Ad

Sunday, 3 April 2016

Masih terlalu awal - Nasir

ARKIB : 28/01/2006
Oleh: JOHARI SYAWAL
PETALING JAYA - Penolong jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Nasir Yusof belum mampu memberi sebarang ulasan mengenai barisan pelatih negara, biarpun skuad itu menang 4-0 ke atas Polis dalam aksi persahabatan pertama di padang Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

``Saya tidak boleh katakan apa-apa mengenai pasukan baru ini ketika ini. Ini adalah kali pertama mereka diuji.

``Biarpun kami menang, secara peribadi saya belum boleh mengulas apa-apa. Tunggulah selepas persahabatan-persahabatan lain nanti,'' katanya.

Nasir berkata, apa yang dapat dilihatnya, semua pemain yang diuji dalam perlawanan itu begitu bersemangat dan bermain dengan bersungguh-sungguh.

``Ini kali pertama mereka berhimpun dan tentulah mereka belum ada kesesuaian antara satu sama lain. Tetapi kita akan tengok nanti dalam latihan-latihan berikutnya,'' katanya.

Skuad negara seramai 25 pemain mula menjalani latihan fasa satu sejak Selasa lepas sehingga Selasa ini.

Persahabatan dengan pasukan Liga Perdana, Polis itu adalah sebahagian persiapan pasukan negara yang dibimbing jurulatih, Norizan Bakar untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang New Zealand pada 19 dan 23 Februari ini.

Norizan ketika ini berada di Mekah kerana menunaikan haji dan akan kembali dan mula melatih skuad negara pada 9 Februari.

Nasir juga enggan mengulas mengenai jentera serangan negara yang diujinya terutama penyerang Selangor, Mohd. Amri Yahyah dan Mohd. Safee Sali yang masing-masing menjaringkan satu gol dalam perlawanan semalam.

Pasukan negara mendahului 1-0 pada babak pertama menerusi jaringan Amri tetapi kelihatan buntu pada babak kedua.

Tiga gol lagi diperoleh pada enam minit terakhir perlawanan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz44kUeRae0
© Utusan Melayu (M) Bhd


No comments:

Post a Comment