Ad

Friday, 13 September 2013

Biar putih tulang

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN dayne.ghazali@utusan.com.my

KETUA pasukan Harimau Muda, Mohd. Irfan Fazail (kanan) dan rakan sejawatnya dari Myanmar, Kyaw Zayar Win memegang piala Pestabola Merdeka yang menjadi rebutan kedua-dua pasukan pada perlawanan akhir di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam ini. - Bernama
KUANTAN - Mampukah Harimau Muda meneruskan amukan di Stadium Darul Makmur pada aksi akhir Pestabola Merdeka 2013 malam ini apabila melakukan perhitungan sekali lagi dengan seteru yang tidak asing dalam kejohanan tertua di benua Asia ini - pasukan Myanmar.
Tiga kemenangan berturut-turut menjanjikan permulaan garang buat skuad bimbingan Ong Kim Swee, namun persoalannya adakah mereka mampu mengulangi persembahan yang sama sekali lagi memandangkan Myanmar bukan calang-calang pasukan jika kekalahan 1-2 kepada Malaysia, Isnin lalu dijadikan sandaran.
Paling penting, kemenangan ke atas Myanmar hari ini adalah hadiah terbaik buat negara sempena ulang tahun kemerdekaan ke-56 serta menjadi juara buat kali ke-10 menjulang trofi Pestabola Merdeka selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 2007.
Sepatutnya tiada alasan buat Harimau Muda untuk tunduk di tangan Myanmar kerana sebanyak 22 pemain yang disenaraikan oleh Kim Swee ternyata cukup mantap dan boleh beraksi pada bila-bila masa jika berlaku kecederaan kepada kesebelasan utama.
Itulah yang menjadi harapan Kim Swee yang mahu hadiahkan trofi Pestabola kepada seluruh rakyat Malaysia, bukan sahaja pada sambutan kemerdekaan, malahan untuk ulang tahun Malaysia yang ke-50 pada 16 September ini.
"Trofi ini bukan untuk saya semata-mata tetapi adalah untuk pasukan, semua rakyat Malaysia sempena sambutan kemerdekaan baru-baru ini dan Hari Malaysia pada 16 September ini bagi memastikan sambutan lebih bermakna.
"Diharapkan stadium esok akan dibanjiri oleh penyokong setia Harimau Muda, datang beramai-ramai untuk meniupkan semangat pemain negara kerana mereka amat perlukan bantuan dan sokongan anda semua," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan, semalam.
Biarpun belum pasti kelibat Wan Zack Haikal Wan Nor dan Junior Eldstal dapat dipertaruhkan, Kim Swee akan membuat keputusan pada saat akhir sebelum memberikan kata putus 11 pemain yang akan membawa cabaran negara bagi berdepan asakan menggila Myanmar.
"Buat masa ini nampak Wan Zack yang mengalami kecederaan buku lali nampak baik dan Junior yang baru pulih daripada masalah keracunan makanan masih keletihan, jadi saya tidak mahu buat keputusan dalam masa terdekat.
"Namun begitu, kita masih ada dalam masa 24 jam untuk memantau perkembangan mereka berdua dan akan membuat keputusan beberapa jam sebelum perlawanan.
"Saya jangkakan perlawanan yang sengit dengan Myanmar dan kita tidak boleh melihat pada keputusan yang lepas, mereka sudah tentu mahu membalas dendam atas kekalahan lalu dan kita mesti kekal fokus," katanya.
Bintang utama Harimau Muda, Wan Zack Haikal tidak sabar mahu meledak lagi bertemu Myanmar selepas jaringannya melalui sepakan percuma membantu kemenangan pasukan negara, baru-baru ini.
"Kalau boleh saya mahu menjaringkan gol lagi pada perlawanan esok (hari ini) dan paling penting kemenangan pasukan sebagai hadiah terbaik kepada semua peminat yang tidak jemu-jemu menyokong kami.
"Saya harap dapat memperbaiki kelemahan saya dalam melakukan tindakan penyudah dalam dua perlawanan sebelum ini dan memberikan aksi paling baik dalam kejohanan," katanya.
Kejayaan Harimau Muda ke perlawanan akhir Pestabola Merdeka menyebabkan ramai peminat bola sepak di sekitar Kuantan sudah mula mendapatkan tiket dan berdasarkan maklumat yang diperolehi pihak penganjur sebanyak 10,000 tiket telah habis dijual daripada 25,000 tiket yang diperuntukkan. RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130914/su_01/Biar-putih-tulang#ixzz2epKVgKJF 

No comments:

Post a Comment