Ad

Sunday 15 September 2013

Kemenangan Harimau Muda dapat pujian

Pasukan Malaysia meraikan kejayaan muncul juara Pestabola Merdeka 2013 selepas mengalahkan Myanmar 2-0 pada perlawanan akhir di Stadium Darul Makmur, Kuantan, kelmarin. - UTUSAN/MAHATHIR ALI
KUALA LUMPUR - Kejayaan skuad Harimau Muda menjuarai Pestabola Merdeka buat kali ke-10 dengan menewaskan Myanmar di Kuantan, kelmarin mendapat pujian ramai termasuk bekas pemain bola sepak kebangsaan dan jurulatih.
Bekas jurulatih Selangor, Irfan Bakti menyifatkan kemenangan ini merupakan motivasi kepada pasukan kendalian jurulatih Ong Kim Swee dalam memburu pingat emas hatrik menjelang Sukan SEA Myanmar, Disember ini.
"Saya berasa gembira atas kemenangan skuad Harimau Muda menjuarai Pestabola Merdeka tahun ini. Walaupun semua pemain berusia bawah 23 tahun, tapi saya perhatikan mereka bermain dengan baik sekali.
"Bagaimanapun, tugas Ong Kim Swee belum selesai. Persembahan yang ditunjukkan pemain muda kita sangat bagus. Cuma Ong perlu fokus pada barisan serangan. Dia perlu menambah jumlah penyerang dalam skuad Harimau Muda kerana dikhuatiri penyerang sedia ada akan mengalami kecederaan.
"Saya merasakan yang skuad Harimau Muda ini mampu menyumbangkan pingat emas kepada negara," kata Irfan ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Malah, Irfan juga memberitahu, keserasian antara pemain dan sokongan padu daripada penyokong setia merupakan faktor kejayaan Malaysia membawa pulang kembali trofi tersebut untuk negara.
Dalam pada itu, bekas jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan berpuas hati dengan corak permainan yang ditunjukkan oleh pemain muda negara.
"Corak permainan yang ditunjukkan Harimau Muda tersusun. Lebih-lebih lagi barisan pertahanan Malaysia cukup kental sehingga Myanmar sukar untuk menembusi gawang kita.
"Kecekapan penjaga gol negara, Mohd. Izham Tarmizi menunjukkan gawang Malaysia sukar untuk dibolosi," ujar Wan Jamak.
Wan Jamak berpendapat, skuad Harimau Muda sekarang perlu dikekalkan bagi mengelakkan masalah keserasian antara pemain.
Sementara itu, jurulatih Terengganu, E. Elavarasan berpendapat, kemenangan Malaysia kelmarin mampu membawa skuad Harimau Muda pergi lebih jauh dan berpotensi untuk mewakili negara ke peringkat yang lebih tinggi
"Kemenangan ini merupakan satu titik tolak untuk skuad muda negara bagi mewakili Malaysia satu hari nanti. Ini merupakan semangat kepada mereka untuk melangkah lebih jauh.
"Walaupun mereka baharu sahaja menjuarai trofi Pesta Bola Merdeka, mereka juga perlu menunjukkan kehebatan mereka dalam kejohanan lain selepas ini khususnya dalam Sukan SEA nanti.
"Dengan kemenangan ini juga menunjukkan peningkatan yang baik dalam sukan bola sepak negara," ujar Elavarasan
Bekas pemain kebangsaan, Dollah Salleh yang juga jurulatih Pahang turut memuji kesungguhan pemain negara dalam merangkul gelaran raja Pestabola Merdeka kali ini.
"Walaupun strategi Myanmar agak tersusun pada babak kedua, itu tidak menjadi masalah kepada skuad muda negara untuk bertahan sehingga ke minit akhir perlawanan.
"Malaysia bermain dengan baik, namun mempunyai kelemahan dalam bahagian penyudah kerana barisan serangan kita banyak mempersia-siakan peluang yang ada.
"Tapi secara keseluruhan, corak permainan yang dilakukan skuad Ong Kim Swee adalah baik. Mereka cuma perlu mempertingkatkan lagi persembahan mereka dalam kejohanan lain selepas ini," kata Dollah.
Malah, Dollah juga berpendapat, skuad Harimau Muda mampu layak ke perlawanan akhir di Sukan SEA sekali gus membawa pulang pingat emas untuk negara.


Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130916/su_02/Kemenangan-Harimau-Muda-dapat-pujian#ixzz2f0SXDKWo
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment