KUALA LUMPUR 5 Sept. - Majlis Amanah Rakyat (Mara) membelanjakan hampir RM400 juta untuk memastikan golongan Bumiputera berjaya dalam bidang perniagaan, pada tahun lepas.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, bimbingan diberi bukan sahaja daripada aspek pembiayaan kewangan, tetapi juga latihan dan pemasaran hasil keluaran dan perkhidmatan yang disediakan.
"Kita akan tingkatkan daya upaya mereka, bukan setakat untuk memastikan hasil keluaran mereka dapat dipasarkan dalam negara tetapi juga luar negara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Aidilfitri dan Kemerdekaan Ke-56 agensi itu di sini hari ini.
Turut hadir timbalannya, Datuk Alaxender Nanta Linggi, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Ibrahim Muhamad, Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad.
Mohd. Shafie berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) bagi membolehkan produk usahawan dapat menembusi pasaran eksport.
Dalam pada itu, beliau berkata, Mara turut menggalakkan pelajar tajaannya melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat sarjana dan kedoktoran.
Katanya jurusan yang diceburi juga dikenal pasti bagi memastikan mereka dapat menguasai ilmu yang diperlukan oleh negara.
Sehingga kini, katanya Mara menghantar kira-kira 40,000 pelajar tajaannya melanjutkan pelajaran ke luar negara. — BERNAMA
Rujukan: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130906/dn_05/RM400j-untuk-bumiputera-berniaga---Shafie#ixzz2e7Px8ow4
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment