PELEDAK berbisa negara, Mohd. Safee Sali tidak harus patah semangat jika khidmatnya tidak lagi diperlukan Johor Darul Takzim (Johor DT) musim depan.
Pengkritik bola sepak, Rizal Hashim berkata, Safee mahupun mana-mana pemain tidak sewajarnya berasa tertekan jika tidak lagi menjadi pilihan mana-mana pasukan utama terutamanya apabila sudah berada di penghujung karier gara-gara faktor usia.
“Ini perkara normal yang berlaku kepada mana-mana pemain di seluruh dunia.
“Sebagai contoh, Pablo Aimar juga sanggup menyertai Johor DT biarpun memiliki reputasi yang hebat suatu ketika dahulu.
“Jadi, saya harap fokus Safee tidak terjejas sekiranya dia benar-benar tidak lagi diperlukan Johor DT musim depan,” kata Rizal kepada Kosmo! baru-baru ini.
Pada masa sama, Rizal juga menyokong hasrat Safee jika bersetuju menyertai pasukan Liga Premier, Johor musim depan.
“Sebagai pemain berprofil tinggi, pilihan Safee dilihat agak terhad memandangkan tidak banyak pasukan tempatan yang berkemampuan termasuk membayar gaji, elaun dan sebagainya.
“Asalkan Johor mampu membayar gaji Safee, saya tidak nampak ia sesuatu isu yang besar biarpun mereka sekadar beraksi dalam saingan Liga Premier.
“Apa-apa pun, pilihan terletak di tangan Safee sendiri sama ada mahu memilih pasukan yang mampu membayar gajinya ataupun menyertai pasukan yang mampu meningkatkan karier dia selepas ini,” jelasnya.
Polemik mula tercetus dalam kalangan peminat bola sepak tempatan yang seolah-olah tidak merestui penghijrahan Safee ke Johor musim depan.
Ini kerana Safee, 29, dilihat tidak lagi mendapat tempat dalam Johor DT yang dijangka kekal menjadi antara kuasa besar Liga Super musim depan apabila berjaya mendapatkan dua penyerang import berkualiti - Pablo Aimar dan Braulio Nobrega Rodriguez baru-baru ini.
Difahamkan, faktor usia serta sering dibelenggu kecederaan merupakan antara sebab mengapa Safee tidak lagi berada dalam radar Johor DT musim depan.
Ketika ini, Safee masih memiliki kontrak bersama Arema Indonesia yang hanya akan tamat pada Februari tahun depan.
Safee yang menyertai Arema Indonesia pada 5 Februari 2011 kemudiannya telah menandatangani kontrak lanjutan bernilai lebih RM2 juta bersama kelab itu setahun kemudian sebelum disunting Johor DT menerusi pinjaman awal musim ini.Rujukan: http://www.kosmo.com.my/kosmo.21.9.2013
No comments:
Post a Comment