06 April 2016 6:02 PM
KERATAN Utusan Malaysia
semalam.
SYABAS saya ucapkan kepada
Khairul Idham Pawi yang hanya berusia 17 tahun tetapi berjaya menjadi pelumba
Malaysia pertama menjuarai kelas Moto3, Grand Prix Argentina di litar Termas de
Rio Hondo dengan catatan masa 41 minit, 35.452 saat, kelmarin.
Seluruh rakyat Malaysia begitu
berbangga sekali kerana anak muda dari Kampung Gajah, Pasir Salak, Perak ini
telah mengharumkan nama negara di arena sukan yang berprestij tinggi ini.
Oleh itu, adalah sewajarnya
nama beliau dijulang dan selayaknya pula diberikan sambutan wira apabila
kembali ke tanah air ini termasuk apabila pulang ke Perak nanti.
Dalam pada itu, rakyat Malaysia
terutama sekali yang beragama Islam turut terharu apabila beliau bergegas turun
daripada podium untuk mengelakkan daripada semburan arak sebaik sahaja selepas
lagu Negaraku berkumandang. Syabas Khairul Idham!
Diharapkan anak-anak muda yang
sebaya umur dengan Khairul Idham menjadikan beliau sebagai teladan untuk
membolehkan mereka berjaya dalam pelbagai bidang.
Beliau membuktikan anak-anak
muda di negara kita mempunyai bakat terpendam untuk menjadi pelumba dan
kebolehan itu tidak sepatutnya disia-siakan begitu sahaja dengan menyertai
perlumbaan haram di jalan raya yang boleh membahayakan nyawa dan terdapat
kemungkinan juga akan ditangkap oleh pihak polis.
Sebaik-baiknya, anak-anak muda
berlumba dengan cara yang betul di litar-litar yang disediakan dengan mematuhi
segala peraturan yang telah ditetapkan sebagai persediaan untuk menjadi seorang
pelumba profesional suatu hari nanti.
Dalam masa sama, dicadangkan
agar pemenang perlumbaan tidak lagi dirayakan kemenangan mereka itu dengan
minuman keras sekiranya ada pertandingan Grand Prix bertaraf dunia di negara
kita baik dalam perlumbaan motosikal ataupun kereta.
Apa salahnya semasa majlis
penyampaian hadiah di podium, minuman yang digunakan untuk meraikan kejayaan
adalah terdiri daripada jenis lain yang tetap boleh mengeluarkan buih yang
banyak seperti minuman botol berkarbonat atau ditukarkan sahaja dengan bunga api
ataupun mercun.
Kita mahu ramai lagi anak muda
seperti Khairul Idham di Malaysia dalam bidang sukan yang lain juga kerana kita
tahu ramai dalam kalangan mereka yang cukup berbakat, cuma tidak diberi peluang
secukupnya.
Anak-anak muda terbabit
seharusnya diberi bimbingan dan latihan secara tersusun dan agresif bagi
membolehkan mereka menyerlahkan bakat terpendam masing-masing.
Diharapkan juga Radio
Televisyen Malaysia (RTM) dan stesen televisyen swasta lain dapat menyiarkan
semula detik-detik perlumbaan Grand Prix Argentina berkenaan yang menyaksikan
Khairul Idham menjadi juara.
Saya juga berharap Khairul
Idham dijadikan sebagai ikon anak muda dan diberi pelbagai lagi bantuan
termasuk kewangan, peralatan dan jurulatih profesional bagi membolehkan beliau
mencatatkan lebih banyak kejayaan pada masa depan.
Marilah kita semua rakyat
Malaysia, tidak kira kaum dan pegangan politik memberi sokongan sepenuhnya
kepada beliau sama seperti yang telah diberikan kepada Datuk Lee Chong Wei
dalam sukan badminton.
SYED ABDULLAH
SYED OSMAN JAMALULLAIL
Ampangan, Negeri Sembilan
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/rencana/forum/jadikan-khairul-idham-ikon-anak-muda-1.212554#sthash.T9ivPUfc.dpuf
No comments:
Post a Comment