ARKIB : 26/01/2006
NASIR Yusof (kanan) memberikan arahan
kepada skuad pelatih bola sepak kebangsaan selepas sesi latihan di Wisma FAM,
Kelana Jaya, semalam bagi menghadapi New Zealand, bulan depan. - Gambar
SAHARUDDIN ABDULLAH.
PETALING JAYA - Skuad pelatih bola sepak
kebangsaan bakal menggunakan dua perlawanan persahabatan dengan dua pasukan
Liga Malaysia untuk membuat saringan awal pemilihan barisan pemain menghadapi
New Zealand, bulan depan, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.
Dua perlawanan yang salah satunya menentang
pasukan Liga Perdana, Polis di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Jumaat ini, turut
menjadi kayu pengukur penolong jurulatih, Nasir Yusof selain menilai prestasi
semasa mereka sepanjang sesi latihan pusat.
``Kami tengah mencari satu lagi perlawanan
persahabatan selepas Polis bersetuju tetapi perlu menanti mana-mana pasukan
yang kelapangan masa setelah mereka baru menamatkan persaingan liga,
masing-masing,'' katanya.
Menurut beliau, sesi latihan di Wisma FAM,
lebih banyak menekankan aspek kecergasan pemain dan memupuk keserasian dan persefahaman
gandingan tonggak senior dan muka baru yang dipanggil menjalaninya sejak
kelmarin hingga Selasa depan.
Skuad negara yang majoritinya dibentuk
daripada 10 pemain Bawah 23 Tahun yang meraih pingat gangsa Sukan SEA Filipina,
bulan lalu, akan menghadapi New Zealand di Christchurch dan Albany, Auckland
pada 19 dan 23 Februari ini.
Hanya pemain Selangor, Amri Yahyah yang
tidak hadir kelmarin kerana menghadapi perlawanan persahabatan dengan skuad
Bawah 23 Tahun Singapura, menyertai skuad 19 pelatih kebangsaan semalam yang
tetap berlatih dalam hujan lebat hampir setengah jam.
Enam lagi pelatih - Indra Putra Mahyuddin,
Fadzli Saari, Norhafiz Zamani Misbah, Azi Shahril Azmi, Saramsak Kram dan P.
Gunalan dikecualikan masing-masing kerana masalah peribadi, aksi terakhir Liga
Super Pahang-Perlis dan kecederaan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz44kKTbQxb
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment