Ad

Saturday, 14 September 2013

Taring rimau muda, tepati ramalan.


  • SUBKHI SUDARJI, FOTO : SAFWAN MANSOR
    15 September 2013
  • Taring rimau muda, tepati ramalanPemain Harimau Muda A meraikan kejayaan menjuarai Pestabola Merdeka 2013 selepas menewaskan Myanmar 2-0 di Stadium Darul Makmur, malam tadi.
HARIMAU Muda A mengesahkan kejuaraan dalam saingan  Pesta Bola Merdeka Edisi ke-41 selepas menewaskan Myanmar 2-0 dalam aksi akhir di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Gol jaringan Rozaimi Abd Rahman minit ke-29 dan penghujung masa tambahan separuh masa kedua perlawanan oleh Junior Eldstar sudah cukup meletakkan kejayaan manis buat anak didik Ong Kim Swee.

Mempertaruhkan gandingan, Rozaimi dan A Tamil Arasu di bahagian serangan membuktikan Harimau Muda A turun dengan penuh keazaman untuk merobek gol lawan sejak dari awal permainan.

Rozaimi yang menjaringkan dua gol ketika aksi menentang Thailand, Rabu lalu berpeluang meletakkan pasukan dihadapan pada minit ke-2 namun sedikit kelekaannya  menafikan hasrat awal penyokong setia Harimau Muda A meraikan gol.

Kegagalan itu tidak mematahkan semangat  barisan pemain tuan rumah yang terus melancarkan gerakan mencari gol namun ketumpulan gerakan penyudah yang kurang berkesan dari Wan Zack Haikal, Tamil Arasu dan Rozaimi terus menyelamatkan seketika gawang Myanmar.

Usaha berterusan pemain Harimau Muda A memburu gol akhirnya menjadi kenyataan apabila Rozaimi bijak menyambar bola yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Myanmar, Pyaye Phyo Aung hasil sepakan deras dari Wan Zack Haikal pada minit ke-29 untuk meletakkan tuan rumah didepan.

Bermula babak kedua, corak permainan tuan rumah sedikit perlahan dengan Myanmar melancarkan serangan bertali arus memburu gol penyamaan namun kekebalan benteng Harimau Muda A yang dibina Fadhli Shas, Zubir Azmi, Nik Sharul Azim dan K Reuben mengagalkan hasrat pelawat.

Dua percubaan berbahaya dari Fadhli serta Tamil Arasu pada minit 70 dan 76 hampir mengandakkan kelebihan buat pasukan namun palang dan ketangkasan Aung terus menjadi penghalang.

Ketangkasan penjaga gol Harimau Muda A, Mohd Izham Tarmizi yang melayangkan badan untuk menepis bola hasil tandukan penyerang lawan pada minit 77 melegakan penyokong tuan rumah yang memenuhi stadium.

Ketika perlawanan hampir tamat dengan keputusan 1-0, Junior memastikan kemenangan mutlak pasukan apabila tenang menolak masuk bola ke dalam gawang Myanmar untuk gol kedua pada minit ke 95 sebelum pengadil meniupkan wisel penamat  yang mengesahkan Harimau Muda A selaku juara.

Sementara itu, dalam aksi awal di sebelah petang, Singapura berjaya menewaskan Thailand 2-1 untuk kedudukan ketiga manakala Thailand keempat. SINAR HARIAN ONLINE 15.9.13

No comments:

Post a Comment