Oleh AHMAD ISYAFIQ MAD. DESA
KHAIR (depan) yang membuat penampilan sulung dengan skuad negara pada aksi menentang Timor Leste malam kelmarin turut mencatat nama sebagai penjaring pada perlawanan yang menyaksikan Malaysia menang 3-0.
MALAYSIA mengesahkan tempat ke pusingan ketiga kempen kelayakan Piala Asia 2019 selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Timor Leste pada aksi playoff kedua di Larkin malam kelmarin.
Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu mara dengan kelebihan agregat 6-0 selepas mencatat kemenangan dengan jumlah jaringan sama pada aksi pertama di venue yang sama, Khamis lalu.
Di sebalik kemenangan tersebut, Kim Swee bertekad untuk melakukan beberapa perubahan dalam skuad kendaliannya itu.
Beliau mahu setiap pemain dalam skuad negara tampil lebih ‘versatile’ dan mampu beraksi di semua posisi.
Menurut Kim Swee, ia akan memudahkannya mengubah taktikal permainan pada bila-bila masa walaupun ketika sesuatu perlawanan itu sedang berlangsung.
“Saya tidak gentar menukar posisi pemain dan akan terus melakukan formula itu dalam usaha untuk memperkuatkan skuad negara.
“Kita mahukan pemain boleh beraksi di setiap posisi. Kita tidak boleh bergantung pada pemain di posisi yang sama dalam setiap perlawanan kerana sukar untuk kita menjangka apa yang akan berlaku.
“Kita perlu mempunyai barisan pertahanan yang kuat dan pada masa yang sama mereka juga bertindak sebagai penyerang yang mampu menghasilkan jaringan,” kata Kim Swee ketika ditemui selepas berakhirnya perlawanan playoff kedua itu di Larkin malam kelmarin.
Mengulas kejayaan Malaysia membenam Timor Leste, Kim Swee belum mahu mendabik dada, sebaliknya mengingatkan para pemain untuk terus meningkatkan prestasi kerana cabaran yang lebih besar bakal menanti mereka selepas ini.
“Ia satu prestasi yang baik dalam dua perlawanan kerana kita berjaya menjaringkan enam gol dan itu membuktikan skuad negara masih mempunyai penyudah yang berbisa.
“Bagaimanapun, kita tidak boleh berpuas hati kerana selepas ini lebih banyak perlawanan yang menguji skuad negara,” tegasnya.
Pada perlawanan malam kelmarin, gol-gol skuad negara diperoleh menerusi Khair Jones pada minit ke-15, Ahmad Hazwan Bakri (m-57) dan S. Chanturu (m-67).
Pusingan kelayakan ketiga kempen Piala Asia 2019 dijangka berlangsung pada 28 Mac tahun depan.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0608&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4Ayg4fIDf Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment