Ad

Saturday 28 September 2013

India simpan taring - Dharma Raj

PEMAIN negara, Muhd. Rashid Baharom (kanan) melepasi halangan dua pemain India dalam perlawanan Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru, semalam. - MINGGUAN/AMIN FARIJ HASAN
JOHOR BAHRU - Jurulatih skuad remaja kebangsaan, Muhammad Dharma Raj Abdullah percaya, India menyimpan kekuatan sebenar mereka ketika mengikat Malaysia 3-3 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2013 di Stadium Hoki Taman Daya, di sini semalam.
Pada ketika kedua-dua pasukan sudahpun mengesahkan tiket perlawanan akhir lebih awal, Dharma Raj percaya, India hanya akan menunjukkan taring mereka pada perlawanan akhir hari ini.
"Pasukan India akan mempamerkan aksi sebenar mereka esok (hari ini) dengan menurunkan semua pemain utama mereka, jadi kita juga menjanjikan persembahan terbaik kalau mahu merebut kejuaraan," katanya.
Pertemuan semalam menyaksikan India terlebih membuka tirai jaringan seawal minit ke-10 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan pemain Satbir Singh sebelum mereka menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-31 menerusi Ramandeep Singh.
Malaysia memiliki beberapa peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan, namun keampuhan benteng pertahanan pasukan India menafikan setiap percubaan yang dilakukan skuad remaja negara.
Separuh masa kedua India terus mempamerkan aksi garang apabila terus menggandakan asakan bagi menambah bilangan jaringan namun kali ini ketangkasan pertahanan tuan rumah menidakkan setiap percubaan.
Skuad negara berjaya merapatkan jurang jaringan pada minit ke-62 apabila Muhd. Shahril Saabah berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti menjadikan kedudukan 2-1 dan Muhd. Rashid Baharom menjadikan kedudukan 2-2 dua minit kemudian.
Gol ketiga tuan rumah hadir pada minit ke-68 menerusi Muhd. Shahril namun kegembiraan itu tidak berkekalan apabila India kembali menyamakan kedudukan menerusi jaringan Yousuf Affan pada minit terakhir permainan.
Dharma Raj mengakui, perlawanan semalam agak sukar kerana ia berlangsung sehari sebelum perlawanan akhir dan pemain memerlukan rehat yang cukup bagi pertemuan tersebut.
Biarpun memuji persembahan anak-anak buahnya yang berjaya memperolehi tiga gol dan hampir mencipta kemenangan meskipun ketinggalan 2-0 pada babak pertama, namun beliau menegaskan, India sebenarnya tidak mempamerkan kekuatan sebenar kerana banyak merehatkan pemain-pemain utama dan menurunkan skuad simpanan mereka.
Sementara itu dalam satu lagi perlawanan semalam, Pakistan menewaskan Argentina dengan keputusan 4-1.

RUJUKAN Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130929/su_08/India-simpan-taring---Dharma-Raj#ixzz2gErgVZuA 
© Utusan Melayu (M) Bhd 29.9.13

No comments:

Post a Comment