Kuantan: Seakan mendapat semangat baru, pemain terbaik kejohanan Pestabola Merdeka ke-41 Wan Zack Haikal Wan Noor bertekad untuk kembali memburu tempat dalam kesebelasan utama kelab Jepun FC Ryukyu.
Pemain sayap lincah itu akan kembali ke Okinawa hari ini selepas menjadi antara pemain paling menyerlah ketika membantu skuad bawah 23 tahun negara (B-23) menumpaskan Myan mar B-23 2-0 pada final Pestabola Merdeka, kelamrin.
Meskipun tidak menjaringkan gol pada perlawanan itu, gerakan Wan Zack Haikal kerap kali mengucar-kacirkan pertahanan lawan malah gol pertama jaringan Rozaimi Abd Rahman pada minit ke-29 adalah hasil percubaannya yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Myanmar Pyaye Phyo Aung.
Sebelum itu dia dianggap wira selepas menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan percuma menarik ketika mengalahkan Myanmar 2-1 pada pusingan awal.
Bagaimanapun nasib pemain berusia 22 tahun itu bersama FC Ryukyu tidaklah begitu menggembirakan apabila sejak menandatangani kontrak dua tahun dengan kelab divisyen tiga itu pada Mac lalu, dia hanya tampil dalam dua perlawanan.
Ia gara-gara kecederaan buku lali kanan yang dialaminya ketika terjatuh pada sesi latihan sehingga menyebabkannya berehat panjang.
“Dengan kejayaan di Pestabola Merdeka ini saya berasa tambah yakin dengan diri saya sendiri. Saya percaya ini dapat membantu saya apabila kembali ke Jepun dan bersaing merebut tempat dalam skuad utama kelab FC Ryukyu,” katanya.
No comments:
Post a Comment