Ad

Wednesday, 6 April 2016

Pencapaian luar biasa!

AIZAWATI AHMAD  |  05 April 2016 12:36 AM

KHAIRUL IDHAM PAWI

KUALA LUMPUR - Kejayaan Khairul Idham Pawi muncul pelumba Malaysia pertama menjuarai Grand Prix dunia, bukan sekadar mencatat sejarah buat negara ini, tetapi pencapaian anak muda berusia 17 itu dianggap sebagai sesuatu yang luar biasa apabila mempamerkan persembahan konsisten tiga saat lebih laju berban­ding pesaingnya.
Malah, pelumba sensasi Honda Team Asia itu, yang menamatkan perlumbaan Moto3 Grand Prix Argentina di Litar Termas de Rio Hondo dengan masa 41 minit, 35.452 saat, mendominasi perlumbaan apabila dia terus-terusan mencipta masa sepusingan terpantas dalam perlumbaan yang berlangsung di litar basah.
Memilih tayar licin ternyata pi­lihan tepat yang dibuat oleh pasukannya sehingga membolehkan Khairul memacu laju jenteranya untuk meninggalkan jauh kelompok pesaing.
Kelajuan yang dicatatnya ter­nya­ta membuat ramai yang terpukau apabila dia melintas garisan penamat dengan jurang masa 26.170 saat di depan pelumba yang berada di kedudukan kedua, sekali gus mencipta kemenangan bersejarah buat Malaysia.
Menghuni tempat kedua di belakang anak kelahiran Kampung Gajah, Pasir Salak, Perak itu ialah Jorge Navarro dari pasukan Estrella Galicia 0,0 yang melakar masa 42:01.622s, manakala penunggang Red Bull KTM Ajo, Brad Binder di tempat ketiga menerusi catatan 42:05.512s.
Dalam kenyataannya ketika ditemu bual media, Khairul melahirkan rasa syukurnya kerana berjaya meraih keputusan podium dalam perlumbaan yang disifatkannya mencabar kerana berlangsung di litar basah.
“Untuk perlumbaan hari ini (semalam) saya sangat gembira! Keada­an di trek agar mencabar, tetapi saya cuba memastikan catatan masa saya terus konsisten dan mengekalkan kedudukan pendahulu.
“Saya memecut laju motosikal saya sedaya yang mampu dalam pusingan pertama untuk keluar daripada kumpulan pelumba yang ramai. Perlumbaan ini bagus untuk saya, terima kasih,” katanya selepas perlumbaan.
Kejayaan Khairul itu merealisasikan impian peminat Malaysia untuk mendengar lagu Negaraku berkumandang dalam perlumbaan Grand Prix dunia. Malah, pengulas perlumbaan turut melahirkan rasa terujanya untuk mendengar lagu kebangsaan dari sebuah negara kecil berkumandang di Argentina.
Rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan pelumba remaja itu turut menzahirkan perasaan terharu dan bangga mereka di atas kejayaan Khairul melalui laman sosial Facebook dan Twitter.
Beberapa peminat turut memuji tindakan Khairul yang melarikan diri ke pinggir podium untuk mengelakkan dirinya disembur minuman alkohol oleh pemenang tempat kedua dan ketiga selepas majlis penyampaian hadiah.
Menurut Facebook Friends of BN - Barisan Nasional: “Walaupun berada di luar negara dan memenangi kejuaraan Moto3 di Argentina, Khairul Idham Pawi tidak terpengaruh dengan budaya barat untuk goncang dan buka botol arak. Malah, beliau lari dari podium untuk tidak terkena air arak. Respek!.”
Kejayaan anak muda itu turut dikongsi bersama pelumba Petronas Raceline Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah yang juga cemerlang apabila menamatkan aksi di tangga keenam dalam perlumbaan Moto2 menerusi catatan masa 41:15.290s.
“Tahniah Buat Khairul Idham Pawi podium Moto3 di Argentina Grand Prix.‪#‎Pescao55#‎MestiCabarLagi. #‎AlhamdulillahNegaraku di Argentina.
“#‎Sujud syukur#‎P1#‎P6, saya simpati dengan Adam, tolong bangkit kembali dengan lebih mantap dan kita akan buat Malaysia berbangga dan kita akan terus berjuang,” kata Hafizh melalui laman sosial Facebook miliknya.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-motorsikal/pencapaian-luar-biasa-1.208708#sthash.9ew7zAlE.dpuf

No comments:

Post a Comment