi sesiapa yang dikerah untuk
berperang oleh pemerintah, dia wajib berperang dan hukum baginya adalah fardu
ain.
Para ulama, ahli sufi, ahli
profesional dan sebagainya tidak pernah meninggalkan dan mengabaikan jihad.
Mereka sentiasa bersiap sedia.
Abdullah bin al-Mubarak,
seorang ahli fikah yang zuhud sentiasa secara sukarela menyumbangkan banyak
masa untuk berjihad. Demikian juga Abdul Wahid bin Zaid, seorang ahli sufi yang
zuhud. Shaqiq al-Bajkhli, mahaguru sufi di zamannya sentiasa membawa diri dan
anak murid untuk berjihad.
Bagi al-Badar al-Aini, penulis
huraian hadis al-Bukhari seorang ulama fikah dan hadis, beliau akan membuat
giliran, tahun ini berperang, tahun hadapan mengajar dan tahun berikutnya
menunaikan haji. Al-Qadi Asad bin al-Furat al-Maliki adalah ketua tentera laut
pada zamannya. Al-Imam al-Syafie apabila memanah sepuluh anak panah, tiada
satupun yang tersasar.
Demikianlah budaya ulama silam.
Cubalah bandingkan kita dengan sejarah ini.
Iktibar Ayat:
* Berperang mempunyai matlamat
untuk menegakkan kebenaran dan keharmonian ummah.
* Kadang-kadang apa yang kita
tidak suka mempunyai hikmah yang cukup besar dan jauh lebih baik daripada apa
yang kita suka.
* Mengithbatkan sifat Allah
yang Maha Mengetahui.
SUMBER-Artikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0711&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4uRSqtyuA
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment