04 April 2016 9:35 AM
Khairul
KUALA LUMPUR 4 April - Khairul Idham Pawi mencipta sejarah apabila menjadi pelumba Malaysia memenangi Kejohanan MotoGP Dunia dalam kategori Moto3 pada Grand Prix Motosikal Argentina awal pagi tadi.
Pelumba berusia 17 tahun dari pasukan Honda Team Asia itu mencatat masa 41 minit 35.452 saat dalam 21 pusingan di Litar Termas de Rio Hondo.
Pelumba Sepanyol, Jorge Navarro yang mewakili pasukan Estrella Galicia 0,0 Honda dan pelumba Afrika Selatan, Brad Binder dari Red Bull KTM Ajo masing-masing di tempat kedua dan ketiga dengan catatan 42’1.622 saat dan 42’5.512 saat.
Seorang lagi penunggang Malaysia, Adam Norrodin dari pasukan Drive M7 SIC Racing Team menduduki tangga ke-11 walaupun terbabit dalam kemalangan di selekoh akhir pusingan.
Khairul Idham yang beraksi buat kali ketiga dalam Moto3 teruja dengan kemenangan tidak dijangka itu.
“Saya gembira dan bersyukur dengan keputusan ini dan teruja dengan kemenangan pertama ini. Saya tidak rasa tertekan. Saya mencuba yang terbaik untuk fokus dan mendahului perlumbaan,” katanya.\
Pelumba muda ini mencipta pusingan keempat terpantas dalam sesi kelayakan pada Sabtu tetapi turun ke tangga ketujuh dalam grid permulaan selepas menerima penalti kerana mengayuh perlahan dalam sesi latihan bebas pada Jumaat.
Kemenangan ini menyaksikan Khairul Idham memungut 25 poin untuk berada di tempat keempat sementara Adam kekal di tangga ke-19 dengan lima poin selepas leg kedua kejohanan.
Litar Amerika di Texas Tengah, Amerika Syarikat akan menjadi leg ketiga dari 8 hingga 10 April ini. - BERNAMA
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/khairul-idham-cipta-sejarah-memenangi-motogp-dunia-1.208483#sthash.dTuA3rmq.dpuf
No comments:
Post a Comment