Ad

Sunday, 3 April 2016

Indra kena gugur

ARKIB : 31/01/2006
Oleh AMRAN MULUP
PETALING JAYA - Penjaring terbanyak Liga Super 2004, Indra Putra Mahayuddin adalah antara tiga pemain digugurkan daripada skuad bola sepak kebangsaan yang dalam persiapan rapi mengharungi perlawanan persahabatan menentang New Zealand bulan depan.

Berbanding dua pemain lain yang digugurkan iaitu P. Gunalan (Selangor) dan R. Surendren (Perak) atas pengesahan doktor perubatan mereka ditimpa kecederaan ketika melapor diri pada 24 Januari lalu, tetapi tidak sebaliknya buat Indra Putra.

Pemain Pahang itu tidak langsung datang ke kem latihan untuk memaklumkan kepada penolong jurulatih kebangsaan, Nasir Yusof mengenai masalah peribadinya tetapi cukup sekadar jurulatih skuad Tok Gajah, Zainal Abidin Hassan memaklumkan mengenai perkara itu.

Sikap acuh tidak acuh Indra memaksa pihak pengurusan mengambil keputusan untuk menyingkirkan nya daripada turut serta mewakili skuad kebangsaan ke New Zealand pada 19 Februari ini.

Indra pernah digugurkan daripada skuad negara oleh jurulatih terdahulu, Bertalan Bisckei pada awal 2004 dan terlepas peluang beraksi pada kejohanan Piala Tiger penghujung 2004 dan awal 2005.

Buat Nasir Yusof, beliau mengambil keputusan untuk terus mengetepikan Indra Putra bagi panggilan kedua skuad kebangsaan yang akan dikumpulkan semula di Wisma FAM, 12 Februari ini.

``Tanpa Indra saya masih yakin dengan kemampuan pemain baru. Mereka yang dipilih adalah yang terbaik dalam Liga Super dan Liga Perdana tanpa Indra jentera serangan tidak sama sekali pincang,'' ujar Nasir ketika ditemui selepas mengendalikan latihan terakhir skuad kebangsaan di padang Wisma FAM di sini, semalam.

Ditanya sama ada Indra Putra akan dipanggil lagi selepas ini Nasir berkata, perkara tersebut terpulang kepada ketua jurulatih, Norizan Bakar yang akan mengambil alih tugas bulan depan.

``Untuk skuad ke New Zealand, Indra digugurkan terus,'' ujarnya.

Tanpa penyerang Pahang itu, Nasir cukup yakin dengan gandingan baru menerusi Rudie Ramli (Telekom), Mohd. Safee Sali (Sarawak), Saramsak Kram (Kedah) dan Mohizam Shah Dawoo Shah (PKNS).

Ujarnya, walaupun gandingan itu belum benar-benar teruji, kemampuan mereka meledakkan empat gol sewaktu menewaskan Polis 4-0 dalam perlawanan persahabatan, membuktikan jentera serangan baru itu mampu menyerlah.

``Saya cukup yakin empat rangkaian serangan ini jika terus digandingkan mampu memantapkan serangan,'' ujarnya.

Katanya, gandingan ini akan menjadi pertaruhan dalam dua perlawanan persahabatan menentang New Zealand pada 19 Februari ini di Christchurch dan 23 Februari di Auckland.

Menurutnya, keupayaan mereka akan benar-benar teruji apabila menentang New Zealand nanti.

Menurut Nasir, tiada pemain lain akan dipanggil .

Hari ini skuad negara akan menentang Polis dalam perlawanan ujian kedua di padang Wisma FAM.

SUMBE-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0131&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz44kYPjwps © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment