ARKIB : 01/08/2007
Jasa wira-wira negara kian
dilupakan
Rencana Pengarang
SEMALAM berlangsung upacara
meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan Negara sempena Hari Pahlawan.
Ia menjadi acara simbolik
setiap tahun bagi memperingati wira-wira negara yang gugur semasa
mempertahankan negara.
Namun sejauh mana tanggal 31
Julai diingati sebagai hari istimewa untuk kita berfikir sejenak tentang
perjuangan anggota tentera yang bermandikan darah menentang penjajah dan anasir
komunis?
Adakah tarikh itu tersemat di
fikiran generasi muda atau sebenarnya tiada siapa peduli tentang pengorbanan
sekumpulan manusia yang hakikatnya menjadi pengasas kepada kewujudan negara
Malaysia yang merdeka?
Mahu tidak mahu kita terpaksa
mengakui bahawa Hari Pahlawan tidak tersenarai sebagai tarikh penting
berdasarkan promosi yang amat kurang sehingga ada di antara kita terlupa
mengenainya.
Tiada poster, kain rentang,
panji-panji jauh sekali iklan-iklan promosi mengenai Hari Pahlawan mungkin
kerana tiada nilai komersial yang boleh mendorong syarikat-syarikat korporat untuk
berbuat demikian.
Seolah-olah jasa yang
dihulurkan oleh para pahlawan tanah air puluhan tahun lalu begitu rendah
nilainya sehingga tiada siapa mahu mengetengahkan jasa mereka di khalayak umum.
Bukankah sumbangan perajurit
kita amat berkait rapat dengan ulang tahun kemerdekaan tanah air ke-50 tahun
ini kerana tanpa mereka Malaysia tidak akan mencecah ke usia gemilang.
Justeru selayaknya promosi
mengenai Hari Pahlawan mendapat tempat setaraf dengan sambutan Hari Kemerdekaan
kerana kedua-duanya tidak boleh dipisahkan.
Kita tidak mahu Hari Pahlawan
hanya diingati oleh kaum keluarga perajurit yang terkorban manakala rakyat yang
hidup aman damai hasil darah dan keringat mereka alpa tentang jasa golongan
tersebut.
Kementerian Pertahanan dan
Kementerian Pelajaran mesti berbuat sesuatu untuk memastikan sambutan Hari
Pahlawan bukan sekadar tradisi tahunan.
Program menghayati jasa-jasa
pejuang tanah air terutama di kalangan generasi muda bermula di peringkat
sekolah rendah lagi mesti dimulakan dari sekarang.
Malah sepatutnya pada tarikh
ini setiap sekolah mempunyai program sendiri untuk menerapkan minat di kalangan
para pelajar bagi mencari jawapan di sebalik sambutan tersebut.
Kita tidak mahu satu hari nanti
tarikh 31 Julai luput sama sekali daripada ingatan rakyat Malaysia manakala
Tugu Peringatan Negara hanya menjadi monumen tontonan umum tanpa siapa pun
mengetahui nilai di sebaliknya.
Jangan hanya kerana kita hidup
selesa dan aman damai maka jasa wira-wira negara dilupakan begitu sahaja.
Hakikatnya tanpa mereka siapalah kita.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm#ixzz4uhr2si9X
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment