Ad

Friday, 6 October 2017

B-19: 10 muka baharu bukan masalah

Khamis, 5 Oktober 2017 | 11:39pm
Pemain skuad muda bawah 19 tahun negara (B-19), Akhyar Rashid tidak dapat dipanggil kerana masih terbabit dengan aksi Piala Presiden dan Piala Belia. - Foto Osman Adnan
B-19: 10 muka baharu bukan masalah
Oleh Syafiq Aznan
syafiq.aznan@bh.com.my
 
KELANA JAYA: Penampilan 10 muka baharu dilihat tidak mendatangkan masalah buat skuad muda bawah 19 tahun negara (B-19) menjelang aksi Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di Korea Selatan, hujung bulan ini.

Penjaga gol, Azri Abdul Ghani mengakui meskipun ada beberapa pemain yang dilihat masih kekok kerana baru pertama kali menyertai skuad, dia optimis persefahaman yang lebih mantap dapat dicipta sebelum mengharungi aksi kelayakan terbabit.

"Ketika ini, kebanyakan pemain masih cuba menyesuaikan diri antara satu sama lain terutamanya pemain yang baharu.

"Kami juga memerlukan masa kerana mereka datang dari pasukan yang mengamalkan corak permainan berbeza," katanya yang juga penjaga gol Piala Belia FELDA United.

"Apapun, tempoh latihan hampir tiga minggu ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mencipta keserasian antara pemain baharu dan pemain lama," katanya ketika ditemui pada hari pertama sesi latihan skuad B-19 di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hari ini.

Pengendali B-19, Bojan Hodak hanya mengekalkan 14 pemain daripada skuad yang beraksi pada Kejuaraan Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) 2017 bulan lalu dengan 10 lagi pemain baharu dipanggil menyertai latihan pusat kali ini.

Mereka adalah Luqman Abdullah dari Kuala Lumpur yang pernah dipanggil pada kem latihan pada Ogos lalu, T Shaheeswaran dan Adam Addruse Azmi (JDT IV), Ridhwan Nazri dan Syahmi Zamri (SSTMI), K Thivandaran (Pulau Pinang), Adib Abdul Ra'op dan Azarulhisham Anuar (Perak), Al Imran Abdul Halim (UiTM) dan Haziq Rahimi Iskandar (Sarawak).

Beberapa pemain tidak dapat dipanggil kerana masih terbabit dengan aksi Piala Presiden dan Piala Belia iaitu Ammar Akhmall Alias (FELCRA FC), Akhyar Rashid (Kedah), Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Syaiful Alias (Kelantan) serta Syafiq Danial Romzi (Terengganu).

Pada masa sama, penjaga gol berusia 18 tahun itu turut menuntut rakan sepasukannya agar meneruskan momentum yang diraih di Myanmar agar dapat memberikan yang terbaik pada perlawanan di Korea Selatan itu nanti.

"Dengan persiapan yang lebih rapi berbanding aksi di Myanmar bulan lalu, kami akan tampil lebih bersedia untuk memberi saingan khususnya kepada tuan rumah, Korea Selatan," katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Khamis, 5 Oktober 2017 | 11:39pm

No comments:

Post a Comment