Ad

Sunday, 15 September 2013

Rozaimi akui belum selamat ke Myanmar

Kuantan: Penyerang skuad bawah 23 tahun negara (B-23) Rozaimi Abd Rahman mengakui kedudukannya bersama pasukan ke Sukan SEA Myanmar hujung tahun ini masih belum selamat meskipun dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Pestabola Merdeka kelmarin.

Dengan ledakan tiga gol termasuk satu gol ketika membantu Malaysia menewaskan Myanmar 2-0 pada perlawanan akhir di Stadium Darul Makmur Kuantan, Rozaimi memenangi anugerah itu buat kali kedua selepas muncul penjaring terbanyak pusingan kelayakan Piala Asia B-22 di Myanmar tahun lalu.

Bagaimanapun di sebalik pencapaian itu, penyerang berusia 20 tahun itu bukanlah penyerang utama pilihan jurulatih Ong Kim Swee apabila hanya dua kali diturunkan dalam kesebelasan utama dalam empat perlawanan.
Sebaliknya rakan sepasukannya A Thamil Arasu lebih kerap diturunkan atas faktor taktikal.

“Saya tak menyangka akan menjadi penjaring terbanyak di kejohanan ini tapi saya tidak berpuas hati kerana jarang diturunkan.

“Jadi saya perlu berusaha lebih gigih untuk mendapat tempat dalam pasukan.
“Pemain dipilih mengikut prestasi semasa dan bukannya rekod-rekod sebelum ini jadi saya berharap akan dapat beraksi ke Sukan SEA nanti,” kata Rozaimi.

Selain Rozaimi dan A Thamil Arasu, Kim Swee turut mempunyai pilihan lain seperti S Sivanesan dan Muhamad Feris Danial manakala Ahmad Hazwan Bakri dan Izzaq Faris Ramlan tidak bersama skuad kerana mengalami kecederaan.
HM online : 2013/09/16

No comments:

Post a Comment