RASULULLAH SAW mampu mendengar
suara dari dalam kubur. - GAMBAR HIASAN
Abdullah Bukhari Abdul Rahim
Al-Hafiz
02 Oktober 2017 4:00 PM
PERNAH saya menonton rancangan
Stan Lee’s Superhuman (pengasas komik Spiderman) menceritakan kelebihan ‘Ang
Rita’ iaitu seorang Sherpa (pemandu pendaki ke Gunung Everest di Banjaran
Himalaya) yang mendakwa sudah mendaki Gunung Everest lebih 10 kali.
Dia juga dalam rancangan itu
mampu bertahan berada di tanah tinggi tanpa menghadapi masalah untuk bernafas.
Berlainan dengan keadaan manusia normal yang lazimnya akan menghadapi masalah
tersebut apabila sampai pada tahap ketinggian tertentu kerana nipisnya oksigen
di tanah tinggi.
Masalah ini dikenali sebagai
‘High Altitude Sickness’.
Usah cepat melopong dengan
kelebihan itu kerana manusia kesayangan kita semua, Nabi Muhammad SAW memang
memiliki banyak kelebihan fizikal yang luar biasa.
Antaranya baginda mampu melihat
para malaikat, jin dan syaitan. Rasulullah terbang ke langit tinggi bersama
Jibril tanpa memerlukan peralatan moden yang diperlukan angkasawan.
Bukan setakat itu, deria
Baginda juga sangat luar biasa sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis
maksudnya:
Daripada Abu Dhar r.a. berkata,
Rasulullah pernah bersabda: “Sesungguhnya aku lihat apa yang kamu tidak lihat.
Aku juga dengar apa yang kamu tidak dengar. Langit bergetar dan sangat patut
baginya untuk bergetar kerana tiada tempat seluas empat jari melainkan ada
sahaja malaikat yang meletak dahinya sujud kepada Allah (maksudnya langit
dipenuhi para malaikat yang beribadat kepada Allah). Demi Allah, sekiranya kamu
tahu apa yang aku tahu, pasti kamu akan ketawa sedikit dan banyak menangis.
(Pasti) kamu juga tidak akan bersenang-lenang bersama isteri atas katil dan
pastinya kamu akan keluar ke jalanan mengharap rahmat Allah.” - Riwayat
Tirmizi.
Selain itu, banyak bukti yang
menunjukkan kelebihan deria lihat, dengar dan rasa terdapat pada Rasulullah
SAW. Antaranya;
1) Baginda mampu dengar, lihat
dan tahu situasi dalam kubur:
Uthman bin Affan berkata:
“Apabila selesai mengebumikan jenazah, Baginda duduk seketika di kuburnya dan
bersabda: Mohonlah ampunan untuk saudaramu ini dan mohonlah pada Allah agar
memberikannya keteguhan (jiwa) kerana sesungguhnya dia sekarang disoal (oleh
dua malaikat).” - Riwayat Abu Daud
2) Baginda juga mampu melihat dari belakang kepalanya
seakan ada mata tambahan di situ.
Kenyataan ini memang pelik
bunyinya, namun terdapat hadis berbicara mengenainya:
Anas bin Malik r.a.
meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Sempurnakan pergerakan rukuk dan sujud
(kamu). Demi jiwaku yang berada dalam tangan-Nya (kuasa-Nya). Sesungguhnya aku
memang melihat dari belakangku apabila kamu rukuk dan sujud.” - Riwayat Bukhari
dan Muslim.
Namun, adakah kemampuan Baginda
ini hanya berbentuk bayangan atau pandangan mata hakiki? Ia dibincangkan oleh
para ulama dan ramai ulama berpandangan ia adalah pandangan hakiki atas
kapasiti mukjizat Baginda. (Syarh Sahih Muslim oleh Imam al-Nawawi).
3) Mata Baginda tidur sedangkan hatinya tidak
Aishah r.a. pernah ditanya
mengenai bentuk solat malam Nabi pada bulan Ramadan. Ini jawapan beliau:
“Rasulullah tidak menambah solat malam pada bulan Ramadan dan bulan lainnya
lebih daripada 11 rakaat. Baginda mendirikan solat empat rakaat, jangan ditanya
tentang kualiti dan panjangnya (solat itu kerana ibadat Baginda tiada
bandingnya dengan orang lain). Baginda pun meneruskan solatnya empat rakaat
lagi dan jangan ditanya tentang kualiti dan panjangnya (solat itu). (Selepas
itu Baginda tidur seketika) dan Baginda teruskan lagi solatnya sebanyak tiga
rakaat.
Aishah bertanya: “Wahai
Rasulullah! Adakah kamu tidur (seketika) sebelum solat witir (dalam bilangan
ganjil).” Rasulullah menjawab: “Wahai Aishah, dua mataku tidur tetapi hati
jantungku tidak tidur.” - Riwayat Bukhari dan Muslim
Tingkat kecintaan
Mudahnya, kita katakan dalam
peristiwa tersebut, mata zahir Rasulullah tidur nyenyak dek keletihan teramat
sangat sehingga gagal bertindak balas dengan sinar matahari. Ini sifat manusia
biasa yang ada pada Baginda. Hati jantung Baginda pula kekal sedar beribadat
kepada Allah dalam kapasiti Baginda sebagai seorang nabi.
Ini antara beberapa kelebihan
Rasulullah SAW yang saya jumpa dan mampu kongsi agar cinta dan kagum kita
kepada Baginda mencanak naik.
Apa yang lebih penting bukan
sekadar kagum dengan kelebihan luar biasa deria baginda, tetapi menggigit kemas
segala peninggalan baginda.
Sebagaimana firman Allah
maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka
ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa kamu. Dan
(ingatlah), Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai
Muhammad): Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu, jika kamu
berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang
kafir.” (Al-Imran : 31-32).
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/rencana/agama/rasulullah-saw-seorang-super-hero-1.533171#ixzz4uLQyN7j6
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment