Oleh SAHLIZAH MOHAMED
Penyokong Perak kelihatan
melindungi anak-anak mereka daripada terkena objek keras yang dibaling oleh
individu tidak dikenali dari luar Stadium Majlis Perbandaran Selayang ketika
aksi suku akhir kedua Superbest Power Piala FA antara Perak dengan Kuala Lumpur
malam kelmarin.
PENANTIAN Perak selama 11 tahun
untuk layak ke peringkat separuh akhir Superbest Power Piala FA akhirnya
tercapai.
Ia diperoleh menerusi
kemenangan 1-0 ke atas Kuala Lumpur pada aksi suku akhir kedua di Stadium
Majlis Perbandaran Selayang malam kelmarin.
Kemenangan tersebut yang
sepatutnya diraikan dengan penuh kegembiraan diakhiri dengan insiden buruk
angkara sikap segelintir penyokong yang tidak bertanggungjawab.
Penyokong-penyokong Perak
dikatakan ‘diserang’ secara tiba-tiba pada penghujung perlawanan apabila
secara tiba-tiba mercun dilemparkan ke arah mereka dari luar stadium.
Timbalan Presiden Persatuan
Bola Sepak Perak (PAFA) yang juga Pengurus Pasukan, Datuk Shahrul Zaman Yahya
berkata, ia kemudian diikuti dengan lontaran batu dari luar stadium.
“Kami menang malam tadi
(kelmarin) ke atas Kuala Lumpur dan layak ke separuh akhir kempen Superbest
Power Piala FA 2016 selepas menunggu selama 11 tahun dan saya puas hati dengan
pencapaian ini. Ia merupakan hadiah kami kepada para penyokong Perak.
“Pada masa sama, saya kesal
kerana sikap seperti ini masih menular dalam kalangan peminat bola sepak
tempatan yang saya anggap sebagai tiada disiplin diri dan kurang bertamadun,”
kata Shahrul Zaman di Ipoh semalam.
Menurutnya lagi, sebaik
perlawanan tersebut tamat di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, para
penyokong dan pemain Perak dikepung, manakala mereka yang berjalan ke arah
kenderaan masing-masing ada yang dikejar dan dibaling dengan objek keras.
“Ada juga dalam kalangan
penyokong yang tidak dikenali bertindak menunggu di bulatan jalan keluar ke
lebuh raya sebelum membaling batu ke arah bas yang membawa para penyokong
Perak.
“Ketegangan dan provokasi itu
menyebabkan ada penyokong dari Perak yang bertindak balas. Saya tidak menuduh
mana-mana pihak dan ada teori menyatakan pihak yang mencetuskan provokasi itu
bukan dari Kuala Lumpur, tetapi penyokong pasukan lain yang berdendam dengan
penyokong pasukan Perak.
“Apa yang jelas dan nyata
terbukti ada unsur-unsur provokasi dalam insiden ini. Ia bukan hanya berlaku di
Stadium Selayang, tetapi turut berlaku hampir di semua lokasi perlawanan Liga
Super dan Liga Premier.
“Persoalannya adakah ini budaya
kita. Saya sudah sampai ke tahap memikirkan mungkin lebih baik kita meminta
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memansuhkan kedua-dua liga berkenaan,”
jelasnya.
Jelasnya Shahrul lagi, beliau
tidak pasti sama ada masih berbaloi atau tidak acara sukan yang bertujuan
memupuk semangat kesukanan dan bersatu padu menjadi medan perang.
“Ia bagaikan tiada kesudahannya
kerana akhirnya semua mahu membalas dendam ke atas satu sama lain,” katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0403&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz44kMX0wBh
Hakcipta terpeliharaJohor DT
tepati ramalan
No comments:
Post a Comment