Ad

Friday, 13 October 2017

Usah takut panggil pemain muda

Zulfaizan Mansor
zulfaizan@bh.com.my
 
TONGGAK tengah Harimau Malaya, Syamer Kutty Abba membuktikan betapa jurulatih kebangsaan, Nelo Vingada perlu memanggil lebih ramai pemain muda ke dalam skuad itu pada masa akan datang.

Bekas penolong jurulatih skuad Olimpik Moscow 1980, Datuk Mohamad Bakar menjelaskan pemain kelahiran Pulau Pinang itu beraksi cemerlang walaupun kali pertama mewakili skuad senior negara.

Beliau berkata, Vingada seharusnya membuka mata untuk menyerap lebih ramai pemain muda dalam baki tiga perlawanan terakhir kelayakan Piala Asia 2019.

Katanya, ia juga sebagai langkah terbaik untuk melakukan persediaan awal skuad kebangsaan bagi menghadapi kejohanan akan datang, termasuk Piala AFF Suzuki tahun depan.

“Kenapa perlu takut untuk panggil pemain muda sedangkan mereka ada potensi. Buktinya, Syamer yang kali pertama dipanggil tetapi beraksi lebih baik daripada pemain senior.”

“Bagi saya kemampuan pemain senior ketika ini sudah berada pada tahap maksimum, sukar untuk diubah lagi. “Jadi, untuk masa akan datang senaraikan lebih ramai pemain baharu dan muda. Mereka perlu diberi peluang dan ia baik untuk skuad kebangsaan menghadapi kejohanan akan datang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selain Syamer, Nor Azam Azih dan Adam Nor Azlin menjadi antara pemain bawah 23 tahun negara yang kali pertama disenarai Vingada ketika skuad itu tewas 0-2 kepada Hong Kong dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019, kelmarin. Selain itu, Mohamad berkata anak didik Vingada sepatutnya tidak boleh tewas kepada pasukan Hong Kong yang dilihat memiliki kekuatan setaraf dengan Harimau Malaya.

“Apa yang saya lihat, Malaysia berjaya mengimbangi Hong Kong pada babak pertama, cuma kita tiada penyerang selain faktor kad merah diterima Safiq (Rahim).”

“Memang saya tidak setuju dengan tindakan Safiq, dia sepatutnya lebih profesional dan menunjukkan teladan yang baik sebagai kapten pasukan. Kita sepatutnya tak tewas kerana Hong Kong bukan kuat sangat walaupun dibarisi ramai pemain naturalisasi dan sekarang ini peluang negara untuk layak sangat sukar kerana mereka perlu berdepan Lubnan dan Korea Utara,” katanya.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2017 @ 6:22 PM

No comments:

Post a Comment